karipap

Karipap Berderai, Ada Teladan Perlu Difahami

Teladan karipap berderai | Beberapa hari lalu, saya pernah berjanji mahu berkongsi cerita pembikinan karipap yang tidak menjadi.

Itu kisah di penghujung Syawal. Tentang makanan yang perlu ibu bapa bawa ke tadika Bustanul Ain sempena sambutan Aidilfitri.
 
Setiap pelajar perlu bawa bahagian masing-masing. Ada bihun goreng, nugget, puding dan bahagian saya pula, karipap. Nampak senang, demi Zarif saya berjanji mahu masakkan sendiri.
 
Malam itu selepas pulang dari kerja, saya siap-siap belikan bahan mentah membuat karipap; kentang, tepung, serbuk kari, bawang dan lain-lainnya. 
 
Sampai saja di rumah, saya sinsing lengan baju terus mengupas kentang. Penat punya pasal, saya minta bantuan Zarif.

Dia akur dan sudahkan kerja-kerja mengupas sampai selesai. Saya pula potong kentang kecil-kecil menjadi dadu. Rendam potongan kentang dalam mangkuk siap-siap.

Dilema Ibu Yang Tidurkan Anaknya

Tapi ada kesilapan telah berlaku. Qaseh merengek-rengek minta ditidurkan. Satu masalah saya dari dulu sampai sekarang, kalau sudah tidurkan Qaseh pastilah saya akan hanyut sama.

Saya kira dilema ini ramai ibu-ibu menghadapinya. Dan malam itu saya telah tertidur bersama-sama Qaseh sampai ke pagi. Nanti! Cerita ini tak berakhir di sini. 
 
Pagi itu, jam loceng yang sudah saya ‘auto setting’kan ke jam 4.30 pagi sayup-sayup kedengaran.

Oh!
Macam mana ni, perjumpaan Zarif bermula jam 8 pagi.
Saya pula satu apa pun tak buat lagi. Kelam kabutlah saya pagi itu. Lebih malang saya sudah lupa pesanan mak tentang cara-cara membuat doh karipap. 
 
Saya berkira-kira sendiri.

Doh Karipap Tak Mahu Menjadi

Barangkali, beginilah caranya; panaskan minyak dan tuang ke dalam tepung yang berserakan di dalam mangkuk.

Saya uli laju-laju. Kenapa tepung dan minyak ini tak mahu bersatu? Fikiran saya yang dangkal mula berbicara, sepanik otak saya yang mahu semuanya siap segera. 
 
‘Mungkin kekurangan minyak menyebabkan tepung tidak menjadi’. Otak saya semakin ligat berkira-kira. Saya siram minyak lagi. Tepung masih tidak bersatu apatah lagi sebati.
 
Oh!
Saya mengeluh, antara geram dan sayu. Geram kenapa saya tuang semua tepung ke dalam mangkuk dan sayu kerana adunan tidak menjadi.

Kasihannya Zarif. Cepat-cepat saya buka internet-google-search engine-mengapa tepung karipap tidak menjadi. 
 
Saya sudah tahu sebabnya. Tapi sayang sekali, semua sudah terlambat. Walau cuba dibaiki tepungnya tetap berderai akibat minyak berlebihan.

Demi Zarif, saya siapkan juga. Esoknya saya tawakal saja. Sudah tidak tahu macam mana hendak diperbetulkan semula. Pulang ke rumah mak, saya minta adik lelaki bongsu saya merasa. 
 
Kenapa tepung karipap ni rasa pelik? Intinya pun sama. Tak pandai betul orang ni buat karipap?” Oh! Pedih betul kata-kata itu. 

Kaitan Karipap Berderai Dengan Dunia Penulisan

Sebenarnya ini bukan cerita membuka pekung di dada. Tapi ini kisah yang sarat dengan pengajaran.

Pertama, mengapalah saya tidak gunakan saja teknologi yang ada di hadapan mata awal-awal. Kalau saya siap-siap google kaedah membuat karipap awal-awal, tentu saya tidak perlu membazir sebegitu rupa.
 
Dalam menghasilkan sebuah penulisan yang baik dan berkesan juga begitu. Perlu ada teknik dan panduan yang betul.

Ia perlu dihasilkan satu persatu, langkah demi langkah. Barulah cerita yang mahu disampaikan cantik tersusun. 
 
Sekarang ini begitu banyak ilmu tersedia di dalam laman maya. Ramai di kalangan penulis profesional, novelis, penulis buku motivasi hatta wartawan sekalipun sudi berkongsi ilmu mereka di dalam blog peribadi mahupun syarikat yang diwakilinya.

Ilmu penulisan yang dikongsi bersama itu itu perlu diteliti dan diperhalusi oleh penulis agar isi cerita yang mahu disampaikan mencapai standard apa yang pembaca mahu. 
  
Bagaimana mahu memperoleh penulisan yang memenuhi kehendak pembaca? Akan saya kongsikan dalam entri akan datang. Tunggu ya.

Nostalgia Televisyen Hitam-Putih

Cerita kedua ini tentang membina kehidupan yang lebih gemilang. Memori kehidupan sukar waktu zaman kanak-kanak terus menjadi ingatan yang membangkitkan semangat juang dalam diri saya sampai hari ini.
 
Biarpun begitu kehidupan keluarga kami mulai berubah pada tahun 1990 iaitu selepas kelahiran adik bongsu saya, Azwan.

Sebelum itu, hendak makan ayam pun sukar, sejak adik saya lahir rezeki kami semakin murah dan bertambah. Alhamdulillah.
 
Masa itulah saya mula merasa minum air sejuk dari peti ais dan menonton televisyen di rumah sendiri. Dulu kami ada televisyen hitam-putih yang ada pintu berkunci.

Kalau mahu menontonnya, kami perlu tolak pintunya ke tepi. 
 
Selepas televisyen itu rosak, abah tak mampu hendak perbaiki dan sejak itu kalau hendak menonton tv kami sekeluarga perlu ke rumah nenek sebelah abah.

Apabila adik bongsu saya mencecah usia 3 tahun, mak nekad bekerja di kilang kayu. 

Baca : Menulis dari hati biar sampai ke jiwa pembaca

Mak Cari Kerja Demi Anak-anak

Hampir setahun mak kerja di situ. Saya pula perlu jaga adik yang masih kecil. lagipun, ketika itu saya baru saja selesai peperiksaan SPM dan abah tak benarkan saya bekerja.

Bimbang saya enggan teruskan persekolah bila dah seronok pegang duit. 
 
Beberapa bulan selepas itu, saya terima tawaran ke tingkatan 6 di Sekolah Tinggi Klang.

Tinggallah adik saya di rumah nenek dan kadangkala dijaga oleh makcik saya, Cik Sareah. Waktu zaman saya kecil dulu, kerjaya pengasuh belum begitu terkenal di kampung saya.

Sebab itulah, adik saya merata-rata tempat pengasuhannya.
 
Selepas beberapa bulan, mak saya bertukar tempat kerja. Masih di kilang kayu. Kerjanya kasar dan bebannya bagaikan kudrat lelaki.

Memandangkan mak saya pandai dalam bab-bab PR, abah pun dapatlah kerja di situ sebagai tukang kebun. Sebelum ini abah bekerja mengait kelapa sawit sahaja. 

Ekonomi Keluarga Semakin Baik

Apabila dua-dua sudah bekerja, ekonomi keluarga kami semakin baik. Walaupun menjadi tukang kebun, abah saya ada kemahiran bertukang yang cukup berseni sekali.

Di kampung saya, khidmat abah cukup disenangi. Ramai yang beratur mahu mendapatkan kerja tangan berseni abah. Pernah satu ketika saya berkongsi cerita dengan ketua wartawan saya tentang pandainya abah mengurangkan kos membuat sebiji rumah.

Tapi kos itu untuk rumah yang dia buat sendiri tanpa ada perkongsian dengan pekerja lain. Dan sampai hari ini pun, abah saya masih setia dengan minat dan hobinya yang satu itu.
 
Samalah halnya dengan kita. Andai melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa dan minat yang mendalam, usaha dan inisiatif kita itu pasti akan bertahan lama.

Walau diuji badai dan taufan, ia tidak sesekali mematahkan semangat juang dalam diri.
 
Begitupun, semangat berblogging tidak hadir dalam diri setiap orang. Namun, semangat dan minat itu masih boleh dipupuk, disuburkan dengan adanya panduan yang betul.

Lebih menyenangkan, minat itu kemudiannya menghasilkan pendapatan sampingan yang menguntungkan ekonomi keluarga.

Baca : Berani gagal tanda orang yang berjaya dalam hidupnya

Cari Mentor Belajar Menulis Dengan Baik

Tiada masa untuk menulis? Allah memberi kita 24 jam untuk kita melaksanakan urusan harian setiap hari. Pasti, dalam tempoh itu akan ada masa untuk saya isi dengan penulisan. 
 
Ada yang kata, untunglah saya penulis sememangnya boleh menulis dengan baik. Mengapa perlu berprasangka begitu. Anda juga sebenarnya boleh menulis dengan baik. Carilah mentor untuk merealisasikannya.
 
Semoga Allah memberi kekuatan itu kepada saya agar saya dapat berkongsi ilmu penulisan yang bersumberkan ilham dariNya.

Disclaimer : Ini catatan bertarikh 30 September 2013

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

4 Comments

  1. hasnitasawal October 1, 2013
  2. Anonymous October 1, 2013
  3. Naroswati Naib October 1, 2013
  4. Netty Ah Hiyer October 2, 2013

Leave a Reply

error: Content is protected !!