Cara masak tempe ungkep simple lagi sedap. Masakan ungkep ini memang terkenal di kalangan masyarakat Jawa. Cara memasak ungkep ini pun ada macam-macam versi.
Resepi ungkep tempe mak saya ini ringkas dan mudah sungguh nak buat. Hasil masakannya tetap sedap dan yang penting tak pedas. Anak-anak pun boleh makan.
Selain ayam ungkep sebenarnya tempeh pun sedap buat masak ungkep. Selain ungkep tempe, mak buat juga ungkep udang dan ungkep cendawan busut.
Resepi Tempe Ungkep Yang Simple
Durasi memasak : 20 minit
Bahan-bahan Tempe Ungkep
- 5 papan tempe – dihiris bersaiz sederhana
- 3 ulas bawang merah kecil – ditumbuk/dikisar
- 1 biji bawang putih – ditumbuk/dikisar
- Sesudu setengah biji ketumbar – ditumbuk/dikisar
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 1/2 batang serai
- Asam jawa yang dibancuh dengan gula
- Garam kasar, perasa (optional) secukupnya
- Sedikit minyak masak
Cara Masak Tempe Ungkep
- Bawang merah kecil, bawang putih, biji ketumbar dan garam secukupnya dikisar dengan blender atau ditumbuk guna lesung batu. Tumbuk dengan lesung ini akan dapatkan rasa rempah ungkep yang lebih sedap.
- Potong tempe bersaiz mudah makan. Jangan terlalu nipis, jangan terlalu besar. Masukkan tempe dan rempah ungkep dalam periuk. Sukatan air biarlah sama paras dengan tempe dalam periuk.
- Kemudian, masukkan serbuk kunyit dan serai yang sudah diketuk.
- Rebus tempe dan adunannya sehingga air hampir menjadi pekat.
- Sementara itu buat bancuhan air asam jawa dengan gula. Air asam jawa perlu ada tekstur yang pekat dan sedikit manis. Tujuannya untuk beri keseimbangan rasa pada rebusan tempe yang masin salam periuk.
- Agak air rebusan tempe dah nak memekat, masukkan air asam jawa.
- Kacau sekata masukkan juga perasa. Ini optional, tak nak letak perasa pun takpe.
- Masukkan sedikit minyak masak.
- Kacau lagi bagi rempah ratus tu memekat dan menyaluti tempe.
- Gunakan api sederhana sepanjang memasak.
- Tutup api dan sedia untuk dinikmati.
Ungkep Tempe Berapa Lama
Hendak merebus tempek ungkep ini bergantung kepada jumlah tempe yang anda rebus beserta rempahnya. Untuk anggaran 5 ketul tempe, anda memerlukan sekitar 20 ke 30 minit untuk memastikan tempe diungkep dengan sempurna.
Dalam tempoh merebus dan mereneh tempe ini, rempah ratus yang direbus bersamanya akan meresap ke dalam tempe. Seterusnya memperkayakan rasa pada masakan ungkep anda itu.
Apa Maksud Ungkep
Kalau nak tahu ungkep adalah bermaksud masakan yang direbus atau direneh. Makna kata, semua bahan masakan yang dimasukkan dalam periuk akan direbus. Tentunya ungkep ini sejenis sajian yang sihat untuk tubuh badan.
Namun, resepi tempe masak ungkep mak saya ini akan melibatkan juga penggunaan minyak di hujung masakan. Tapi tidaklah dalam jumlah yang banyak, berkadaran saja.
Baca juga : Resepi telur dadar sedap
Tempe Sedap Masak Apa
Tempe masak apa sedap? Bagi saya tempe masak ungkep lah paling sedap sekali. Selain itu, tempeh ini boleh juga dimasak pelbagai cara.
Antara masak tempe yang boleh dicuba adalah :
- Tempe goreng rempah ketumbar.
- Tumis tempe bersama daun ubi rebus.
- Resepi tempe crispy
- Tempe busuk sedap ditumis pedas
- Sambal tempe ikan bilis kentang
Baca : Cepatnya masak sardin tin, guna 3 bahan
Khasiat Tempe
Resepi tempe ungkep mak saya ini memang tak pedas dan tak ada penggunaan cili. Jadi, anak-anak pun boleh makan.
Tempe yang diperbuat dari kacang soya diperam ini pun kaya dengan khasiat. Ada kandungan zat besi dan anti oksidan.
Bagus untuk mereka yang ada darah tinggi, macam saya inilah.
Tapi ada orang yang memang tak boleh nak makan. Macam suami saya, dia tak makan tempe. Tempe ungkep lagilah tak pandang. Luculah puas, saya paksa.
Tak mahunya dia. Kira adillah kan.. sebab saya pun tak makan ikan keli. Kecuali ikan keli masak lemak kencur.
Arwah Nenek Pembuat Tempe Tradisioanal Di Kampung
Arwah nenek saya dulu pembuat tempe di kampung saya tinggal. Waktu itu, arwah nenek akan membalut biji-biji soya untuk dibuat tempe dengan daun tempe.
Lebar daunnya. Rupanya macam daun ketapang, tapi bukan itu namanya. Nak kena tanya emak saya juga nanti.
Siap berbungkus nenek akan susun tempe atas pangkin kayu khas dalam rumah. Kalau tiada tempe, pangkin itu jadi tempat menyimpan bantal kekabu.
Itulah serba sedikit kenangan yang masih saya ingat. Arwah nenek saya, Embah Murtasiah ini juga guru mengaji saya dan adik-adik.
Baca juga : Nasi kandar
Kenangan Sepanjang Zaman Tempeh Arwah Embah
Jarak antara rumah embah Mur dengan rumah saya selang dua tiga buah rumah saja. Biasanya kami akan pergi ke rumah nenek selepas waktu maghrib untuk mengaji.
Sebab saya anak Jawa kan, jadi kami panggil nenek, dengan gelaran embah.
Walaupun pun rumah embah dekat saja, tapi nak melalui jalan yang sunyi di kelilingi kebun getah yang tebal merimbun cukup menyeramkan jiwa kanak-kanak kami.
Masa itu, ada-ada saja bayangan kain-kain putih berterbangan di sepanjang laluan.
Padahal tak ada apa-apa pun. Kalau datang jiwa penakut saya. Sepantas kilat saya akan memecut basikal meninggalkan adik-adik di belakang.
Kalau jiwa penakut adik-adik saya menebal, sepantas kilat mereka pula akan meninggalkan saya. Begitulah adik-beradikkan.
Sudahnya, jadilah adegan ’tuduh menuduh’ kau salah aku betul. Hahaha.. tapi bila dah besar-besar ni, kitaorang ‘behave’ je. Saling sayang antara satu sama lain. Chewah!
belum pernah lagi makan tempe masak ungkep. biasanya makan ayam masak ungkep. makan pula dengan nasi panas kan. memang sedap betul.
Iya.. kalau suruh masak ungkep hari-hari pun saya on je.. hihi. Nanti cubalah resepi tempe ungkep tu ya.