Nostalgia rumah kayu berdindingkan papan lapis | Abah saya sudah pun memasuki usia 65 tahun (ketika catatan ini ditulis). Fizikal abah kecil sahaja, tinggi sedikit daripada saya dan kurus tubuh badannya.
Tidak pernah sekalipun abah mencapai berat badan berlebihan macam saya. Walaupun kecil, abah seorang yang kuat bekerja jadi tukang rumah tapi tidak masa zaman mudanya.
Seingat saya, abah pernah bekerja di kilang alat permainan.
Dulu keadaan rumah saya hanyalah sebuah rumah kayu berdindingkan papan lapis bertindan kepingan kayu second hand.
Bilik airnya pula cuma kepingan kayu bersusun bak pelantar dengan dilindungi guni plastik gula bersaiz pukal.
Waktu itu, kesusahan mencengkam keluarga kami.
Saya masih ingat pada malam hari raya (tak silap saya samada dalam darjah 2 ke 3), kami sekadar menikmati hidangan biskut kering yang kemudiannya disediakan untuk juadah keesokan hari.
Tiada istilah baju cantik, melainkan pemberian orang semuanya.
Hidup Susah Tak Halang Hati Bahagia
Ada satu perkara yang saya belajar daripada emak iaitu kami tidak meminta-minta. Bantuan pelajaran pertama yang saya terima ketika itupun selepas saya naik tingkatan tiga.
Kekurangan tak menghalang saya bergembira.
Masa saya banyak dihabiskan dengan kawan-kawan sekampung; mandi sungai, mencari udang kecil di parit hujung kampung.
Berbasikal dari satu kampung ke satu kampung, bermain ‘rondez’, konda-kondi dan gelang getah. Malah, galah panjang, polis entri, peluk tiang, guli, baling selipar dan lain-lain permainan yang agak ganas.
Saya juga aktif dengan aktiviti keramaian di kampung. (Ketika itupun pemimpin kami dekat dengan masyarakat.
Cuma suasana politik sekarang sudah berubah.
Selepas berhenti dari kilang permainan, abah bekerja pula di ladang kelapa sawit.
Sebelum abah bekerja di ladang kelapa sawit itu, mak pernah berhadapan dengan peristiwa yang menguji hatinya sebagai seorang isteri.
Gaji Pekerja Kilang Besar Manalah Sangat
Kelahiran adik kedua, menambah beban kewangan keluarga kami. Pasti abahlah yang paling terhimpit. Apalah sangat dengan pendapatan bekerja di kilang ketika itu.
Tak lama abah mengalami sakit yang kronik. Kadangkala abah bekerja, kadangkala abah diam-diam saha di rumah.
Silapnya, abah tak berkongsi kesakitan itu dengan mak. Sudahnya mak membuat kesimpulan, abah tidak mahu menjalankan tanggungjawab mencari nafkah.
Cerita mak, pernah dia tidak makan selama 6 bulan dan hanya bergantung dengan air kerana susahnya ketika itu.
Saya juga masih teringat satu peristiwa yang mana abah keluar rumah dari pagi sampai ke malam dan tidak pulang-pulang ke rumah. Malam itu pula, hujan lebat beserta angin kencang.
Mak buntu, walau di tanya pada adik-beradik terdekat mereka tidak tahu ke mana abah menghilang.
Menjelang malam pekat, abah pulang dengan muka lelah. Rupa-rupanya, dari petang sampailah ke malam itu abah ambil upah menyimen.
nettyahhiyer.com
Duit itu kemudiannya digunakan untuk membeli keperluan dapur kami anak beranak.
Baca : Rahsia kebun abah, ada rezeki alam seluas lautan
Ikhtibar Kisah Mak Abah
Kenapa saya ceritakan semua ini. Banyak pelajaran yang dapat saya ambil ikhtibar dari kisah mak dan abah ini.
Walau sehebat manapun badai yang melanda rumahtangga mak ketika itu. Tidak sekalipun mak minta jalan perpisahan.
Rahsia orang dulu-dulu, mereka berfikir panjang, redha dan sabar.
Dan mak saya lihat walau penat macam mana sekalipun dia tak pernah gagal memasakkan untuk abah. (Hebatnya mak saya!)
Tak lama kemudian, mak mula bekerja di kilang kayu. Abah pula bekerja di ladang kelapa sawit dekat belakang rumah kami.
Kesusahan juga menyebabkan adik lelaki saya terpaksa berhenti sekolah. Tanpa sijil SRP, dia bekerja di kilang air mineral.
Basikal menjadi tunggang utamanya ke tempat kerja. Dia tidak merungut kerana faham situasi mak dan abah.
Walaupun adik kedua saya itu ganas mukanya, tapi hatinya penuh kelembutan.
Kilang Haram Yang Membebankan Kami Sekeluarga
Di kilang tempat mak bekerja, mereka memerlukan seorang tukang kebun. Mak ‘rekemen’, abah dapat jawatan itu.
Bermulalah kehidupan abah sebagai tukang kebun. Sejak itu, rumah kami penuh dengan pokok bonsai, bunga kacukan kertas dan sebagainya. Gara-gara pekerjaan baru abah.
Suatu hari yang suram, mak ditimpa kemalangan di tempat kerja. Sayangnya, kilang mak bekerja itu bertaraf ‘illegal’.
Cemas sekali waktu dimaklumkan kaki mak dihempap kayu besar yang digunakan sebagai pasak rumah.
Akibat pendaftaran kilang haram itulah mak terpaksa naik-turun bangunan PERKESO demi menuntut haknya.
Malangnya perjalanan mak saya bukan mudah.
Kebenaran lain yang lebih menyakitkan pula mak ketahui. Nama telah didaftarkan bekerja di Petaling Jaya walhal selama itu mak bekerja di Meru.
Kemalangan pula berlaku di kilang Meru iaitu kilang haram itu. Pasti ia lebih menyulitkan proses menuntut haknya sebagai pekerja di tanahair sendiri.
Perjalanan mak itu meyakinkan saya betapa amanah yang tidak dijalankan dengan betul akan menyebabkan bencana kepada orang lain.
Tahun demi tahun, luka parah yang menyelubungi emosi kami beransur hilang.
Tiada lagi keinginan keinginan menuntut hak yang sepatutnya. Akhirnya mak ambil keputusan menjadi suri rumah kembali.
Baca : Cerita abah dan suami penyayang
Abah Pakar Bertukang Rumah
Abah pula mengambil upah membuat rumah. Bermula dengan rumah kayu, akhirnya abah semakin pakar membuat rumah batu.
Bukan sebiji dua, tapi lebih dari itu. Bakti abah terpasak indah di beberapa kediaman di kampung saya. Upah membuat rumah yang abah ambil pun bukannya mahal, lebih kepada membantu sesama insan.
Membina rumah ini ibarat hobi abah.
Sepatutnya dalam usia 65 ini abah rehat sahaja memandangkan asma teruk yang abah hadapi. Tapi tidak buat abah.
Dalam usia ini abah seakan mahu menebus setiap masa yang telah terbuang sewaktu usia mudanya.
Hasil kerja tangan abah teliti dan berseni. Cuma kudrat abah yang semakin berkurangan kadangkala membuatkan kerja-kerja membuat rumah tidak selaju dulu.
Tapi saya kira abah masih hebat. Bayangkan sebiji rumah bersaiz 30 x 40 abah boleh siapkan dalam masa 3 bulan.
Dan abah buat sendiri ya!
Tapi dedikasi abah terhadap kerja-kerja pertukangan tak berbelah bagi.
Kalau boleh mahu tidur, makan baring juga di situ.
Dalam usia sebegitu, akhirnya abah temui ‘keistimewaan’ yang ada dalam dirinya. Kelebihan itu terus berkembang dan menjadikan abah pakar dalam bidangnya.
Saya juga selalu berdoa, semoga saya temui ‘keistimewaan’ yang Allah berikan dalam diri saya. Semoga tidak terlewat untuk saya temui.
Mak Juara Pidato Di Rumah Sendiri
Satu perkara yang saya perasan tentang mak sejak akhir-akhir ini; Mak telah menjadi seorang isteri yang rajin bercakap. Non Stop!
Kata abah, dari mula abah bersarapan di meja sampailah abah berjalan ke kebun, suara mak bercakap sendirian masih jelas kedengaran. Dan ini memang kelakar!
Andai mak kuat bercakap waktu muda-muda dulu, pasti awal-awal lagi abah dah cabut lari.
Tapi saya tahu sayangnya abah dekat mak, tak pernah berbelah bagi. Teguh dan utuh.
Dengan anak-anak pun abah tak pernah sekali berkasar kecuali satu peristiwa. Waktu itu, abah marah betul dengan adik lelaki saya yang sedang belajar menjadi dewasa.
Dan disebabkan kesilapan adik, dia telah diikat dan direndam di dalam kolah oleh abah. (Kalau di Sweeden sudah lama abah saya masuk penjara!).
Walhal, abah susah sekali mahu memarahi kami adik beradik.
Paling kuat denda abah dekat saya berdiri di tepi dinding sampai akhirnya saya tertidur sendiri. Itupun sebab saya degil tak mahu dengar kata.
Cuma sejak akhir-akhir ini abah semakin sensitif. Kalau saya marahkan anak-anak, abah pula yang terasa hati.
Kadangkala saya bergurau kasar sedikit dengan en suami pun abah ambil peduli. Huhu…
Cerita tentang abah dan mak memang takkan habis.
Saya mahu abadikan cerita-cerita ini, sementara semuanya masih segar diingatan. Semoga saya terus menjadi anak yang tidak sekalipun mendabik dada dengan apa yang Allah pinjamkan untuk saya.
Saya doakan mak dan abah diberikan kesihatan yang baik dan dirahmatiNya dalam apa juga perkara yang mereka usahakan.
Sesungguhnya tidak mungkin terbalas pengorbanan mereka yang begitu besar dan tidak ternilai harganya itu.
Tidak mungkin wang ringgit dapat menggantikan kebahagiaan mak dan abah tapi nilai seorang anak yang sejati dan prihatin itulah yang diharapkan oleh mana-mana ibu dan ayah di dunia ini. Amin
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 21 April 2014
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis