sardin-telur-pecah

Cara Buat Sardin Telur Pecah Ala Khairul Aming

Sardin telur pecah ala resepi Khairul Aming ini dah lama viral. Sejak bulan puasa hari tu lagi, tapi baru nilah saya nak mencubanya.

Gigih minta Mirza beli sardin dengan telur kat kedai. Saya ingatkan dia macam sambal telur pecah itu. Rupanya bahan yang digunakan untuk masak sardin telur pecah ini lebih simple lagi.

Nama lainnya resepi sardin telur viral. Cuma, saya tak ikut seratus peratus macam resepi sardin viral Khairul Aming.

Sebab ada bahan yang tak ada. Macam daun ketumbar dan perahan limau tu takde pulak dalam peti ais rumah ini. Kalau ada saya yakin mesti lagi kick rasa dia. Lagi-lagi sardin tin ini memang favourite keluarga.

Telur ini kan semua orang tahu, kalau diganding dengan masakan sardin memang ngam habis rasa dia. Jadi, bila masakan sardin campur telur sekali bayangkanlah rasa sedap dia macam mana.

Cuma setelah beberapa lama masak resepi sardin tin ini, saya perasan bila nak masak dia memang kena tahu cara yang betul baru aroma dan rasa sedap sardin tu sampai. Hahaha.. macam mana lah saya nak terangkan ya.

Bahan-bahan Resepi Sardin Telur Pecah

  • 1 tin sardin mackerel King Cup
  • 1 biji bawang besar – sebiji (belah dua, sebahagian hiris nipis, sebelah lagi hiris besar-besar)
  • 5 ulas bawang putih – hiris nipis (kalau tak suka boleh kurangkan. Saya memang hantu bawang putih)
  • 2 tangkai cili padi merah Thai – belah dua
  • 8 tangkai cili padi hijau – belah dua (saya tak tahu nama cili padi ini. Saya ambil pokok yang mak tanam)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 4 biji telur
  • Daun bawang – potong kecil secukupnya
  • Gula dan garam

Cara Masak Sardin Telur Pecah

sardin-telur-pecah

Ini bahan-bahan yang saya gunakan untuk masak sardin telur pecah viral. Bebawang itu hirislah siap-siap ya. Dalam gambo ini saya tak siapkan lagi. Itulah kan, kalau jam tu kau nak masak, jam tu jugaklah terfikir nak nak share sama resepi.

Kesudahannya semua masih bulat-bulat lagi.

Lepas itu, goreng sardin dulu. Kuah asingkan siap-siap. Masa menggoreng sardin ini, tutuplah kuali tu. Karang meloncat-loncat minyak dia. Mau bersilat ala Mat Kilau kat dapur tu.

Saya balikkan dua kali. Sardin ini, saya goreng memang bebetul garing. Ada sikit-sikit warna hitam itu, tapi tak adalah rasa hangit pun. Bila dah betul garing angkatlah ya.

Asingkan dalam pinggan. Nanti hampir nak masak sardin telur pecah baru masukkan sardin tin goreng ini dalam kuah sardin.

sardin-telur-pecah

Menggunakan minyak yang sama, saya masukkan separuh bawang merah yang saya hiris nipis dan bawang putih yang hiris nipis. Bila dah garing, dan naik bau baru saya masukkan kuah.

Cuma, entah kenapa minyak saya ini jadi berbuih-buih. Sebab lepas goreng sardin ke jadi gitu. Tapi, saya rasa tidaklah. Mungkinkah dah tercontaminated? Tak mungkin.. tak mungkin. Minyak baru tu.

Lalu, saya husnuzon je dengan minyak tu.

Lepas itu, saya masukkan kuah sardin. Separuh lagi bawang merah yang hiris bulat, semua cili padi, sos tiram dan sesudu besar gula. Bagi sayalah, sardin telur pecah ini kena ada rasa manis-manis dia baru sedap.

Masak kuah tu sampai betul-betul naik minyak. Saya tambah juga sedikit air. Kacau-kacau dan masukkan garam. Resepi sardin campur telur viral kali ini saya tak guna perasa.

Kebetulannya perasa pun dah habis dekat dapur tu.

Kuah dah menggelegak tu, masukkan sardin.

Kacau kejap, saya masukkan pula telur. Biar je dia dalam tu sampai beberapa ketika. Kalau nak tutup periuk pun ok. Cepat sikit masaknya.

Tapi, saya tak buat gitu. Kemudian, saya balikkan.

  • Dan akhir sekali taburkan daun bawang. Kacau kejap dan angkat.
  • Tak perlu lama-lama, nanti daun bawang tu lembik pula.
  • Kalau ada lemon, boleh perahkan jus lemon.

Mudah kan nak buat sardin viral ini. Kalau follow cara masak sardin viral macam saya kongsi atas ni, insyaAllah menjadi dengan sedapnya. Masakan sardin telur Khairul Aming ini memang tak mengecewakan.

Tip Masak Sardin Sedap

Saya kongsi ini berdasarkan pengalaman sendirilah ya. Mungkin ada yang kena dengan citarasa anda, mungkin ada yang rasa eh.. eh tip pekebenda ni. Hahaha.. jadi takyahlah follow. Simple.

  • Tak goreng ikan sardin dulu pun sedap juga, asalkan masa menumis sardin tu ditumis sekali dengan rempah. Saya cuba teknik ni untuk masak sardin cili guna tiga bahan.
  • Tak kisahlah nak cuba masakan sardin telur pecah ke, sardin garam masala ke.. semasa menumis kuah, kena pastikan kuah betul-betul masak. Barulah rasa sedap kuah sardin itu dapat dibangkitkan.
  • Walau tak guna cili kering atau cili pes, bila kuahnya betul-betul masak. Takkan ada rasa hanyir.
  • Tambahkan juga sedikit gula semasa menumis kuah sardin. Mak kata boleh hilangkan bau ‘langu’ sardin. Apalah nak ditranslate perkataan ‘langu’ tu dalam bahasa Melayu ya.. tetiba saya lost.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Leave a Reply

error: Content is protected !!