resepi-kimchi-mudah

Resepi Kimchi Mudah Letak Epal 45 Minit Siap

Resepi kimchi mudah ini dicuba gara-gara tertengok rancangan Korea Three Meals a Day : Doctors. Artis Korea buat kimchi simple letak epal.

Bila tengok cara pembuatan kimchi kat TV itu, nampak mudah betul. Cuma 20 ke 30 minit masa diambil untuk jerukkan napa kubis atau kubis cina. Hasilnya tetap sedap walau cara buat kimchi ini simple je. Bila letak epal fuji, lagilah crunchy.

Betullah ini antara resepi kimchi paling mudah pernah saya cuba.

Resepi Kimchi Mudah Letak Epal

Durasi memasak : 45 minit

Bahan-bahan

  • 1 biji kubis napa
  • 1 biji lobak merah – hiris nipis batang mancis
  • 1 biji lobak putih – hiris nipis batang mancis
  • 3 tangkai daun bawang – potong kecil
  • 1 biji epal fuji – hiris sederhana nipis (tak perlu buang kulit)
  • 1 labu bawang putih – kisar
  • 2 inci halia – kisar
  • 1 biji bawang holland – kisar
  • 2 sudu besar sos ikan – saya buh lebih sikit, sebab takde cencaluk
  • 1 sudu besar cencaluk – buang airnya, ambil isi saja. (tapi saya tak letak, sebab tak jumpa kat kedai)
  • 21/2 sudu besar serbuk cili babas
  • 1 sudu besar gula
  • Garam kasar

Cara Membuat Resepi Kimchi Simple Dan Sedap

resepi-kimchi-mudah

Cara buat kimchi simple : Basuh bersih kubis napa di bawah air paip. Kalau ada yang hitam-hitam dekat kubis tu buang ya. Bahagian kasar dekat pangkal kubis itu buang juga.

Saya potong jadi bahagian kecil senang makan, mudah juga nanti nak meresap garam masa proses pemerapan.

Letak dalam bekas berjaring, tos kejap.

resepi-kimchi-mudah

Masukkan dalam bekas yang besar. Taburkan garam kasar ke dalam dia. Saya takde sukatan tepat. Main campak-campak je garam tu.

Janji garam tu dalam menyaluti kubis-kubis.

Kemudian, tutup bekas dan biarkan. Lepas 20 ke 30 minit boleh cuci bawah air paip. Cuci 2 ke 3 kali bawah air paip.

Sebab rendam kejap, taklah saya basuh lama. Biar je rasa masin sederhana tu melekat. Toskan, saya perah manja juga bagi buang air.

resepi-kimchi-mudah

Sementara itu siapkan bahan sampingan dia.

Hiris lobak merah, lobak putih, daun bawang dan epal fuji. Susunlah cecantik dalam bekas.

Buat kimchi homemade ni sebenarnya satu proses menenangkan jiwa juga. Jadi, kita susun cantik sayuran tu. Barulah rasa happy tu datang.

resepi-kimchi-mudah

Kupas pula bawang putih, bawang holland dan halia.

Kisar bawang dan halia guna chopper semua bahan ini.

Kalau takde chopper, kisar pakai blender pun boleh. Masukkan sikit air mineral ke air cuckoo ke air coway ke. Air masak pun boleh. Jangan pula guna air paip. Sakit perut pula nanti.

Walaupun nama dia resepi kimchi mudah, tapi jangan ambil mudah pula. Wink-wink.

Cara Buat Pes Resepi Kimchi Mudah

resepi-kimchi-mudah

Masukkan bebawang yang dah siap kisar tadi dalam bekas nak buat resepi kimchi mudah ni. Kalau bahan-bahan sayuran tu sedikit, dan bebawang kisar tu macam banyak semacam, kurangkanlah sendiri ya.

Kang lebihan tu boleh je guna untuk masak sup daging ke ayam ke. Hahaha.

  • Masukkan pula serbuk cili dan gula. Sebab apa saya masukkan gula, sebab saya tak buat pes tepung pulut. Kalau nak belajar buat tepung pulut itu boleh tengok resepi kimchi halal Korea yang pernah saya share sebelum ni.

Tambah sos ikan dan gaulkan sekata bahan-bahan ni.

Sebab saya tak guna serbuk cili kimchi Korea tu, maka dia akan bergumpal ya. Tapi jangan risau, dia ok je sebenarnya.

resepi-kimchi-mudah

Kemudian, masukkan pula sayuran. Gaullah sekata bagi kesemua sayuran tu disaluti pes kimchi. Lepas tu, masukkan kubis napa yang sudah diasinkan. Gaul bagi sekata.

Akhir sekali, masukkan epal dan gaul bagi sekata.

Taburkan biji bijan. Tak letak pun takpe, saya saja je letak untuk beri bauan enak pada resepi kimchi mudah saya ini.

Proses buat kimchi ini ambil masa dalam 45 minit dah siap : sementara peram kubis tu, kau hirislah sayuran dan bebawang tu.. memang dapatlah timing saya beri ni. Kah!

Masukkan kimchi dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti ais, lepas 3 jam baru makan.

Kalau anda guna serbuk cili Korea, boleh makan terus ya.

Resepi kimchi mudah saya kongsi ini tak perlu anda buat pes tepung pulut. Jadi, dia memang tak ambil masa yang lama untuk penyediaan dan menyiapkannya.

Cili Kimchi Guna Serbuk Cili Babas

Sebelum ini kalau saya buat kimchi, memang ambil masa yang lama untuk masinkan daun kubis napa itu. Berjam-jam jugalah nak perap kubis.

Bila ikut resepi kimchi mudah lagi simple ini. Eh! cepat je.

Sebab saya gunakan cili babas jenis yang cover merah itu. Saya tak terus makan kimchi yang baru jadi ini. Saya biarkan dua tiga jam, simpan dalam peti sejuk, barulah kendian saya makan.

Dulu saya guna serbuk cili babas yang cover hijau. Bila guna yang itu, bila siap boleh terus makan. Tapi, cari punya cari serbuk cili tu dah tak de jual kat pasaran.

Serbuk cili babas merah ini agak pahit sedikit.

resepi-kimchi-mudah

Cara Simpan Kimchi Bagi Tahan Lama

Saya pernah ada pengalaman buat kimchi, tapi belum lama dia membusuk. Rupanya semasa proses mengawet sayuran itu saya tak perhatikan kubis napa itu betul-betul.

  • Jadi masa nak buat tu, kalau ada kesan hitam-hitam pada batang kubis silalah buang ya. Itu pun boleh jadi punca kimchi tak tahan lama.
  • Simpan dalam bekas kedap udara dan susun cantik dalam peti sejuk.
  • Jangan simpan kimchi dalam peti sejuk yang padat. Sebab barang yang banyak dalam peti sejuk boleh pengaruhi suhu dalam peti sejuk anda sebenarnya. Buatkan kimchi tak jadi segar.
  • Suhu peti ais yang baik pun pengaruhi kesedapan dan kesegaran sayuran pada kimchi. Macam dekat rumah saya ini suhunya bawah 16 darjah celsius.
  • Gunakan sudu baru untuk ambil kimchi.
  • Setiap kali ceduk kimchi dari bekas, sila tekan-tekan semula kimchi. Agar tiada udara antaranya. Kimchi boleh meneruskan proses pemeraman di dalam peti sejuk anda itu.
  • Kimchi yang disimpan lebih seminggu sebenarnya akan hasilkan air kimchi. Masa ini, sedap kalau nak buat lempeng kimchi atau sup kimchi daging dan tauhu tu, Sundubu Jjigae nama dia.
resepi-kimchi-mudah

Khasiat Kimchi Korea

  • Kimchi ini sebenarnya kaya dengan vitamin C. Mana tidaknya, cili merah itu kan sumber vitamin C yang baik juga. Malah antioksida dalam melindungi sel-sel tubuh seseorang daripada sebarang kerosakan akibat radikal bebas.
  • Vitamin C ini kan membantu penghasilan protien yang bagus. Termasuklah kolagen yang bermanfaat untuk kulit sihat.
  • Kimchi ini juga ada kepekatan bakteria probiotik asid laktik yang sangat tinggi. Memberi pelbagai manfaat kesihatan. Eloklah juga diberikan kepada anak-anak.

Anak-anak saya memang ‘hantu’ kimchi. Bila buat resepi kimchi mudah ni, sekejap je habis. Kadang dimakan dengan rotilah, campur dalam burger.

Paling layan sambil makan megi buh kimchi.. hahaha. Yang ni tak sihat sangat ya.

Walau selepas beberapa hari rangup sayuran tu masih ada.

Penangan tengok cerita makan-makan Korea, dia boleh terpengaruh dibuatnya. Terus terbayang-bayang sedang menikmati masakan autentik Korea.

Gituh!

Baca juga :

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Tags:

3 Comments

  1. Myzan December 13, 2022
  2. abam kie December 16, 2022
    • nettyahhiyer December 21, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!