Empat hari saja di Kedah, macam-macam boleh jumpa | Catatan ini saya rangkumkan dalam perjalanan selama 4 hari kami sekeluarga berkelana di Alor Star, Kedah.
Jangan kata kelakar. Walaupun cuma trip dalam negara, tanpa persediaan semuanya akan jadi huru-hara.
Kami sekeluarga merancang mahu bertolak ke Kedah pada hari Sabtu. Demi meraikan sepupu en suami yang bersanding.
Malam Jumaat, maksu hubungi en suami maklumkan, jika kami bertolak hari Sabtu, jam berapa hendak sampai ke Kedah?
Betul juga tu… Sungguh, kesibukan bekerja membuatkan kami lupa tentang masa dan waktu.
Lalu, malam itu, kami ‘packing’ mana yang perlu. Berehat seketika dan kira-kira jam 12 kami bergerak menuju ke Utara.
Dalam hati tertanya-tanya, di mana kami akan menginap sepanjang di Kedah? Dalam perjalanan, saya buka Agoda, Trivago dan sebagainya. Mencari penginapan murah dan berbaloi melalui tempahan online.
En suami kata, jangan tempah dulu kita tengok esok macam mana.
Fine! Saya dan en suami memang begini. Tidak pernah ada planning-planning dalam urusan berjalan-jalan. Jenis redah dan tempuh.
Menginap Di Rumah Sewa Mak Su
Berehat beberapa kali di hentian. Sejam dua, masing-masing tidur-tidur ayam. Baik en suami mahupun anak-anak semua tak dapat lena. Letih betul perjalanan hening pagi itu.
Kira-kira, jam 6 kami tiba di hentian R&R terakhir. Lelap seketika dan bersolat Subuh. Mahu kejut anak-anak bangun sarapan pun tidak sampai hati.
Sudahnya perjalanan diteruskan saja. Kami rancang mahu bersarapan di Kedah saja.
Jam 11 sampailah kami di rumah maksu. Benarlah kata en suami, rupa-rupanya maksu sudah sediakan penginapan untuk kami di sana.
Duduk seketika di rumah sewa maksu. Dalam jam 12 tengahari kami raikan sepupu di hari bahagianya.
Selesai acara bersanding, kami jalan di kawasan sekitar dan terjumpa dengan gerai laksa ikan sekor. Lepak seketika di situ dengan anak-anak.
Konon mahu nikmati udara di laluan tanpa bumbung. Sekali, hujan turun. Mujurlah dah sampai ke sisa-sisa terakhir menjamah laksa.
Baca : Rentas negeri, jalan-jalan di Pekan Sehari Temerloh
Ikan Bakar Kuala Kedah
Alang-alang sudah sampai Kedah, kami rancang mahu makan ikan bakar di Kuala Kedah. Saya buka waze dan cari ikan bakar kuala kedah.
Baiklah, waze sudah menunjukkan laluannya. Malangnya, paparan skrin destinasi tidak sama dengan realiti. Destinasi yang dimaksudkan hanyalah sebatang jambatan.
Pening seketika, mulut terus membebel marahkan waze. Kami berjalan sampailah ke penghujung laluan. Tatkala menukar arah itulah, kami bertemu dengan restoran ikan bakar yang dicari.
Sayangnya, panas badan Zarif pula yang naik mendadak. Tiba-tiba dia alami hidung berdarah.
Langsung, kami pilih saja membeli makanan di gerai dan bawa pulang. Rancangan mahu bertemu kawan en suami juga terpaksa di tunda.
Sekali lagi, kami gunakan khidmat waze untuk pulang ke rumah sewa maksu. Dan sekali lagi, kami disesatkan oleh waze.
Ini kesimpulan saya. Jangan sesekali buka waze ketika berjalan dengan en suami. Ia akan membawa kepada perbalahan kecil yang tak masuk dek akal.
Esoknya, kami sudah merancang mahu pulang saja ke Meru. Frust juga, banyak sekali rancangan on the spot yang tidak menjadi.
Singgah sebentar di rumah maksu dan borak-borak dengan mereka. Paksu beri kami tips menggoreng ikan untuk resipi tiga rasa.
Kata paksu yang berniaga sup enak berherba di gerai bawah pokok dekat rumah sewanya itu, jika mahu ikan jadi rangup.
Tip Goreng Ikan Jadi Rangup : Sebelum goreng lumur ikan dengan kaya. Kemudian, goreng dan lihatlah hasilnya.
nettyahhiyer.com
Selesai di rumah paksu, kami sudah mahu bergegas pulang. Singgah sebentar ke Menara Alor Star, konon mahu buat lawatan sambil belajar untuk anak-anak.
Seketika di atas menara yang mewah dengan tiupan angin membuatkan kami terfikir mahu duduk sehari lagi di sini.

Cari Hotel Dari Teropong Menara Alor Star
Rupa-rupanya aktiviti meneropong di atas menara, membolehkan en suami melihat hotel terdekat dari menara.
Nanti kita tengok Hotel Samila ni. Kata en suami yakin. Pergi ke sana untuk bertanyakan kekosongan bilik. Tapi baru jam 12, kekosongan bilik tidak boleh ditentukan.
Kami ambil nombor telefon dan maklumkan akan membuat tempahan.
Sementara menunggu, kami redah ke Tunjang mahu bertemu teman penulis yang dikenali di Facebook. Ramah sekali Tunku Zarita melayan kami dengan air tangan di gerai makanannya.
Makan,rehat, berbual tentang cerpen langsung bergerak ke destinasi seterusnya di Jitra.
En suami mahu bertemu kenalan yang tidak sempat kami temui malam sebelumnya. Baiklah, cara kami, jika sudah sampai ke Kedah carilah kenalan-kenalan lama.
Saya juga mencari kenalan waktu di UiTM. Syukurlah saya lanjutkan tempoh penginapan di Kedah, dapatlah bertemu dengan Fizat yang lama dirindui. Rancangan bertemu Fizat, kami aturkan keesokan hari.
Sebelum ke Jitra, saya up status tentang lawatan di Kedah. Ramai rakan Facebook mencadangkan bawa anak-anak melawat Muzium Padi. Jadi, jika berjalan-jalan ke sana, rajin-rajinlah up status di Facebook.
Pasti rakan-rakan Facebook dari negeri Kedah akan mencadangkan tempat-tempat menarik untuk dilawati.
Memandangkan saya sedang perang dingin dengan waze, aplikasi itu hanya saya buka bila terlalu terdesak sahaja.
Sampai malam hari, kami berehat-rehat di rumah teman en suami. Sempat mempromosikan Mingguan Wanita pada orang rumah temannya.
Malam itu ada perlawanan bolasepak di Stadium Alor Setar. Mirza yang gila bola cukup teruja. Seronok walaupun cuma dapat lihat deretan kenderaan di luar stadium.
Saya? Macam biasa, siapa lawan siapa pun saya tak pernah hendak ambil tahu.
Jumpa Fizat Di Kedah
Esok paginya kami chek out siap-siap. Terus bergegas beli cenderamata sikit langsung ke Muzium Padi Kedah.
Cantiknya kawasan itu, sampai saya minta en suami berhenti di tepi sawah untuk saya feeling-feeling ambil gambar.
Ajak anak-anak tak ada sorang pun mahu ikut. Mungkin masing-masing dah keletihan. Sebab pagi itu kami berjalan merata mencari barang.
Tengok jam sudah melepasi waktu tengah hari. Saya set mahu berjumpa Fizat. Call tak angkat, Whats App tak berbalas. Agak-agaknya Fizat tidur lagi sebab keletihan baru balik dari KL malam tadi.
Barangkali pertemuan yang kami rancang ini tidak jadi. Hampa sedikit. Lalu beritahu pada en suami. Kita pulang sajalah ke KL. Whats App pada Fizat, maklumkan kami sudah mahu gerak ke KL.
Phone berdering-dering, Fizat hubungi dan kami menetapkan lokasi pertemuan di pekan Tunjang. Tak lama kemudian, Fizat bawa saya ke Restoran Dato’ Keramat.
Besar restorannya. Kalau di KL tempat makan begitu mahu ratus-ratus kalau jumlah pemakannya macam kami ini.
Sayangnya kami sampai sudah lewat sedikit. Banyak lauk dah habis. Ambil mana yang ada tapi banyak jugalah jumlahnya.
Dengan coconut shakenya 7 cawan, dengan makanan laut dan daging bagai. Totalnya tak sampai pun RM50.
Secawan Kopi Cuma 20 Sen
Paling terkejut bila secawan air kopi en suami cuma bernilai 20 sen.
Ini memang betul-betul meniaga kerana sedekah ni. Apa pun restoran ini terlihat begitu maju. Di sudut ada surau mini.
Anak-anak selesa berlari ke sana sini. Sebelum pulang saya dengan ada suara orang mengaji.
Syukur, di Kedah ini kos makannya memang jauh murah berbanding di KL dan Shah Alam. Area Meru pun saya masih boleh kata murah lagi.
Jadi soal murah atau mahal sebenarnya penjual itu sendiri yang tentukan. Bagaimana niatnya mahu mencari rezeki melalui perniagaan.
Adakah fast track atau biar perlahan asal konsisten.
Apa pun tepuk dada tanya keselesaan diri.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 1 Januari 2016
Baca juga : - 'Rajin suamiku di dapur' Ini pun tips bahagia dengan pasangan - Rutin kental mak, rupanya melatih anak sifat kepimpinan - Headphone bluetooth murah bawah RM50, mudah anakku ber’google meet’ - Duit gaji berilah mak ayah, InsyaAllah rezeki mencurah
- Like : Fanpage Netty Ah Hiyer Tulis
- Follow : Instagram Netty Ah Hiyer
- Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis