tumis-sayur-keladi

Tumis Sayur Keladi Gerenti Tak Gatal

Pertama kali saya cuba buat tumis sayur keladi untuk menu keluarga. Sayur keladi tumis ini sedap dan tidak gatal jika betul cara mengerjakannya.

Sebelum masak tumis sayur keladi ini, batang sulurnya kenalah direbus dulu untuk hilangkan gatal keladi itu sendiri.

Kata abah, jenis batang keladi putih yang paling sesuai untuk dimasak. Sebab tak gatal bila buat tumis sayur keladi. Berbanding dengan keladi berbatang ungu.

Abah memang tanam keladi di kebun wak Idah. Luas tanaman keladinya. Bila tiba musim berbuah, sampai tak termakan. Hari itu, waktu buat makan-makan di kebun, abah kata nak let go saja keladi-keladi dia tu.

Hahaha.. tergelak saya. Sebenarnya, abah dah boringlah tu. Abah sekarang tanam pokok pisang pula. Punyalah susah hati, sebab jantung pisang tanduk abah naik ke langit.

Ke langit.. ke langit.. Entah apalah silapnya.’ Kata abah sedih sempat lagi jadikan lagu.

Saya bergurau dengan abah. Saya kata, ‘Abah kena gelek dangdut baru jantung tu jatuh ke bawah.’ Sengih saja abah dengar anaknya merapu.

Haa.. jomlah kita masak sayur batang keladi tumis pulak. Cerita pokok pulak jadinya.

Begini Cara Nak Hilangkan Gatal Batang Keladi

  • Mula-mula kenalah siang batang keladi itu. Buang kulit luarnya satu-persatu sampai selesai.
  • Kemudian, potonglah kecil.
  • Sementara itu, panaskan air dalam periuk. Agak-agaklah sukatannya untuk merebus keladi yang dah disiang tadi.
  • Masukkan asam keping beberapa keping. Rebus air dan asam keping sampai menggelegak.
  • Barulah masukkan keladi yang dah dibersihkan tadi.
  • Saya letak juga sedikit garam.
  • Bila dah empuk, matikanlah api.
  • Terus lalukan bawah air paip. Saya bilas sampai 3 kali. Buat lembut-lembut.
  • Kemudian, toskan batang keladi rebus tadi dalam penapis.
  • Alhamdulillah cara ini buat sayur batang keladi itu jadi tak gatal.

Baca : Cara siang ikan banyak tulang, mudah makan

tumis-sayur-keladi

Resepi Tumis Sayur Keladi

  • Separuh bawang besar – hiris (kalau ada bawang merah buhlah 3 biji. Kat rumah saya ini dah habis. Guna mana ada je)
  • 2 ulas bawang putih – hiris
  • 2 tangkai cili kering – hiris halus
  • 5 biji cili padi – hiris
  • Segenggam udang kering / ikan bilis – tumbuk (saya guna udang kering memandangkan ikan bilis pun habis.. hahaha.)
  • 1 sudu sos ikan
  • Garam, gula, perasa

Cara Masak Sayur Keladi Tumis

  1. Panaskan minyak, masukkan udang kering / ikan bilis dulu. Kemudian, masukkan bawang besar, barang putih, cili kering dan cili padi.
  2. Tumis sampai naik bau.
  3. Masukkan daun keladi, masukkan gula, garam, perasa dan sos ikan.
  4. Seimbangkan rasanya.
  5. Kalau garing tambahkan air sikit.
  6. Kuah pekat matikan api.
sayur-keladi-tumis

Haa.. semudah itu saja buat tumis sayur keladi ini. Tapi dia punya sedap.. makan sayur batang keladi ni saja dengan nasi panas-panas pun dah best dah.

Batang keladi atau sulur keladi ini sedap juga kalau dimasak asam. Pernahlah saya buat, tapi tak teringat pula nak ambil gambarnya.

Rasanya memang sedap dan menyegarkan. Lagi-lagi kalau ditambah ikan dalam rebusan asam keladi itu.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

4 Comments

  1. Myzan August 25, 2022
    • nettyahhiyer August 25, 2022
  2. mamapp August 25, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!