Resepi lempeng Korea kimchijeon atau kimchi pancake versi saya letak daun selasih. Ada sentuhan thai dalam hidangan lempeng kimchi ini.
Lempeng Korea ini menggunakan kimchi halal Korea yang dah matang iaitu beberapa hari diperam dan ada airnya. Unik pancake Korea kimchi ini ada rasa pedas, masam, manis dan masin membuatkan lempeng kimchi sedap dinikmati oleh anak-anak.
Bila saya tambah daun selasih, aroma segar citarasa tempatan terasa-rasa dekat lidah masa makan. Resepi Pancake Korea ini juga sangat popular dekat Korea. Kadang tu jadi hidangan menyelerakan dalam drama Korea.
Bahan-bahan untuk resepi Lempeng Korea Kimchijeon
- 4 sudu besar kimchi matang
- 2 sudu besar tepung gandum (ikut citarasa)
- Air kimchi (ikut citarasa)
- Sedikit garam
- Sedikit perasa Tumix
- Minyak jagung
- Daun selasih

Cara Membuat Lempeng Korea Kimchijeon
Ini langkah demi langkah bagaimana menyediakan lempeng sayuran kimchi sedap lagi lazat.
Sediakan Adunan
- Masukkan kimchi dalam mangkuk. Masukkan tepung gandum dan air kimchi gaul sekata.
- Jika adunan terlalu cair boleh tambah sedikit tepung. Tapi, jangan terlalu banyak, sebab fungsi tepung itu untuk bagi sayuran kimchi melekat antara satu sama lain saja.
- Kalau terlalu pekat boleh tambah air kimchi. Kalau air kimchi sedikit, boleh campurkan air sejuk.
Perasakan Kimchi Pancake
- Setelah adunan sebati, boleh tambahkan garam dan perasa. Boleh juga jika hendak masukkan gula untuk seimbangkan rasa. Tapi, untuk resepi saya ini saya tak guna. Sebab kimchi saya buat sendiri ini ada sedikit rasa manis.
- Perasa itu optional. Kalau tak suka, tak perlu masukkan.
- Untuk memberi rasa pada kimchijeon bergantung pada citarasa masing-masing ya.

Memasak Kimchijeon
- Panaskan sedikit minyak jagung dalam kuali non stick anda.
- Tuangkan adunan tadi. Jika mahu buat saiz kecil anda boleh masukkan satu senduk adunan saja. Memandangkan sukatan saya ini sedikit saja, saya masukkan semua sekali.
- Ratakan adunan agar menjadi lempeng yang nipis.
- Boleh letakkan daun selasih di atasnya.
- Bila bahagian bawah lempeng dah masak, boleh balikkan dan teruskan menggoreng sehingga kedua-dua belah menjadi warna keemasan.
Info masakan : Resepi saya ini versi paling mudah gunakan bahan mana ada di dapur saja. Malah, saya tidak memotong kecil kimchi kerana sengaja mahukan tekstur yang kasar pada lempeng sayuran saya ini.
Apa Itu Kimchijeon
Masakan ini merupakan hidangan Korea yang menggabungkan kimchi dengan adunan tepung dan telur. Ia juga disebut sebagai kimchi pancake atau nama Melayunya, lempeng kimchi.
Sebab rupa dan bentuknya macam lempeng.
Kimchi yang digunakan dalam masakan ini adalah kimchi yang telah masak dan dipotong halus untuk memberikan rasa dan aroma yang pekat pada hidangan.
Sejarah Kimchijeon
Kimchi ini hakikatnya dah menjadi sebahagian daripada budaya makanan Korea sejak beratus-ratus tahun lamanya. Sebab itulah, wujudnya bermacam resepi yang berasaskan kimchi termasuklah lempeng kimchi ini.
Nama lain untuknya adalah kimchi-buchimgae.
Dalam budaya Korea hidangan ini menjadi menu masyarakat. Snek yang sangat mudah disediakan. Selain penggunaan bahan-bahan dengan bajet rendah.
Baca juga : Resepi kimchi mudah
Penggunaan Bahan-bahan Sebenar Kimchi Buchimgae
Dalam menghasilkan lempeng kimchi sebagaimana orang Korea masak, mereka menggunakan bahan-bahan seperti :
Kimchi
Bahan utama dalam hidangan. Pastikan kimchi anda telah matang dan ada rasa pedas dan masam yang enak.
Tepung
Digunakan untuk membuat adunan lempeng. Boleh juga digandingkan dengan tepung jagung untuk pelbagaikan citarasa.
Telur
Digunakan untuk mengental dan mengikat bahan-bahan dalam kimchijeon dan memberikan tekstur yang lembut.
Air
Bahan penting dalam adunan. Air sejuk menjadikan adunan lebih ringan dan rangup ketika dimasak.
Daun bawang
Memberikan rasa segar dan khasiat tersendiri pada hidangan. Hiris daun bawang halus untuk ditaburkan dalam adunan atau atas hidangan.
Garam
Garam untuk menambah rasa dalam masakan.
Minyak bijan
Untuk menerbitkan aroma unik dan memperkayakan rasa kimchi pancake anda.

Pancake Korea Kimchijeon Makan Dengan Apa Sedap
Hidangan ini boleh dinikmati dengan sos cili, sos pedas atau kicap pedas yang lain. Memandangkan ianya juga seperti snek, maka boleh saja dimakan begitu saja sewaktu hidangan masih hangat.
Disebabkan bentuknya yang macam piza tu, bolehlah dihiris dengan potongan pizza. Atau potong bentuk segiempat.
Variasi Kimchi Pancakes
Lempeng sayuran ini juga boleh dipelbagaikan citarasanya. Macam saya buat itu, saya tambahkan daun selasih di atasnya dan rasanya tersangatlah sedap. Selain itu, boleh cuba ikut cadangan di bawah.
Tambah Seafood atau Makanan Laut
Misalnya potong udang atau sotong degan saiz kecil dan tambahkan dalam adunan lempeng. Fuh! segar rasa laut gituh.
Tambahkan Keju
Letak kepingan keju semasa menggoreng dan hidang ketika masih panas. Tentu gabungan rasa ini akan menambah selera makan akan.
Tambahkan Daging
Potong daging kecil dan nipis supaya ketika dimasak daging akan jadi lembut. Ia menambah kemanisan dalam hidangan anda nanti.
Lempeng Daun Bawang
Boleh tambahkan daun bawang dalam resepi pancake Korea ini. Haa.. tentu rasa kimchi lempeng tu akan berganda sedap.
Baca juga : Kimchi daun kucai
Manfaat Kesihatan Kimchi Pancake
Jangan tak tahu, lempeng sayuran kimchi ini juga ada manfaat untuk kesihatan anda.
Kaya Dengan Probiotik
Dalam kimchi itu sendiri ada bakteria baik yang baik untuk usus dan meningkatkan sistem imun dalam badan.
Kaya Vitamin dan Mineral
Kimchi juga kaya dengan vitamin C dan mineral yang penting untuk kesihatan badan.
Sifat Antioksida
Bahan-bahan dalam kimchi juga mempunyai sifat antioksidan yang membantu melawan radikal bebas dalam tubuh anda.
Antara ‘Street Food’ Popular
Kimchi pancakes ini juga antara makanan jalanan (street food) bagi orang Korea Selatan. Ianya disajikan sebagai snek ringan yang berkhasiat untuk dinikmati ketika malam hari.
Malah, resepinya turut dipelbagaikan dengan penambahan bahan lain yang memenuhi citarasa snek mudah rakyat Korea itu sendiri.
Tips untuk Memasak Kimchijeon Terbaik
- Gunakan kimchi yang matang untuk mendapatkan rasa yang lebih mewah lagi.
- Jangan masak lempeng kimchi terlalu tebal. Lebih nipis lebih rangup.
- Sebelum masukkan adunan, pastikan minyak betul-betul panas agar ia tidak melekat pada kuali.
Baca juga : https://sitizurinamatsaman.com/intec-anjur-k-fest-2023-belajar-di-korea/