Secara tradisi, rendang menjadi juadah wajib ada di atas meja makan ketika perayaan Hari Raya. Apa pun jenis rendang yang terhidang tetap membuka selera tetamu yang datang.
Malaysia ini unik sebenarnya, sebab ada bermacam variasi rendang popular yang boleh anda memasaknya. Setiap bahan rendang yang digunakan memberi rasa unik malah autentik dalam setiap resepi rendang yang anda hasilkan.
Menarik bila tahu berkenaan jenis rendang yang ada ini. Lebih menarik lagi, bila tahu tentang asal usul rendang dan ciri-ciri unik yang ada pada satu-satu jenis rendang itu.
Kenapa Bermacam Jenis Rendang Menjadi Juadah Hari Raya Yang Mesti Ada
Pernah tak tertanya pada diri sendiri, kenapa agaknya rendang ini menjadi sajian wajib yang mesti terhidang di atas meja di Hari Raya terutamanya. Enak dimakan bersama ketupat, lemang, burasak, nasi impit malah lontong.
Raya dulu-dulu sebelum pengaruh rendang sampai ke Malaysia, juadah Hari Rayanya cumalah masak lemak. Teknik memasak rendang yang menggunakan api perlahan menjadikan hidangan ini cukup istimewa.
Daging atau ayam tua akan dimasak dengan baik, sedap malah tahan berbulan dengan teknik masakan rendang ini.
Juadah Rendang Dalam Lirik Lagu Gambarkan Kemeriahan Suasana Hari Raya
Bukan itu saja, dalam lagu raya pun terhidang juga lirik yang menunjukkan betapa pentingnya hidangan rendang ini dalam menggambarkan kemeriahan suasana perayaan Hari Raya.
Antara lagu-lagu raya klasik tersebut adalah :
- Lagu Suasana Hari Raya nyanyian Allahyarham Datuk Hajah Sharifah Aini dengan liriknya, “rasalah ketupat ini, dengan rendangnya sekali, sudilah rasa kuihku, pilihlah yang mana satu.”
- Lagu Suasana Di Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina dengan liriknya, “ketupat rendang sila nikmati kawan, penat memasak malam ke pagi.”
- Lagu Bila Takbir Bergema nyanyian Allahyarham Toh Puan Setia Datin Rafeah Buang dengan liriknya, “jangan lupa ketupat di dapur, rendang di kuali jangan dibiar hangus, cuba lihat itu kanak-kanak berlari, di halaman rumah bermain bunga api.
Ini Keunikan 8 JENIS RENDANG di Malaysia yang Popular
1. Rendang Cili Padi Negeri Sembilan Yang Asli
Rendang cili padi juga dikenali sebagai rendang hijau atau rendang cili api. Jenis rendang cili api ini warisan dari Negeri Sembilan.
Sejenis rendang yang pedas kerana melibatkan penggunaan cili api kampung. Rendangnya lebih ringkas pembuatannya.
Tiada penggunaan minyak semasa memasak. Minyak semulajadi terbit daripada ayam dan santan itu sendiri. Penggunaan serai yang banyak untuk membangkitkan rasa.
Cara masakan jenis Rendang Cili Padi
Teknik masakan rendang Negeri Sembilan ini lebih pada rendang darat. Yang mana, bahannya tidak ditumis.
Bahan untuk jenis rendang ini pula cuma cili api, kunyit hidup, serai, lengkuas dan santan. Boleh saja gunakan ayam pencen untuk buat rendang ayam pencen. Malah ayam kampung pun boleh digunakan.
Hasilnya lebih sedap ada rasa lembut liat-liat sikit. Bahan sampingan lain seperti kacang panjang, daun maman, pegaga atau daun puding turut ditambah untuk menyedapkan rendang cili api ini.
2. Rendang Tok Negeri Perak
Rendang Tok ini asalnya dari Negeri Perak. Khususnya untuk masakan daging. Dahulu, digunakan daging kerbau dan dimasak menggunakan kayu api.
Bukan saja hidangan Hari Raya, malah menjadi sajian di majlis kenduri belah Perak. Populariti rendang tok ini tersebar ke seluruh Malaysia kerana rasa autentik jenis rendang ini tanpa penggunaan perisa dan bahan pengawet.
Cara masakan jenis Rendang Tok
Asas bahan rendangnya ialah cili kering, bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, kunyit, kerisik, asam jawa dan santan.
Masakannya juga menggunakan rempah ratus yang banyak. Misalnya, jintan manis, jintan putih, ketumbar, lada hitam, buah keras, kulit kayu manis, bunga lawah, cengkih, buah pelaga malah daun pandan.
Bahan rendang ada yang perlu disangai (goreng tanpa minyak) dahulu. Kemudian, ditumis untuk membangkitkan rasa.
Dimasak dengan api kecil sehingga daging rendang benar-benar empuk. Proses memasak rendang tok yang lama ini dengan proses pengeringan yang betul membolehkan rendang itu sendiri bertahan lebih lama.
Baca juga : Masak resepi rendang itik terpaling sedap
3. Rendang Maman Gemencheh
Sayur maman ini sejenis sayuran yang digunakan sebagai penyedap rasa masakan. Ianya sedap dijadikan jeruk maman, malah enak dijadikan rendang yang digandingkan bersama daging, ayam atau ikan bilis.
Juadah yang wajib ada di Gemencheh Negeri Sembilan. Dan akhirnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Cara masakan Rendang Maman
Bahan rendangnya lebih ringkas daripada rendang cili api Negeri Sembilan. Hanya daging atau ayam, sayur maman, santan, asam keping, kunyit hidup, cili api kampung dan garam secukupnya.
Pengunaan santan yang banyak, cili api dan asam keping perlu seimbang untuk mengelakkan rasa pahit daun maman. Tak perlu kacau daun maman sebelum ianya betul-betul layu dalam kuali.
Daun maman perlu direndam dan basuh sebanyak 3 kali dan ditos kering. Tak perlu juga memerah daun maman untuk elakkan pahit. Gunakan api kecil semasa merendang.
Nisbah sukatan untuk rendang maman adalah 2kg daging : 4kg maman : 4kg santan.
4. Rendang Dendeng
Resepinya dikatakan diperkenalkan oleh orang Minangkabau. Keunikannya, masakan ini tidak gunakan santan dan dimasak kering.
Daripada pembacaan, resepi dendeng ini dikaitkan dengan negeri Perak. Daging dendeng perlu direbus, diketuk dan diperap dengan behan perapan.
Cara masakan Rendang Dendeng
Daging direbus dengan rempah. Kemudian ditumbuk dan diperap. Kemudian, bahan rempah kisar iaitu bawang merah, bawang putih, halia, cili kering dan serai yang banyak perlu ditumis.
Semasa memasak, api kecil perlu diselaraskan.
5. Rendang Padang / Rendang Minang
Walaupun rendang Padang berasal dari Indonesia, di Malaysia rendang Padang atau Minang ini antara yang menguasai carta carian resepi rendang Hari Raya mak-mak. Rendang Minang ini boleh masak untuk daging malah ayam.
Cara masakan jenis Rendang Padang
Bahan rendangnya menggunakan santan segar, kerisik, serai, daun limau purut, daun salam, daun kunyit, asam gelugur (asam keping), cili kering, cili hidup, bawang merah dan bawang putih, lengkuas, halia dan buah keras.
Bahan rempahnya perlu dikisar dan ditumis. Untuk merendang daging style minang ini, proses memasak dengan api kecil boleh mengambil masa sehingga 5 jam. Dengan penggunaan periuk biasa suri di dapur.
6. Rendang Ayam Lengkuas
Nama lainnya adalah ayam masak liku. Hidangan rendang orang Bugis Tawau yang terkenal di Sabah. Dipanggil juga Nasu Likku atau terjemahannya masak lengkuas.
Boleh disajikan rendang ayam lengkuas yang basah atau yang kering. Biasanya masakan ini menggunakan ayam kampung.
Ada juga yang menggunakan ayam pencen dan ayam biasa. Resepi rendang ayam masak lengkuas ini tidak pedas sedap dimakan bersama burasak. Penggunaan lengkuas mudanya juga banyak.
Cara masakan Rendang Ayam Lengkuas
Bahan untuk jenis rendang Sabah ini menggunakan ayam, lengkuas, serai, santan pekar, kerisik, lada putih, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Masakannya tidak ditumis sebaliknya buat macam rendang darat. Selepas terbit minyak, barulah masukkan ayam atau daging.
7. Rendang Daging Masak Hitam Perak
Arwah mak mentua saya gemar masak rendang hitam ini setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Rasanya sedap berempah.
Ada penggunaan biji ketumbar. Bahan rendangnya perlu digoreng dahulu. Antara rendang yang terkenal juga di negeri Perak. Kebiasaannya untuk masakan daging.
Cara masakan Rendang Masak Hitam Perak
Daging rendang perlu diperap dengan kicap selama 3 jam. Ketumbar, jintan manis, jintan putih, cili kering, serai, bawang besar, bawang putih, lengkuas, halia, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih malah buah pelaga menjadi bahan rendang yang wajib ada.
Bahan ini ada yang perlu dihiris, digoreng, disangai, dikisar dan ditumis untuk menjadikan rendang hitam asli orang Perak ini sedap dinikmati.
8. Rendang Lokan
Rendang Lokan ini terkenal di Indonesia. Dikatakan resepi masakan rendang tradisional Minangkabau. Di Malaysia pun antara yang menjadi kegemaran peminat rendang.
Antara rendang lokan yang terkenal dan dibuat jualan ada di negeri Melaka. Dihasilkan dari isi lokan yang direbus.
Cara masakan Rendang Lokan
Bahan rendang lokan sama seperti membuat rendang daging. Ada culi kering, bawang besar, halia, serai, lengkuas, daun kunyit, kerisik malah santan segar dari kelapa tua.