kimchi

Sebulan Jual 50 Bekas Kimchi Homemade

Pertama kali posting saya berkaitan cerita kimchi di facebook peribadi bermula beberapa hari sebelum menyambut Ramadan tahun 2015. Rupa-rupanya perkongsian suka-suka itu mengundang keinginan untuk merasa di kalangan teman-teman facebook.

Teman sekampung, Taty mula membuat tempahan. Saya pun iyakan sajalah. Teman sudah mengharap, hendak kata tidak. Kasihan pula. Maka, antara yakin dan tidak saya pun memproses kimchi seperti yang saya pelajari di internet.

Pulang dari tempat kerja saya pun menghantar kimchi ke rumahnya. Saya pesan padanya, kimchi boleh dimakan begitu saja, boleh juga jika mahu dimasukkan ke dalam masakan lain.

Kebetulan dia yang sedang berbuka puasa ganti ada hidangan bihun. Kimchi saya itu pun menjadi hidangan tambahan tanpa disangka-sangka.

Tak Sangka Kimchi Homemade Disukai Pelanggan

Selesai menikmati, Taty kongsikan testimoni dan ‘tagged’ saya di facebook. Siapa pun tak menyangka yang kimchi saya itu mula menyentuh hati, mendesak-desak mereka mahu mencuba.

Tempahan baru mula saya terima. Entah kenapa, saya terima saja dan buatkan kimchi baru untuk mereka yang menempah.

Bulan Ramadhan ini saya gigih membuat tempahan. Dalam pada itu, saya sentiasa ‘upgrade’ dan lakukan R & D dengan projek kimchi ini. Cari apakah formula terbaik agar ia boleh menepati citarasa orang kita.

Alhamdulillah, setiap adunan cuma bertahan 1 malam. Kerana, teman-teman sudah menempahnya. Saya congak kembali, saya sudah jual 50 bekas homemade kimchi pada kawan-kawan yang mahu mencuba. Dan jumlah itu terus bertambah sepanjang Ramadhan yang lalu.

kimchi

Saya Buat Kimchi Homemade

Sebenarnya apa yang mahu saya sampaikan ini?

Cerita kimchi ini biasa-biasa saja. Tapi pelajaran di sebalik idea menghasilkan kimchi ini membuatkan saya belajar memahami apa itu bisnes.

  • Jika mahu berniaga jangan pernah fikir, saya tiada modal. Tanpa modal saya tidak boleh berniaga.
  • Saya tiada produk jadi macam mana hendak berniaga.
  • Dan saya tidak tahu macamana hendak cari pelanggan.

Sememangnya itulah antara persoalan yang selalu saya fikirkan dulu.

Nah! Saya sudah membuktikan tak perlu modal besarpun jika mahu berbisnes. Namun saya tak nafikan ‘networking’ itu amat penting sekali.

Menerusi grup Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR), geng Karangkraf, geng facebook saya membina jaringan kenalan. Kenalan yang dekat di hati. Mereka inilah yang sentiasa memberi sokongan pada saya. Syukur sekali.

Baca : Resepi kimchi mudah letak epal 45 minit siap

Berjaya Di Bulan Ramadan

Saya pelajari juga tentang hal ini sepanjang Ramadhan ini. Jika mahu berjaya:

  1. Jangan sesekali fikir mahu bermula dengan yang besar, bermulalah dari kecil dan jadikan ia besar di kemudian hari.
  2. Sabar… gandakan sabar… terus gandakan sabar.
  3. Jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan ibu bapa, mentua, suami, anak-anak, adik-beradik dan orang sekeliling. Pendek kata selagi namanya manusia kena berbaik-baiklah dengan mereka.
  4. Kuat semangat. Tak payah patah semangat sangat! Kalau hendak mengadu pun adulah pada Dia Yang Menciptakan kita sebagai hambaNya.  

Ya, hendak berjaya tiada jalan singkat. Jika mahu laju, teruslah berlari. Jika memilih untuk bertatih, teruslah berjalan penuh konsisten. Jangan pernah berhenti.

Dengan ABDR saya telah bermula sejak tiga tahun lalu. Walaupun ianya serba sederhana namun jalinan ukhwah antara ahli ABDR cukup akrab sekali. Ramai sekali saya bertemu dengan rakan-rakan suri yang gigih dan hebat-hebat belaka.

Rupanya networking ini begitu mengujakan. Memudahkan kerja-kerja harian saya sebagai wartawan yang sentiasa mahukan info-info menarik untuk dikongsi dengan pembaca majalah. Saya kira, anda juga perlu tahu betapa istimewanya ABDR. Ianya grup sokongan untuk suri yang bekerja di rumah mahupun suri yang berkerjaya seperti saya. 

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 31 Julai 2015

Baca juga :
- Inspirasi WAHM, Kuasai Blog Sebelum Berhenti Kerja
- Bagaimana Akhirnya Blog Travelog Wartawan Menjaga Wang
- Bersyukur direzekikan bekerja dan berniaga


 

2 Comments

  1. Unknown September 3, 2015
  2. Netty Ah Hiyer November 7, 2015

Leave a Reply

error: Content is protected !!