Kisah Qaseh dan entri kali ini. Saya percaya, mahu menaip di blog sebenarnya perlukan ‘mood’ dan suasana hati damai yang tinggi. Jika dua perkara itu sudah hilang, akhirnya jadi macam saya ini. Paksa diri pun tidak akan menjadi.
Sebenarnya, saya sudah siapkan beberapa keping gambar untuk entri saya yang seterusnya: cerita tentang Ammar yang syahid di bumi Turki, perjalanan saya ke Singapura bersama Alfio Raldo.
Tentang bagaimana akhirnya saya dapat menjejaki tingkat 50 Menara Felda di Jalan Stonor dan kisah para wartawan tegar Mingguan Wanita si baju hijau sampailah cerita Zarif yang lincah di hari pertama orientasi darjah 1.
Anak Dara Saya Qaseh
Akhirnya, gambar itu hanya pegun di dalam album kamera fon saya. Sedang saya berkira-kira mahu menyiapkan artikel untuk Mingguan Wanita, saya jatuh seronok pula bila menatap gambar anak dara saya bergaun putih.
Menggoda-goda pusat pemikiran saya yang hampir mahu tertidur ini agar terus menaip dan menyediakan satu entri untuk si dara Qaseh.
Hm, ini macam entri berat sebelah saja kan? Kasihan Zarif dan Mirza, sudah terpinggir awal-awal. Mirza dan Zarif tetap istimewa di hati saya. Walau mereka pantang berjumpa, macam-macam benda mahu diadu.
Mirza tak nak kawan dengan Zariflah, Zarif ‘buat’ abanglah. Hailah anak! Kadangkala ibu pula yang jadi singa betina, tak pasal-pasal. Mungkin Qaseh belum sampai ke tahap itu.
Petang ini, Qaseh comel sekali. Baju putih itu buat Qaseh nampak cute dan manja. Dia memang begitu suka bergaya dan pandai mengambil hati.
Jika saya senyap, dia akan memanggil ‘Amma… amma… ‘ Panggilan Qaseh untuk saya, mesra dan tersendiri.
Paling seronok bila dengar dia sebut nama ayahnya, ‘Ayah…’ tapi jangan biar dia menjerit lebih dari tiga harkat. Bunyinya akan berubah menjadi ‘Ayam’. Comelkan?
Qaseh Pemberi Semangat
Qaseh ini ibarat ‘booster’ untuk saya menaip malam ini. Begitulah kalau mahu menulis, kita perlukan sesuatu yang mendorong diri untuk terus menulis.
Ada ketikanya, wang menjadi sandaran. Jika tulisan kita itu mampu menjana wang, semakin laju dan bersemangatlah kita menaip.
Jika tulisan kita itu menjadi punca bahagia di hati. Janganlah ada perasaan mahu berhenti. Teruslah membahagiakan diri seterusnya membahagiakan hati orang lain.
Saya menulis kerana terpaksa. Jika saya tidak menulis, tiadalah gaji untuk saya bulan itu. Lama kelamaan, keterpaksaan itu menjadi kebiasaan.
Dan kebiasaan itu akhirnya menjadi satu keseronokan. Bagaimana mahu mencipta keseronokan dalam keterpaksaan? Ikhlas dan redha menerima qada dan qadar Allah.
Jika sudah ditulis inilah pekerjaan saya, akhirnya saya di sini. Walau bermacam usaha mahu lari, tapi apabila kita sudah menemui kemahiran dan tahu di manakah unik dalam diri yang Allah anugerahkan, maka usaha lari itu akan terhenti.
Langsung belajarlah untuk berlapang dada dan berbaik sangka dengan Allah.
Harga Barang Naik
Sungguh, setiap kali membuka laman facebook saya jadi gerun sendiri. Sana-sini memperkatakan tentang kenaikan harga barang, tarif elektrik yang bertambah, tol yang semakin meningkat.
Sana sini cerita tentang peningkatan. Gaji pula naiknya tidak setaraf dengan naiknya harga barang. Saya tarik nafas dalam-dalam. Ada ketikanya terasa nafas sudah di paras-paras hidung, ada ketikanya saya berlapang dada. Lalu, apakah caranya untuk berhadapan kemelut yang cukup menduga ini?
Pasti ada jalan penyelesaian yang boleh saya cari untuk diri saya sendiri. Saya juga pernah berhadapan peritnya menanggung hutang yang perlu dilangsaikan, dalam masa yang sama wang masuknya tidak sebesar hutangnya. Akhirnya saya belajar dari setiap perkara dan ujian yang datang dalam hidup saya. Sebelum kerajaan war-warkan langkah penjimatan, saya sudah amalkan siap-siap.
Kembali Kepada Asas
Saya pernah menjadi orang yang gila ‘gadget’ sanggup membeli walaupun di luar kemampuan. Setelah ada, saya tidak lagi menukar-nukarnya. Walau orang lain bertanya-memujuk-mempromosi, saya kekal dengan apa seadanya.
Saya pernah membeli premium insurans untuk anak-anak. Selepas 7 tahun penuh setia, akhirnya saya berhenti. Saya mencari insurans yang tidak ada unsur riba di dalamnya.
Memandangkan kewangan saya biasa-biasa, saya langsung berhenti. Saya bertawakal dan redha. Di hospital kerajaan juga ada baiknya, moga Allah benarkan saya temui kebaikan itu. (Saya tidak galakkan anda mengikutinya. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Anda bebas memilih. Cuma inilah cara saya).
Buka Akaun Untuk Anak
Bonus saya adalah untuk pelaburan. Sekarang ini jika mahu membuat pelaburan Unit Trust, jika tiada RM1000 tidak boleh mencarum. Nilai itu bukannya sedikit. Besar bagi saya, tidak tahulah pula bagi anda. Tidak perlu berangan-angan mahu membeli yang bukan-bukan.
Buka akaun pelaburan siap-siap untuk anak-anak dan ada duit lebih nanti untuk diri sendiri. Tapi ura-uranya, ekonomi yang kurang stabil ini akan menurunkan nilai wang. Pelaburan emas lebih selamat, terjamin untuk jangka masa panjang. Siapa tahu, boleh kongsi dengan saya.
Menderma ada juga rezeki untuk kita. Siapa percaya pada kuasa derma? En Suami kata saya ini kedekut orangnya. Mungkin, saya akui sedikit. Saya teringat pada satu peristiwa tentang kisah seorang remaja yang kemalangan akibat dilanggar lari.
Waktu itu, saya membuat berita mengenainya. Kasihan sungguh dengan keluarga gadis itu. Hati saya tiba-tiba mahu memberikan sejumlah derma kepada keluarga gadis itu, sebagai meringankan beban mereka.
Hati saya berkira-kira, hendak beri atau tidak? Sebabnya saya belum pernah menderma sebesar itu kepada orang lain. Akhirnya, saya berlari mengejar ibu gadis itu dan berikan juga wang dalam genggaman saya.
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis