makna-bahagia

Makna Bahagia Setiap Orang Berbeza, Ini Buktinya

Makna bahagia setiap orang tak sama, ini buktinya | Semalam, saya minta teman-teman bantu saya untuk berkongsi rasa hati mereka tentang ‘Makna Bahagia’ itu bagaimana.

Bermacam pengertian bahagia telah saya terima dan dapat saya himpunkan dalam entri kali ini.

Ternyata saya juga bahagia kerana mempunyai rakan-rakan facebook yang baik hati dan sudi bersama-sama saya mencari makna sebuah kebahagiaan.

Masing-masing mempunyai pengertian bahagia yang tersendiri. Bahagia itu di hati setiap orang tidak sama. Bagi saya makna bahagia itu sederhana.

Ada yang bahagia bila dapat makan coklat (Adik saya la tu!), ada juga yang bahagia bila dapat membahagiakan orang lain malah ada juga yang bahagia bila dapat bersama dengan pasangan yang dicintai dan anak-anak.

Makna Bahagia Itu Berbeza Bagi Setiap Orang

Pastinya rasa bahagia itu, mereka sendirilah yang dapat merasai keindahannya. Saya tidak boleh memaksa anda untuk menjadi bahagia.

Malah Mark Zuckerberg sekalipun belum tentu boleh membahagiakan anda yang kala itu dilanda gundah gulana.

Rumah besar, barang kemas yang menimbun barangkali seronok anda miliki. Namun bahagiakah anda? Atau ianya hanya kegembiraan yang bersifat sementara?

Selepas rumah besar menjadi usang, barang kemas menjadi pudar rasa bahagia juga semakin berkurangan.

Lalu inikah bahagia yang dimaksudkan? Bahagia yang bagaimanakah yang kita mahukan?

Nikmat bahagia itu terlahir apabila hati seseorang dalam keadaan tenang, redha, syukur dan sabar.

Syukur dengan apa yang ada, sabar menerima apa yang tiada. Hm.. dah macam ustazah pula saya. Hakikatnya itulah nikmat bahagia.

Tidak ada salah mahupun betul tentang pengertian bahagia yang teman-teman saya coretkan. Kerana rasa bahagia itu, hanya empunya diri jua yang merasainya.

Baca : Cara kekal positif agar merasai emosi bahagia

Belajar Bersangka Baik DenganNya

Ianya saling berkaitrapat antara hubungan kita dengan Yang Maha Esa, hubungan kita sesama manusia mahupun makhluk yang ada di persekitaran kita.

Sepanjang saya mengelolakan ruangan ‘Di bawah lembayung Kaabah’ dengan kerjasama ustaz Dato’ Daud Che Ngah saya banyak belajar tentang ‘sesuatu’ iaitu bersangka baik dengan Allah.

Begitulah hakikat hablum minallah, hablum minannas ini yang jarang diperhalusi dengan baik oleh kita malah saya sendiri.

Bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu sudahpun tertulis untuk kita. Hatta, ketika saya menulis ini pun, ilham itu adalah bersumberkan daripadaNya.

Sesungguhnya syaitonirajim itu sentiasa membisikkan kejahatan di hati manusia melalui jin dan manusia. Ini antara ayat yang disebut oleh Allah dalam surah An Nas.

Makhluk ini tidak mahu manusia bahagia.

Dan itulah ikrar mereka yang mahu menyesatkan anak-anak Adam.  Biar sama-sama masuk ke neraka jahanam menemani mereka yang enggan tunduk kepada nabi Adam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Amalkan Doa Ketenangan Hati

Banyak sekali doa-doa yang Allah ajarkan kepada hambanya untuk mengembalikan kekuatan hati. Antara doa yang rasulullah SAW amalkan di waktu pagi dan petang adalah doa yang terkandung di dalam al Mathurat.

Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal.

bermaksud:

Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).”

Hati yang tenang dan kuat, pasti tidak akan mudah tergoda mahupun goyah dengan kekalutan yang berlaku di persekitarannya.

Semoga bahagia yang dicari ditemui dalam kehidupan ini.

Makna Bahagia Pada Orang Lain Tak Sama

makna-bahagia
makna-bahagia
makna-bahagia

Sungguh kan, makna bahagia bagi setiap orang itu tidak sama. Ada orang kalau dapat rumah besar sudah cukup membahagiakan dirinya.

Ada orang pula lebih baik rumah kecil saja, lebih bahagia untuknya menghias kediaman kecil. Apa pun makna bahagia setiap individu itulah sebenarnya yang rasa. Semakin berganda rasa syukur, insyaAllah semakin tenang dan bahagialah jiwa kita itu.

Cuma dalam mencari makna bahagia itu janganlah sampai memaksa diri mahu pun memaksa orang lain. Sehinggakan hilang keikhlasan dalam berbuat sesuatu pekerjaa.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 7 Mei 2014

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Leave a Reply

error: Content is protected !!