Ayam goreng kunyit berempah yang simple. Resepi ayam goreng kunyit ini saya masak khas untuk suami yang sakit gout dekat dua hari.
Saya guna bahan masakan yang boleh dimakan oleh orang gout waktu goreng ayam kunyit ini. Sebenarnya teramat susah nak cari resepi makanan pesakit gout. Banyak sangat pantang larangnya.
Seafood tak boleh, buah-buahan tinggi fruktosa tak boleh.. sampai ada masa tu jadi blank nak masak lauk apa. “Dah semua tak boleh, awak puasa jelah bang..” kata saya bergurau.
Resepi Ayam Goreng Kunyit Berempah
Durasi memasak : 30 minit
Bahan-bahan Rempah
- 1 mangkuk isi dada ayam – dipotong kecil (dah siap beli kat pasaraya)
- 1 sudu besar kunyit
- 1 sudu besar serbuk ketumbar
- 1/2 sudu besar garam masala
- 1/2 sudu besar serbuk kari daging
- 1 sudu besar serbuk cili
- Sedikit garam

Bahan Sayur Dihiris
- 1/2 bawang besar – dihiris
- 3 ulas bawang putih – dihiris
- 1 genggam daun kucai – dihiris panjang
- 2 tangkai daun kari (saya tak letak, sebab tak ada)
Cara Memasak Ayam Goreng Kunyit Berempah (Langkah Demi Langkah)

Setelah ayam dibasuh bersih, tos dan masukkan kesemua bahan-bahan rempah. Gaul sebati. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan potongan dada ayam yang sudah dirempahkan tadi.
Goreng sampai garing.

Bila dah hilang air ayam, ayam pun dah garing boleh angkat ayam goreng kunyit berempah dan ketepikan dalam pinggan.

Dalam minyak yang sama, saya masukkan bawang besar dan bawang putih hiris. Goreng sampai betul-betul garing. Sebab saya nak dapatkan tekstur yang crunchy.
Baca : Sedapnya ayam sambal hijau simple favourite keluarga

Selepas itu, saya keluarkan lebihan minyak. Tutuplah api waktu ini ya. Lebihan minyak ini jangan dibuang. Boleh guna untuk menggoreng sayur dan sebagainya.
Saya guna lebihan minyak ini untuk masak asam pedas Klebang daging. Sedap juga.

Kemudian, masukkan ayam goreng kunyit berempah yang dah siap tadi dalam kuali. Dan masukkan juga daun kucai.
Hidupkan api dan kacau sekata.

Siap ayam goreng berempah ini untuk dinikmati bersama keluarga. Kalau tak kena gout, bolehlah dinikmati ayam goreng kunyit sedap ini dengan sambal belacan tumbuk dan nasi panas-panas.
Senang kan proses memasak ayam goreng kunyit berempah ini. Kalau ada kenalan yang kebetulan kena gout tu, bolehlah cuba masak resepi ayam goreng berempah simple macam ini.
Semoga memberi idea kepada anda.
Resepi Ayam Goreng Kunyit
Bahan-bahan
- 1 mangkuk ayam – dipotong kecil ambil isinya
- Sedikit serbuk kunyit
- Sedikit serbuk kari ayam & daging
- Sedikit garam
- Sedikit lobak merah – hiris memanjang
- Sedikit kacang panjang – hiris memanjang
Cara Masak Ayam Goreng Kunyit
- Gaulkan potongan ayam dengan serbuk kunyit, kari, garam dan perasa.
- Goreng garing. Agak nak masak masukkan sayuran dan goreng bersamanya seketika.
- Siap
Baca : ayam bakar dalam oven lembut lagi juicy
Makanan Untuk Suami Gout
Resepi ayam masak kunyit simple yang dikongsikan di atas boleh dimakan oleh pesakit gout. Sayuran lobak merah dan kacang panjang boleh dimakan dalam jumlah berkadaran.
Waktu tengah gout sebolehnya elak makan makanan yang ada serbuk perasa.
Masakan ayam ungkep pun boleh diambil sebab bahan masakannya tak ada belacan.
Sedih en Yem bila banyak makanan yang dia tak boleh nak makan. Bila diserang gout tu, memang betul-betul dia sekat makan. Sebab waktu itu, kata en Yem, dia punya sakit nak pijak lantai pun rasa nak pecah.
Kesian sungguhlah.. Bila dah ok sikit. Saya cuba masak lauk ayam goreng kunyit berempah ini. Tak adalah berasaskan makanan lautkan. Jadi, bolehlah en Yem makan ayam goreng kunyit simple ni.
Tapi, yang lucunya. Bila en Yem kena gout dengan anak-anak pun kena ikut makan macam orang gout. Ibu takkan masak sedap-sedap punya. Hahaha..
Makanan Ini Pesakit Gout Tak Boleh Makan
En Yem ini, kalau dia sihat dia boleh je makan makanan yang dikatakan pesakit gout tak boleh makan itu. Tapi, bila tengah sakit memang kena elak betullah.
Sebab makanan ini tinggi purin. Purin yang tinggi boleh menyebabkan asid borik berganda-ganda dan itu yang menyebabkan sakit tak tertahan.
Cuma, en Yem kata dia memang pantang makan belacan. Kalau tak sengaja terambil itu.. automatik terus jadi.
Ini antara makanan yang pesakit gout macam en Yem sebolehnya kena elaklah kalau tak nak kena gout lagi.
- Seafood (sotong, udang, ikan bilis)
- Belacan
- Makanan proses dan awet
- Ikan (tapi ambil juga sikit, sebab untuk bagi ada sumber protein kan)
- Bahan perasa
- Sayur dan buah yang tinggi kandungan gula (fruktosa) – mangga, laici, anggur, buah pear, tembikai, epal, ubi, lobak
- Makanan berbijirin penuh (oat, nestum bagai semua kena elak)
- Daging merah
- Bahagian ayam yang berlemak – misalnya, kulit ayam
- Kicap-kicapan
Haa.. ini antara senarai yang saya beritahu en Yem lah dia tak boleh ambil masa tengah sakit gout ni. Bila semua tak boleh, saya pun jadi fenin lah.. sudahnya tak tahu nak masak apa kan.
Alhamdulillah.. bila jaga makan itu, dalam dua hari dah berkurang. Mungkin level gout en Yem belum teruk sangat. Ada itu, kalau yang dah teruk khabonya memang berhari-hari nak kebah.
Baca juga : Resepi donut mudah dan gebu
susah juga nak sediakan makanan sihat utk pesakit gout ye. byk benda yg x leh makan. semoga en suami akan sembuh akhirnya.
Gitulah abang Kie.. mencabar sungguh. Amin.. terima kasih doanya.
Sedapnya ayam goreng kunyit berempah ni. Dulu selalu beli masa kat ofiice setiap hari Jumaat. Nak try lah masak ikut resipi ni.
Iyalah kak.. teringat ayam goreng kunyit akak tu.. Sambal dia memang power padu semualah..