cerita-abah

Cerita Abah Dan Suami Penyayang

Konon minggu lepas saya mahu menulis dan dedikasikan cerita abah dan suami sempena hari bapa. Kisah en suami yang tak pernah berkira dengan saya.

Rajin membasuh dan menyidai pakaian. Sampaikan baju yang saya pakai waktu pulang kerja pun dia paksa buka segera.

Mahu masuk dalam mesin basuh katanya.

Dengan terpaksa rela, saya pun bergegas-lekas mandi semata-mata mahu memberikan pakaian yang ada di badan.

Tapi itulah istimewanya tentang si jantung hati saya. Rajin suami saya membantu tanpa paksaan.

Katanya, saya ini kuat berangan. Tangan tak bergerak, berangan saja.

Barangkali ada benarnya. Dan akhirnya saya cuma mampu katakan, itulah hasilnya kalau kahwin dengan penulis. Kalau tak kuat berangan bukan penulis sejati.

Dia cuma mampu mencebik manja.

Hargai Pengorbanan Bapa

Rasanya masih belum terlewat menghargai pengorbanan seorang bapa.

Abah saya orangnya pandai bertukang. Dia juga kawan penyimpan mohor-mohor besar tentang isi hati saya semasa saya belajar di UiTM.

Kalau ada sesuatu yang saya mahu kongsi dengan keluarga, abah orang pertama tahu.

Sebabnya, emak saya ini agak emosi orangnya. Ada beberapa perkara yang tidak boleh sampai dahulu ke pengetahuan emak.

Selepas minta pandangan abah, barulah boleh kongsi isu panas dengan emak. Mungkin kerana saya satu-satunya anak perempuan membuatkan saya dekat dengan abah.

Cuma sejak akhir-akhir ini abah jadi lebih sensitif.

Dulu abah jarang sekali menegur saya. Lewat-lewat usia ini saya tidak boleh tinggi suara dengan anak-anak. Abah mudah terasa.

nettyahhiyer.com

Sememangnya sejak dari dulu abah tak suka marah budak-budak. Anak-anak kampung di kawasan rumah abah cukup mesra dengan abah.

Baca : Sedekah tak perlu tunggu kaya baru nak buat

cerita-abah

Cerita Abah Dan Anak Kecil

Dulu waktu mereka kecil, abah sanggup layan anak-anak ini dengan memasakkan maggi satu periuk besar.

Pecahkan telur, kacau-kacau mesra dan makan sama-sama di bawah pokok rambutan yang sudah puluhan tahun usianya.

Sayangnya kenangan sebegitu sudah tiada lagi. Mungkin juga masing-masing sudah semakin sibuk dengan urusan peribadi mereka.

Tak silap saya pernah cerita dalam entri terdahulu kisah abah dan anak-anak kecil yang mesra memanggilnya atok.

Saya masih ingat bila abah mengunci anak-anak kecil ini yang cukup girang bermain air paip di rumah abah.

Sekali dua menasihati masih juga tidak mahu dengar kata. Sampai akhirnya abah kunci seorang dua anak kecil ini dalam bilik air.

Yang lawaknya, beberapa orang anak kecil yang berjaya melepaskan diri telah memanggil kuncu-kuncunya.

Konon mahu selamatkan kawan yang terkurung dalam bilik air abah yang ada di luar rumah.
 
Kawan-kawan! Jom selamatkan, atuk kurung kawan dalam bilik air.”
Jerit salah seorang ketua yang saiz tubuhnya paling besar antara mereka.
 
Ha! Nak selamatkan sapa? Main lagi air paip rumah atuk?”
Sergah abah. Dalam hati abah ketawa terkekek-kekek dengar dua orang anak kecil ini merayu minta tolong dilepaskan.

Kenangan itu cukup lucu. Sampai hari ini cerita atuk kurung anak-anak kecil ini terus segar di kotak ingatan saya.

Kerja Melebarkan Jalan Yang Susahkan Orang Kampung

Kawasan rumah abah masih lagi bersisa suasana kampung.

Cuma sejak akhir-akhir ini saya kurang setuju dengan pembangunan jalan raya yang melampau di kawasan jalan utama rumah abah.

Sepanjang laluan kampung budiman menuju ke jirat Cina Fairy park sudah dibangunkan sebatang jalan yang lebih lebar.

Seharusnya saya bersyukur bukan?

Bukan saya tidak bersyukur, tapi kerja-kerja penurapannya yang sekadar melepaskan batuk di tangga bukanlah satu perkara yang harus saya banggakan sebagai anak jati Kampung Budiman.

Saya tidak nampak untungnya kepada masyarakat di Kampung saya.

Selain melebarkan jalan dan menyusahkan orang kampung hendak keluar ke rumah jiran-jiran yang berdekatan, ia juga menyesakkan pandangan kami dengan deretan kereta yang tidak putus-putus.

Kalaupun mahu membina sebuah perumahan, sediakanlah sekali jalan utama yang tidak menyusahkan orang kampung saya yang tercinta, Kampung Budiman.

Seronok andai rintihan kecil ini dapat didengari oleh orang yang berwajib. Doa saya ianya sampai kepada mereka.

Biar mereka tahu bahawa membuat kerja tidak sepenuh hati akan mengakibatkan derita kepada orang lain.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 19 Jun 2014

Leave a Reply

error: Content is protected !!