resepi-inti-karipap-kentang

Resepi Inti Karipap Kentang Simple 30 Biji, Doh Sure Rangup

Resepi inti karipap kentang simple ini mudah saja nak buat. Bahannya pun tak banyak. Gabung dengan doh karipap rangup.

Rahsia nak dapatkan doh karipap yang rangup ini diberikan oleh seorang kakak yang pernah saya interview waktu anaknya sakit. Lembut gebu betul kulit karipap inti kentang yang dibuatnya.

Saya paling suka makan inti karipap kari kentang yang tak campur macam-macam. Cuma kentang dan ada rasa kari yang ringan.

Resepi Inti Karipap Kentang Simple

Durasi memasak : 45 minit

Bahan-bahan inti karipap :

  • 1 biji bawang besar – kisar
  • 2 ulas bawang putih – kisar
  • Segenggam ikan bilis – kisar
  • 5 biji kentang – (saiz besar) dibuang kulit potong dadu
  • 4 sudu serbuk kari ikan
  • Daun sup – yang banyak – dipotong kecil
  • Sedikit Lada sulah
  • Garam, gula, perasa
  • Sikit pes asam jawa

Cara Masak Inti Karipap Jadi Lebih Sedap

  1. Tumis bahan kisar; bawang besar, bawang putih dan ikan bilis sampai naik bau.
  2. Masukkan pula serbuk kari dan tumis sampai terbit minyak.
  3. Kemudian, masukkan kentang. Tumis sekejap bagi kentang sebati dengan rempah. Masukkan air dan biarkan mendidih hingga kentang empuk.
  4. Agak kentang nak empuk masukkan lada sulah, sikit asam jawa, garam, gula perasa secukupnya.
  5. Masukkan potongan daun sup.
  6. Kacau sampai kuah inti kentang memekat dan kentang pun lembut.
inti-karipap

Resepi Doh Karipap Rangup Lagi Sedap

Durasi memasak : 1 jam

Bahan-bahan Doh Karipap Simple

  • 4 cawan tepung gandum (ni agak-agak je)
  • 2 sudu besar buttercup mentega (original salted)
  • Sedikit garam
  • Perahan limau nipis (inilah rahsia sedap rangup doh karipap tu. Resepi asalnya guna limau kasturi, tapi takde kat rumah ni)
  • Minyak masak – panaskan dulu
  • Air secukupnya

Cara Buat Karipap Simple

  1. Satukan tepung, garam dan buttercup. Sementara itu, bolehlah panaskan minyak masak. Bila dah panas betul, tuang perlahan dalam adunan tepung.
  2. Gaulkan sekata. Gunalah senduk ya, sebab panas betul minyak tu. Tapi kalau jari jemari tahan panas, gaul je guna tangan. Nanti dia akan dapat tekstur doh yang berderai dan rapuh.
  3. Bolehlah perah atau tuang jus limau nipis. Gaul lagi.
  4. Tuang air sikit-sikit, gaul sebati adunan. Kalau masih berderai boleh masukkan air sikit-sikit. Gaul sampai tepung karipap tu tak melekat dekat bekas mahupun tangan.
  5. Cuit sedikit tepung dan bulatkan kecil-kecil.
  6. Daripada doh bulat kecil tu bolehlah diuli dengan penguli untuk jadikan kulit karipap.
  7. Isi inti padat-padat.. sebab buat sendirikan. Kalau rajin buhlah telur rebus tengah inti pastu katup.
  8. Pastu bolehlah berangan rasa macam karipap ikea tu.

Tip masakan

  • Saya letak juga sedikit minyak atas dulang doh nak bagi doh tak melekat antara satu sama lain.
  • Sukatan doh karipap ini saya agak-agak saja ya. Nanti kome pandai-pandai le adjust sendiri.
inti-karipap-frozen

Cara Buat Karipap Frozen Untuk Beginner

Daripada adunan saya itu, saya dapat hasilkan 30 karipap gebu yang padat intinya. Haa.. bila buat inti karipap homemade ini, tak jumpalah karipap oksigen.

Itu pun, inti ada lebih. Dan saya simpan dalam peti beku. Bila-bila teringin, boleh sambung buat lagi karipap.

Lebihan karipap yang siap saya jadikan frozen untuk disimpan dalam freezer. Saya ini level-level beginner tau. Begini cara buat kulit karipap frozen.

  1. Karipap yang dah siap diuli dan dimasukkan inti kentang, digoreng separuh masak.
  2. Tak perlu sampai garing sepenuhnya. Masih ada warna putih pada doh karipap tu.
  3. Perlu balikkan selalu ketika menggoreng karipap (memang tak boleh leka ya).
  4. Angkat dan sejukkan.
  5. Cara simpan karipap frozen pun kena betul untuk elak kulit karipap melekat antara satu sama lain. Mula-mula susun karipap dalam bekas. Elakkan daripada bertindih. Lapikkan dengan plastik putih.
  6. Susun lagi karipap di atasnya. Buat selapis saja. Lapik lagi dengan plastik putih dan seterusnya ikuti langkah yang sama.
  7. Tutup bekas dan boleh simpan dalam peti sejuk beku anda. InsyaAllah, karipap frozen ini bolehlah tahan lama dalam freezer.

Sebab dari pengalaman sendiri, ada beberapa karipap saya tindihkan dan dia melekatlah pulak. Kenalah tunggu karipap defrost baru boleh leraikan.

Berapa lama karipap frozen tahan. Karipap frozen yang dibuat dan disimpan dengan betul boleh bertahan sehingga 6 bulan dalam freezer.

Baca juga : Manisnya keledek bakar dalam oven, 45 minit masak

inti karipap
Antara inti karipap kentang versi pedas yang pernah saya buat.

Jenis Inti Karipap Yang Boleh Dicuba

Sebenarnya inti karipap ini bukan sekadar inti karipap kentang semata. Ada bermacam-macam yang boleh dicuba. Antaranya :

  • Inti karipap kentang udang kering
  • Inti karipap kentang lada hitam
  • Inti karipap keledek
  • Inti karipap ayam
  • Inti karipap daging
  • Inti karipap sardin

Sebenarnya saya sendiri ada pengalaman sedih dengan karipap ini. Punya sedihlah sampai saya share dalam blog saya tentang karipap berderai saya ini.

Kata orang pengalaman itu mematangkan kan. Akhirnya saya belajar, sampailah dah pandai buat karipap kentang homemade yang saya puas hati.

Tags:

2 Comments

  1. Abam Kie March 24, 2023
  2. xaturen March 25, 2023

Leave a Reply

error: Content is protected !!