hiasan-lama

Hiasan Lama Kembali Ceria

Hiasan lama kembali ceria | Entri kali ini santai saja. Tentang idea mencantikkan semula hiasan lama yang terperam berkurun dalam simpanan.

Waktu bujang dulu saya pernah tinggal serumah dengan kawan satu UiTM. Kami sama-sama masuk ke Karangkraf. Dia ke majalah Dewan Masyarakat, saya pula dihantar ke majalah Dewan Siswa.

Memandangkan gaji yang kadang cukup makan kadang tidak itu, kami ambil keputusan tinggal sementara di rumah ibu saudara kawan saya, di Flat Rumah Burung (ini gelaran yang pakcik kawan saya berikan) dekat Sunway Pyramid.

Sewa Rumah Berdekatan Pejabat

Bila sudah ‘confirm’, kami cari rumah sewa dekat dengan pejabat Karangkraf di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Waktu itu bangunan Karangkraf belum berpindah ke Shah Alam lagi. Kos menyewa sebiji rumah di sana mencecah ribuan ringgit.

Bagi pekerja baru macam kami ini, gajinya sahaja setelah ditolak EPF dan Socso, ratusan ringgitlah yang tinggal.

Akhirnya, kami ambil keputusan menyewa sahaja bilik di Jalan Burhanuddin Helmi dengan kos RM340 yang dibahagi dua bayarannya.

hiasan-lama

Cantikkan Kembali Hiasan Lama

Bermacam cerita telah kami cipta ketika sedang bertatih dalam kerjaya kewartawanan ini. Sekarang teman saya itu sudahpun bergelar Editor majalah Rapi. Orangnya juga masih anggun dan rapi. 

Saya berbangga dengan pencapaiannya. Zuraita Mohd Anua, yang pernah saya kenali sememangnya seorang yang cergas dan aktif dalam aktiviti hariannya.

Sesuai sekali dia mengendalikan majalah kesihatan seumpama itu. Jika tidak masakan saya sendiri waktu serumah dengannya jarang sekali hendak mencapai keberatan 50kg.

Sekarang ini bila sudah jauh faham sajalah. Bagai dipam-pam lemaknya. Hehe…

Suatu ketika dulu, Ita (nama panggilan kami untuknya) pernah hadiahkan saya sebuah bekas hiasan. Tapi penutupnya sudah pecah.

Rugi pula hendak dibuang kerana bekasnya masih lagi terhias cantik. Kebetulan, di rumah saya ada beberapa kuntum bunga yang saya tidak digunakan. 

Baca : Mencipta ruang bilik tidur minimalis selepas banjir

hiasan-lama

Tup-tup saya mendapat idea menghias bekas lama pemberian teman dengan ilham bunga-bungaan plastik yang masih elok tekstur dan bentuknya.

Jadi, kalau ada hiasan lama di rumah dan masih boleh digunakan semula. Cubalah perbaiki. Jika sudah tidak berguna, jangan pula disimpan buat pekasam.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 13 September 2013

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Tags:

Leave a Reply

error: Content is protected !!