Korea Menggamitku I Bermacam-macam hal terjadi kepada saya baru-baru ini. Ada ketikanya cukup sukar emosi itu mahu dikendalikan. Setiap orang pasti akan melalui keadaan semacam saya; otak jammed dengan bermacam masalah. Sekarang ini pun saya dalam dilema.
Segalanya berlaku serentak, antara tugasan dan tanggungjawab menyelesaikan urusan persekolahan anak kedua. Bertenang, jalan penyelesaian mesti ada di hadapan mata. Alhamdulillah… alhamdulillah, saya ada adik-adik dan mak abah yang cukup menyokong. Mereka sudah memudahkan tugas saya. Semoga Allah memudahkan tugasan adik-adik, mak dan abah saya. Amin Ya Allah.
Banyak betul yang terjadi dua ke tiga hari ini, 2hb baru ini saya ke Batu Pahat Johor dengan suami dan anak-anak meraikan hari bahagia pengapit saya dulu, Ani Nadila. Walaupun tiba dah lewat iaitu dekat jam 3 petang tapi saya bersyukur kerana Ani telah menemui suami idaman hati. Semoga Ani berbahagia bersama pasangannya.
Cerita Tertangguh
Aci tak saya rangkumkan banyak cerita dalam satu entri. Kalau hendak cerita satu persatu, panjangnya berjela-jela. Sebab entri ini dah tertangguh lama, penyakit M pun datang menyerang. Ini salah satu bukti nyata kenapa penulis blog sama sekali dilarang meninggalkan lamannya bersawang.
Penyakit M akan datang menyerang. Walhal terlalu banyak idea bersarang dalam kepala setiap kali mengambil gambar untuk dimuatkan di dalam laman sendiri. Wabak M yang semakin menjadi-jadi akan memberi kesan parah dan melambatkan momentum penulisan.
Ingat! Jangan sesekali meninggalkan laman blog masing-masing lebih dari tiga hari. Kesannya cukup parah, lihat sahaja saya sebagai contoh. Daripada saya memberikan contoh melalut dan menuding ke arah orang lain, baiklah saya mengaku siap-siap. Ini pengajaran yang cukup berkesan sekali.
En Suami Belanja Tengok Wayang
Baru-baru ini juga saya dan beberapa orang teman media berpeluang menjadi orang pertama yang menonton preview filem Thor: The Dark World. Walaupun tak berpeluang duduk di panggung eksklusif, sekadar di hall 9 bersama kumpulan yang lain, saya tetap bersyukur.
Lama sebenarnya saya tidak menonton wayang. Paling akhir, cerita Transfomers: Dark of the Moon. Itupun, en suami yang belanja atas tiket wayang 3D. Sudahnya saya pening sendiri. Nampaknya saya lebih senang dengan layar biasa tanpa sentuhan teknologi 3D. Lebih relaks dan tidak memenatkan mata saya.
Sejak menonton filem itu saya tidak lagi menonton mana-mana wayang gambar. Tapi tak pula saya merasa kesal atau pilu tahap derita disebabkan tidak dapat menonton wayang. Kalau en suami mahu menonton filem terbaru dia akan pergi sendiri atau bersama teman-temannya.
Entahlah sejak akhir-akhir ini, saya tidak pula terkejar-kejar untuk menonton filem-filem baru di pawagam. Mungkin sebab inilah saya sedikit ketinggalan dalam hal ehwal hiburan mahupun cerita-cerita tentang artis. Tanyalah pada rakan-rakan saya, bagaimana kelakarnya saya waktu mula-mula mengendalikan ruangan hiburan di meja Mingguan Wanita.
Pengarah Murali Pesan Yakin Pada Diri Sendiri
Suatu ketika dulu, waktu mula-mula dipindahkan dari meja Dewan Siswa ke Mingguan Wanita, saya sering mengadu nasib pada kakak-kakak senior yang lain. Betapa saya tidak suka malah mahu termuntah apabila diminta membuat tugasan melibatkan artis.
Saya cukup sedih sampai mahu saja minta tukar ke majalah lain yang tidak perlu saya menemuramah artis. Ketika itu saya merasakan susahnya mengendalikan diri saya dalam satu kelompok manusia yang cukup glamour dan dikenali ramai.
Saya masih ingat waktu mula-mula menemuramah sutradara terkenal Murali di Janda Baik. Waktu itu, beliau mengarah drama terbitan kak Ziela Jalil tak silap saya tajuknya, Teratak Kasih. Dia mengingatkan saya agar yakin pada diri sendiri kerana keyakinan dirilah yang dapat membantu saya untuk memahami dunia artis ini.
Sentuhan Qalbu
Dia juga seorang pengkaji al Quran dan tidak hairanlah drama arahannya sentiasa ada sentuhan qalbu yang dalam maksudnya. Saya pasti, abang Murali sendiri sudah melupakan perbualan kami itu. Lagipun, siapalah saya, hanya wartawan muda yang masih mentah yang tidak memahami dunia hiburan.
Dan baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu semula dengan kak Ziela Jalil. Kali ini berpeluang pula merakam gambarnya bersama anak kecilnya, Ibrahim. Sungguh, saya mengingatkan yang saya pernah menemuramahnya dulu di Janda Baik. Jaraknya cukup lama sekali. Tapi saya bersyukur kerana dapat dipertemukan dengan ibu tabah ini.
Belajar Terima Kerjaya Kewartawanan Di Malaysia
Hari ini, saya sudah menerima kerjaya saya dengan baik. Saya redha dengan setiap apa yang berlaku dan saya percaya walau sukar sekalipun jalannya, pasti ada penyelesaian di penghujung setiap masalah itu. Pengalaman demi pengalaman yang dikutip selama bertahun-tahun ini, menjadikan saya lebih relaks dan tenang setiap kali berhadapan dengan masalah. (Tapi ada ketikanya kalut juga.. hehe). Saya sentiasa belajar dan sampai hari ini saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang yang lebih baik.
Dunia hiburan tidak lagi menjadi ketegangan buat diri saya. Saya percaya, hanya diri yang tenang dapat mengawal kekalutan dan ketegangan setiap kali berhadapan dengan dunia hiburan. Alhamdulillah, lorongnya semakin mudah.
Hijrah Seorang Artis
Ada juga beberapa rakan artis yang mudah didekati dan memberikan kerjasama yang baik setiap kali ‘photoshoot’. Saya juga menyaksikan bagaimana jalan hijrah menjadikan seseorang artis itu lebih baik dan lebih terbuka serta profesional setiap kali berhadapan dengan permasalahan.
Kadangkala bila terbaca komen-komen negatif tentang seseorang artis di laman sosial, saya jadi cukup sedih dengan bangsa saya sendiri. Mengapa tidak mampu berfikiran seperti masyarakat negara maju. Yang boleh berfikiran tenang dan tidak kalut setiap kali berhadapan sesuatu masalah.
Saya kira, perkara pokok yang kita kurang adalah kesabaran. Orang kita termasuk diri saya sendiri perlu belajar erti sabar yang sebenar-benarnya. Saya percaya, jalan sabar adalah laluan kejayaan dalam hidup seseorang.
Kalau saya tidak sabar dengan kerjaya saya waktu mula-mula dipindahkan ke majalah paling sibuk deadlinenya di Karangkraf, sudah tentu saya tidak dapat melihat kemanisannya pada hari ini. (Ini untuk peringatan diri sendiri)
Korea Menggamitku
Eh! Jauh pula saya menerawang. Sebenarnya mahu cerita tentang kisah di sebalik menonton wayang Thor di eCurve. Memandangkan hari itu saya sampai lebih awal, Nisa dan kak Julie bawa saya makan-makan di Bulgogi Brothers. Itu restoran makanan Korea. Kata kak Julie, sempena percutian mereka mahu ke Korea, mereka sudi membelanja saya untuk feeling-feeling Korea.
Sejak itu saya terus jatuh suka untuk mencuba membuat masakan korea sendiri. Bermula dengan meminta resipi dari Nisa tentang cara-cara membuat kimchi, sampailah saya google sendiri cara-cara membuat kimchi jgae (sejenis stew orang Korea). Tak cukup dengan itu, saya buat pula kimchi jeon (lempeng korea) yang sudahnya digemari anak-anak. Sampai licin lempeng Korea yang saiznya sama besar dengan bekas pemanggang ajaib saya.
Makanan Korea
Malamnya saya google lagi tentang makanan Korea. Oh! Saya sudah jatuh hati dengan makanan Korea. Bila disogok pula dengan berita dan gambar terkini Nisa dan Kak Julie yang ketika ini sudahpun ada di Korea, saya bertambah ‘gila Korea’. Nampak tak betapa saya sukakan Korea. Berkali-kali saya menyebut namanya.
Saya perlu ke sana tahun hadapan. Itu janji saya. Harap dapat ditunaikan nanti. Insyallah. Tapi kalau ada yang mahu sponsor saya ke sana, alangkah bagusnya. Oh! Tiba-tiba saya feeling menjadi wartawan yang berangan ke Korea.
Saya mahu cerita panjang lagi tapi mata sudah hampir mahu terlelap. Tulisan saya tidak seseronok mana, tapi saya bekalkan juga dengan cerita bergambar yang saya himpunkan sejak bulan Oktober lalu. Harap suka!.
Follow juga facebook Netty Ah Hiyer Dot Com