Panduan Terperinci Malam Pertama Suami Isteri

Bulan lalu saya ada menghubungi ustaz Mohd Fikri Che Hussein. Boleh layari blog ustaz yang banyak infonya, http://alamghiri.blogspot.com/. Minta beliau menjawab beberapa persoalan tentang ‘Panduan Malam Pertama Pengantin Baru’.

Agak panas topik yang mahu saya kupas dalam ruangan Psikologi Perkahwinan untuk bulan Julai lalu.  

Tetapi ada beberapa perkara yang kurang sesuai untuk saya siarkan dalam majalah. Penerbitan majalah ini sebenarnya ada garis panduan yang perlu penulis patuhi. Cuma di alam maya ini, ianya lebih mudah dan meluas.

Sebab itulah, majalah sifatnya lebih ampuh dan mempunyai kredibiliti. Jika bukan penulis menjadi ‘gatekeeper’ siapa lagi yang akan melakukannya. Tak faham? Tak mengapa, masih belum terlambat untuk belajar.  

Ada juga info-info menarik yang tak dapat saya siarkan sepenuhnya kerana perlu ditapis bagi memuatkan ruangan satu muka surat setengah yang diberikan oleh editor. Memandangkan infonya amat menarik, saya kongsikan teks lengkapnya di blog saya ini.  

Soal jawab bersama Ustaz Fikri.Apakah panduan yang perlu diamalkan oleh suami isteri untuk menghadapi malam pertama. Mohon ustaz terangkan dengan terperinci.  

Islam mempunyai adab yang terkandung di dalamnya nilai-nilai akhlak dan moral yang begitu luhur. Selain itu ia juga mengandungi kebaikan dari segi mental dan kesihatan fizikal.

Terdapat begitu banyak petunjuk di dalam al-Quran dan hadis yang membicarakan adab ‘malam pertama’ di antara hubungan suami isteri. Antara garis panduan yang perlu diamalkan oleh suami isteri mengikut sunnah adalah seperti berikut:

Pertama : Doakan Kebaikan Isteri

Pengantin lelaki mendoakan kebaikan kepada isterinya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:   “Apabila salah seorang dari kamu mengahwini wanita atau membeli seorang budak maka peganglah ubun-ubunnya lalu bacalah ‘basmalah’ serta doakanlah dengan doa keberkatan dengan mengucapkan: “Ya Allah, aku memohon kebaikannya dan kebaikan tabiat yang dibawanya. Dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan tabiat yang dibawanya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 2160), Ibnu Majah (no. 1918) dan al-Hakim (II/185)] 

Kedua: Solat Sunat Dua Rakaan Bersama Isteri

Hendaklah pengantin lelaki mengerjakan solat sunat dua rakaat bersama isterinya Sekalipun ia tiada sandaran dari sunnah, tetapi ia adalah amalan para sahabat dan salaf sebagaimana sebuah hadis dari Abu Sa’id maula Abu Usaid bahawa dia berkata: “Aku berkahwin ketika aku masih seorang remaja. Ketika itu aku mengundang beberapa orang Sahabat Nabi, di antaranya ‘Abdullah bin Mas’ud, Abu Dzar dan Hudzaifah radhiyallaahu ‘anhum. Lalu tibalah waktu solat, Abu Dzar bergegas untuk mengimami solat.   

Tetapi mereka berkata: ‘Kamulah (Abu Sa’id) yang berhak!’   Ia (Abu Dzar) berkata: ‘Apakah benar demikian?’ ‘Benar!’ jawab mereka. Aku pun maju mengimami mereka solat. Ketika itu aku masih seorang remaja. Selanjutnya mereka mengajariku, ‘Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kalian berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya dari keburukannya. Selanjutnya terserah kamu berdua…!” [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan ‘Abdurrazzaq dalam al-Musannaf] 

Ketiga : Layan Penuh Kelembutan

Melayani penuh kelembutan dan kemesraan walaupun dengan hanya memberikan segelas air minuman. Layanan sebegini berdasarkan hadis Asma’ binti Yazid binti al-Sakan radhiyallaahu ‘anha, dia berkata:  

“Saya menghias ‘Aisyah untuk Rasulullah SAW. Setelah itu saya menemuinya dan saya panggil Baginda supaya menghadiahkan sesuatu kepada ‘Aisyah. Baginda pun datang lalu duduk di sebelah ‘Aisyah. Ketika itu Rasulullah SAW diberi segelas susu. Setelah Baginda minum, gelas itu Baginda berikan pula kepada ‘Aisyah. Tetapi ‘Aisyah menundukkan kepalanya dan malu-malu.” ‘Asma binti Yazid berkata: “Aku menegur ‘Aisyah dan berkata kepadanya, “Ambillah gelas itu dari tangan Rasulullah SAW!” Akhirnya ‘Aisyah pun mengambil gelas itu dan meminum sedikit.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad]

Keempat : Doa Sebelum Gauli Isteri

Berdoa sebelum suami menggauli isterinya. Sebelum menggauli isterinya itu, hendaklah suami membacakan doa ini, بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا. “Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah aku dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang akan Engkau kurniakan kepada kami.”

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah menetapkan lahirnya seorang anak dari hubungan antara keduanya, nescaya syaitan tidak akan membahayakannya selama-lamanya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ibn Majah, al-Nasaii dan Musnad Ahmad]

Kelima : Tempat Yang Betul

Suami boleh menggauli isterinya dengan pelbagai cara dan posisi asalkan pada kemaluannya. Allah Taala berfirman:   “Isteri-Isterimu adalah ladang bagimu, maka datangilah ladangmu itu dari mana sahaja dengan cara yang kamu sukai. Dan utamakanlah (yang baik) untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa kamu (kelak) akan menemui-Nya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.” [Surah al-Baqarah : 223]   

Dan berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Boleh sahaja menggaulinya dari arah hadapan atau dari belakang asalkan pada kemaluannya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh al-Thahawi dalam Syarah Ma’anil Atsar dan al-Baihaqi]

Keenam : Tak Tergesa-gesa

Tidak tergesa-gesa. Apabila suami telah melepaskan hajatnya, janganlah dia tergesa-gesa bangkit dan sewajarnya dia pastikan sehingga isterinya melepaskan hajatnya juga. Sebab dengan cara seperti itu terbukti dapat meneruskan lagi keharmonian dan kasih sayang antara keduanya.

Ketujuh : Wuduk Dulu Untuk Kali Kedua

Perlu berwuduk semula jika ingin menggauli isteri buat kali kedua. Apabila suami mampu dan ingin mengulangi semula untuk menggauli isterinya, maka hendaklah dia berwuduk terlebih dahulu.   Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang di antara kamu telah menggauli isterinya kemudian dia ingin mengulanginya lagi, maka hendaklah dia berwuduk terlebih dahulu.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad]   

Adapun yang lebih utama adalah dengan mandi terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan hadis dari Abu Rafi’ r.a. bahawasanya Nabi SAW pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam. Baginda mandi di rumah fulanah dan rumah fulanah. Abu Rafi’ berkata, “Wahai Rasulullah, mengapa tidak dengan sekali mandi sahaja?” Baginda menjawab, “Ini lebih bersih, lebih baik dan lebih suci.” [Hadis hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Nasaii]

Kelapan : Bila-bila Boleh Gauli Isterinya

Pada bila-bila masa sahaja suami boleh menggauli isterinya. Seorang suami dibolehkan mencampuri isterinya pada bila-bila masa sahaja yang dia ingini, sama ada pada waktu pagi, siang atau malam. Bahkan, apabila seorang suami melihat wanita lain yang menarik perhatiannya, hendaklah dia mendatangi isterinya.  

Hal ini berdasarkan riwayat bahawasanya Rasulullah SAW melihat wanita yang menarik perhatian Baginda, lantas Baginda mendatangi isterinya iaitu Zainab r.a. yang sedang menguli roti. Lalu Baginda melepaskan hajatnya dengan isterinya.  

Kemudian Baginda bersabda,”Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (tarikan hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mempesonakannya), hendaklah dia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak (kejahatan) yang ada di dalam hatinya.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud, al-Baihaqi dan Imam Ahmad]

Kesembilan : Haram Waktu Haid, Nifas

Haram menyetubuhi isteri pada duburnya dan haram menyetubuhi isteri ketika ia sedang haid atau nifas.  

Larangan perbuatan ini berdasarkan firman Allah Taala, “Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang haid. Katakanlah, ‘Itu adalah sesuatu yang kotor.’ Kerana itu jauhilah isteri pada waktu haid dan janganlah kamu dekati sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, campurilah mereka sesuai dengan (ketentuan) yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mensucikan diri.” [Surah al-Baqarah : 222]   

Dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang menggauli isterinya yang sedang haid atau menggauli pada duburnya atau mendatangi pawang, maka dia telah kafir terhadap ajaran yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi, Ahmad, al-Baihaqi dan al-Nasaii] Malah dalam sebuah hadis lain Nabi SAW bersabda, “Dilaknat orang yang menyetubuhi isterinya pada duburnya.” [Hadis hasan: Diriwayatkan oleh Ibnu Adi dan dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad]

Kesepuluh : Kena Kifarat

Suami yang menggauli isterinya yang haid dikenakan kifarat. Hal ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas r.a. dari Nabi SAW tentang orang yang menggauli isterinya yang sedang haid.  

Lalu Nabi SAW bersabda, “Hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar.” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasaii, al-Tirmizi, Ibn Majah, Imam Ahmad dan al-Hakim]   

Masalah yang kerap terjadi kini semakin membingungkan, maka sebaiknya pihak suami boleh bersedekah dengan kadar tersebut iaitu 1 dinar = 4.25gram emas yang nilaiannya adalah RM137.27/gram bagi bulan Mei 2014 iaitu bersamaan RM583.40 bagi harga sedinar atau RM291.70 bagi nilaian setengah dinar emas.

Kesebelas : Bercumbu Ketika Haid

Boleh sahaja suami bercumbu dengan isterinya ketika haid. Apabila seseorang suami ingin bercumbu dengan isterinya yang sedang haid, dia boleh bercumbu dengannya di mana sahaja tubuh isterinya kecuali pada bahagian kemaluannya.  

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Lakukanlah di mana saja kecuali nikah (bersetubuh).” [Hadis sahih: Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud]

Kedua belas : Bersihkan Diri

Hendaklah membersihkan kemaluan dan berwuduk terlebih dahulu untuk makan atau tidur. Apabila suami atau isteri ingin makan atau tidur setelah bersetubuh, hendaklah mereka mencuci kemaluannya dan berwuduk terlebih dahulu serta mencuci kedua tangannya.  

Hal ini berdasarkan hadis dari ‘Aisyah r.anha bahawa Rasulullah bersabda, “Apabila Baginda hendak tidur dalam keadaan berjunub, maka Baginda berwuduk seperti wuduk untuk solat terlebih dahulu. Begitu juga apabila Baginda hendak makan atau minum dalam keadaan berjunub, maka Baginda terlebih dahulu mencuci kedua tangannya kemudian barulah makan dan minum.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasaii, Ibn Majah dan Imam Ahmad]

Ketiga belas : Malam Pertama Terbaik

Jadikan malam pertama yang terbaik dan penuh keselesaan. Sebaiknya elakkan diri kedua pasangan dalam keadaan terlalu lapar atau dalam keadaan sangat kenyang kerana dapat membahayakan kesihatan. Suhu cuaca juga sebaiknya dalam keadaan yang selesa tidak terlalu panas atau terlalu sejuk, manakala udara pula perlu segar membangkitkan suasana yang romantik dengan penuh aroma keharuman dan membangkitkan rasa kasih sayang.

Keempat belas : Mandi Suami Isteri

Pasangan suami isteri dibolehkan mandi bersama dalam satu tempat dan suami isteri juga dibolehkan saling melihat aurat masing-masing. Ini berpandukan kepada riwayat dari ‘Aisyah yang mengatakan bahawa ‘Aisyah tidak pernah melihat aurat Rasulullah SAW adalah riwayat yang batil, kerana di dalam sanadnya ada seorang pendusta. Malah Nabi SAW sering mandi bersama para isteri Baginda seperti ‘Aisyah dan juga Maimunah r.anhuma.

Kelima belas : Jaga Rahsia Pasangan

Menjaga rahsia pasangan. Perlu diketahui bahawa adalah haram hukumnya menyebarkan rahsia rumah tangga dan hubungan suami isteri kepada orang lain. Kadangkala ‘kejahilan’ sesetengah pihak dalam hal ini membuatkan kisah rahsia rumah tangga diceritakan kepada orang lain dengan perasaan bangga. Perbuatan sebegini perlu dihindari kerana ia adalah satu hal yang dilarang.  

Malah Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling hina kedudukannya pada hari Kiamat adalah laki-laki yang bersetubuh dengan isterinya dan wanita yang bersetubuh dengan suaminya kemudian ia menyebarkan rahsia pasangannya.” [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad]

Apakah batas perhiasan yang tidak dibolehkan oleh seorang isteri untuk suami di malam pengantin?

Dalam bab berhias diri si isteri kepada suaminya pada malam pengantin, maka ia sebenarnya tidak terbatas. Ini kerana kedua mereka tidak ada lagi batasan aurat dan mereka adalah halal sepenuhnya. Suami isteri yang bergaul pada malam tersebut dikira mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala dan tidak juga terhad hanya pada malam Jumaat.

Sebagaimana tanggapan sesetengah masyarakat kita. Setiap perkara yang halal itu akan diberi pahala yang besar sebagaimana perbuatan zina yang haram tanpa perkahwinan yang sah itu dikenakan dosa besar. Ini disebabkan persoalan perkahwinan ini adalah satu anjuran yang amat digalakkan kepada kaum muslimin bagi meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.

Mengapa suami digalakkan berlemah lembut pada isteri ketika menggaulinya?

Suami sememangnya perlu bersikap lemah lembut kepada si isteri sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu sabdanya, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]  

Tentunya akhlak yang terbaik adalah kepada orang yang sering didampinginya iaitu isterinya, bukan hanya kepada rakan sahaja atau kenalan yang rapat sahaja dia berakhlak tetapi dengan isteri bersikap sebaliknya. Hanya sewaktu ingin menggauli isterinya sahaja bersikap baik dan menunjukkan tingkah laku lemah lembut dan sebagainya. Sepatutnya, jadilah seperti Rasulullah SAW yang bersabda dalam sebuah hadis, “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah orang yang berbuat baik kepada isteriku.” [Diriwayatkan oleh Ibn Majah]

Apakah kebaikan di sebalik garis panduan ini?

Kebaikan yang didapati dari garis panduan di atas adalah merupakan saranan yang dianjurkan oleh Islam kepada penganutnya. Ini kerana setiap panduan ini dibahaskan di dalam kitab Fiqh sejak zaman permulaan Islam bagi memudahkan urusan kekeluargaan, kemasyarakatan dan seterusnya sebagai satu peraturan kenegaraan yang harmoni dan stabil.  

Jadi tindakan yang diambil dari malam pertama hingga ke hari kematian suami atau isteri tersebut adalah satu peraturan yang disusun secara sistematik berpandukan wahyu, ia bukan sekadar pandangan logik atau satu ramalan sahaja sebagaimana golongan yang lain.

Perkara yang perlu dilakukan oleh suami isteri selepas malam pertama

Selepas selesainya malam pertama, antara anjuran sunnah yang telah disebutkan di atas dan wajar diulang kembali sebagai peringatan ialah mengambil wuduk atau mandi junub sebelum tidur. Namun, waktu mandi boleh dilakukan ketika sebelum tidur atau setelah tidur. Namun apabila dalam mengakhirkan mandi maka disunatkan terlebih dahulu agar berwuduk sebelum tidur.  

Hal ini berdasarkan hadis Abdullah bin Qais r.a, dia berkata, “Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah r.anha, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika berjunub? Apakah Baginda mandi sebelum tidur atau mandi selepas tidur?” ‘Aisyah menjawab, “Semua itu pernah dilakukan oleh Rasulullah. Kadang kala Baginda mandi lebih dahulu kemudian tidur dan kadang-kadang Baginda hanya berwuduk kemudian tidur.” [Diriwayatkan oleh Imam Ahmad]

Pentingnya bergurau senda suami isteri

Semua orang mengetahui bahawa hidup ini tidak pernah sunyi dari masalah. Cubaan dan cabaran yang dilalui manusia dalam hidup sering membuatnya berasa terpinggir sehingga sukar untuk mengatasinya. Oleh itu manusia sangat memerlukan sesuatu yang dapat memberi kehidupan dan semangat untuk bekerja agar hilang segala rasa bosan dan jemu dalam menghadapi kehidupan seharian.  

Bagi tujuan itu, Islam membenarkan adanya gurau senda dalam rangka untuk melahirkan suasana yang penuh kegembiraan dan kasih mesra antara suami isteri. Gurau senda ini penting bagi melahirkan rasa yang harmoni dan menambahkan kasih sayang antara kedua pasangan tersebut.  

Bahkan Rasulullah SAW sendiri dalam kehidupan Baginda sering sahaja bergurau senda dengan isterinya terutama ‘Aisyah yang dirakamkan menerusi hadis-hadis Baginda SAW seperti kisah berlumba lari, kisah mengangkat ‘Aisyah untuk menonton persembahan tarian tombak Habsyah dan sebagainya.

Maka semua gurau senda yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu boleh meneguhkan rumahtangga yang sentiasa bahagia. Segala kelangsungan hubungan rumahtangga dengan gurau senda dan mencipta iklim yang menyenangkan penuh dengan senyum dan hilai tawa itu akan lebih menceriakan kehidupan sebenarnya.

Mengapa pentingnya mengamalkan panduan malam pertama mengikut cara Islam ini?

Kepentingan yang boleh diambil dari panduan malam pertama mengikut cara Islam ini sedikit sebanyak memperlihatkan betapa agungnya kesempurnaan syariat Islam dalam mengatur semua sisi kehidupan ini. Sehingga pada setiap gerak hamba ada nilai ibadah yang boleh diperoleh pahalanya.  

Oleh sebab itu tidak ada yang sia-sia dalam mengikuti aturan Ilahi dan meneladani sunnah Nabi. Semuanya memiliki makna serta mengandungi kemaslahatan dan kebaikan kerana ia datang dari Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Tinggi IlmuNya.

Maka dari itu syariat yang Allah turunkan selaras dengan fitrah hamba-Nya sebagai manusia, sebagaimana disyariatkan dalam perkahwinan.  

Kesempurnaan syariat Islam ini jelas menunjukkan betapa besarnya perhatian Allah terhadap para hambaNya melebihi perhatian hamba terhadap dirinya sendiri. Oleh itu, setiap hamba perlu berada di atas jalan fitrah tersebut berpaksikan agama Allah agar diri mereka senantiasa di atas jalan yang lurus. Firman Allah, “(Tetaplah di atas fitrah) yang Allah telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” [Surah al-Rum: 30].   wallahu a’lam. Semoga bermanfaat

Leave a Comment