lemak-pucuk-ubi-kukus

Masak Lemak Pucuk Ubi Kukus Telur Ala Medan

Resepi masak lemak pucuk ubi kukus telur ala Medan. Punya panjang nama resepi pucuk ubi masak lemak ni, tapi taklah rumit memasaknya.

Februari lalu, ternampak posting Umi Watie Dapur Mak Rerama buat daun pucuk ubi masak lemak ala Medan ni. Terus teruja nak mencuba.

Maklumlah, dekat rumah mak kan bersepah pokok ubi. Sambil lalu lalang kat kebun tu boleh petik pucuk ubi sekali. Seronok tau dapat petik-petik lauk kampung fresh ni. Fefeling macam kembali ke zaman budak-budak dulu.

Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi

Bahan-bahan untuk kukus pucuk ubi

  • 2 genggam daun pucuk ubi – rebus, perah dan toskan.
  • 2 biji telur
  • Sedikit garam.

Bahan-bahan masak lemak pucuk ubi kukus

  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit ikan bilis
  • Serbuk kunyit
  • 5 tangkai Cili padi merah – ketuk dengan lesung untuk dimasukkan kendian.
  • Daun ubi kukus telur siap potong
  • 1 mangkuk santan
  • Garam dan perasa (optional)

Cara Kukus Daun Ubi Dan Telur

  1. Campurkan daun ubi, telur dan garam.
  2. Kacau sebati dan kukus sampai pucuk ubi masak. Bila daun ubi mengeras tu masaklah tandanya. Saya guna rice cooker untuk mengukus. Set dalam 15 ke 20 minit macam tu.
  3. Biarkan sejuk, dah sejuk baru potong kecil bentuk empat segi.
masak-lemak-pucuk-ubi-kukus

Cara Masak Lemak Pucuk Ubi Kukus

  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sampai lumat.
  2. Tumis seketika, masukkan serbuk kunyit. Dah naik bau masukkan santan.
  3. Kacau sampai santan matang dan masukkan pucuk ubi kukus dan cili padi siap ketuk.
  4. Perasakan dengan garam dan perasa.
  5. Haa.. siap lemak pucuk ubi yang dikukus dengan telur ni.
masak-lemak-pucuk-ubi-simple

Pucuk Ubi Masak Lemak Simple

Selain buat resepi masak lemak pucuk ubi kukus, pucuk ubi (perah sungguh-sungguh) ini sedap jugak dibuat masak lemak yang simple. Boleh juga dicampur sayuran lain.

Bahan-bahan masak lemak pucuk ubi

  • 3 biji bawang merah – tumbuk
  • 2 ulas bawang putih – tumbuk
  • Sedikit ikan bilis – tumbuk
  • 4 tangkai cili padi -tumbuk
  • 1 biji terung bulat – belah kecil
  • 1 genggam daun ubi siap rebus dan perah sungguh-sungguh
  • 1 pek santan kotak kecil
  • Garam, perasa (optional)

Cara Buat Masak Lemak Pucuk Ubi

  1. Masukkan 1 mangkuk santan ke dalam periuk tanah. Tuang bahan tumbuk dalamnya. Rebus sampai bahan-bahan dalam tu separuh masak.
  2. Masukkan terung dan pucuk ubi rebus tadi. Perasakan dengan garam dan perasa secukupnya.
  3. Gunakan api kecil saja sepanjang buat masak lemak ini.

Cara Merebus Daun Ubi Agar Lembut Dan Hijau

Daun pucuk ubi ini kalau tak direbus dulu dia akan pahit semasa dimasak. Petua mak saya untuk merebus daun ibu ini,

Rebus pucuk ubi berapa lama : Kadang tu sampai 30 minit mak rebus pucuk ubi dalam air mendidih tu. Bila dah nampak lembut. Mak basuh bawah air paip dan perah macam perah kain tu. Tos sampai betul-betul kering.

Ni pula petua yang saya baca di internet nak bagi pucuk ubi rebus lembut dan hijau : pucuk ubi kena betul-betul muda baru proses merebus jadi cantik. Bagi air mendidih betul, masukkan sedikit soda bikatbonat dan masukkanlah daun ubi. Rebus pucuk ubi dalam 15 minit, angkat. Lalukan bawah air paip, perah dah toskan.

Ada juga pucuk ubi masak lemak yang tak perlu direbus daunnya. Macam Umie Watie kongsikan ini :

Daun ubi itu kalau tak nak rebus, ramas-ramas sampai dia lemas. Kata Umi Watie, dia ramas-ramas saja daun ubi tu dan tak pahit.

daun-pucuk-ubi

Kenapa Pucuk Ubi Perlu Direbus, Ditumbuk Sebelum Masak

Ada orang tak boleh makan daun ubi ini. Jadi mudah kembung dan sakit kepala. Sebab itulah daun ubi kena direbus, diramas-ramas atau ditumbuk-tumbuk dulu.

Sebab pada daun ubi ini ada sebatian antinutrien seperti sianida, nitrat, asid fitik dan aksolat. Yang mana, kalau tak betul cara memasaknya boleh menyebabkan keracunan.

Baca juga :

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

2 Comments

  1. abam kie April 22, 2022
    • nettyahhiyer April 22, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!