cara simpan lesung batu

Cara Simpan Lesung Batu, Lebih 40 Tahun Masih Elok

Begini cara simpan lesung batu dekat rumah saya ini. Biasa saya letak atas rak IVAR yang ada di dapur ini saja.

Sebab kayu dia ada lubang dekat tengah tu, ‘bernafaslah’ lesung batu tu nanti. Setahu saya, nak bagi lesung ini terjaga elok kena bagi terlangkup lepas cuci.

Rupanya, ada banyak tip penjagaan lesung ini yang saya dapat melalui pembacaan dan saranan kawan. Apa pun, cara simpan lesung batu yang saya buat itu taklah salah. Malah, berjaya mengekalkan ‘kewujudan’ lesung batu kecil tu lebih 40 tahun usianya.

Pesan Mak Simpan Lesung Cara Gini

Ikut mak saya, dia akan letakkan anak lesung dan tindihkan dengan ibu dia. Tapi ibu lesung tu tindih separuh je atas anak lesung tu.

Bagi udara masuk, masa proses nak keringkan dia.

Hari tu, saya tanya mak. Macam mana dia pastikan lesung batu dia tak lekat kesan kunyit. Sebab antara masalah besar saya, lesung batu saya ini dok melekat kesan kunyit pulak.

  • Mak kata, dia tumbukkan garam kasar nak bagi hilang. Ini pun antara cara tajamkan lesung batu.
  • Kadang mak guna asam keping untuk bersihkan lesung batu dia.

Saya cuba tak jadi pulak. Mungkin sebab lesung mak tu jarang jarang digunakan tumbuk kunyit hidup (sebab mak jarang guna dalam masakan dia. Abah tak tahan bau kunyit hidup.)

Saya pulak suka pakai kunyit hidup. Rasa wangi je masakan tu nanti. Kalau ada kesan lekat kunyit, saya hilangkan kesan kunyit guna sabun pes.

cobek sambal idaman
Cobek idaman, terasa sedap betul sambal yang digesek dalam lesung Indonesia ini. Kredit foto : bukalapak.com

Cara Simpan Lesung Batu Ikut Saranan Doktor

Ini pula tip yang dikongsikan Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim untuk kaedah terbaik menjaga lesung batu agar tahan lama.

Paling penting, tak tercemar bakteria.

  • Semasa menumbuk sambal belacan atau apa-apa bahan masakan, alas bawah lesung dengan kain tebal. Elakkan bunyi yang kuat dan geseran antara batu tumbuk pada permukaan meja atau lantai.
  • Kain tu berfungsi untuk serap bunyi dan hentakan.
  • Potong kecil bahan-bahan yang nak ditumbuk; bawang merah, halia atau kunyit elakkan terpelanting.
  • Sebelum pakai lesung baru beli, tumbuk segenggam beras putih dalam lesung. Bagi membersihkan sebarang sisa debu daripada bahan lesung tu sendiri.
  • Lepas tu bilas dengan air suam.
  • Saiz lesung tu kenalah sesuai dengan jumlah bahan yang nak ditumbuk (alamak! rumah ni saiz comel je. Hahaha..)
  • Lepas guna tu, cucilah bersih bagi hilang bau, warna dan rasa yang melekat.
  • Bersihkan lesung dengan bahan berasid limau, asam jawa atau lemon.
  • Simpan dekat tempat yang tak menyebabkan pertumbuhan kulat dekat permukaan atau dalam lesung.
  • Sebelum menumbuk, basuh dulu lesung tu ya.
  • Petua menumbuk garam kasar dalam lesung itu untuk menjadikan batu lesung tu rata kembali. Nanti mudahlah nak menumbuk bahan-bahan yang lain.
cara simpan lesung batu

Idea Simpan Lesung Di Rak

Macam saya terang di atas, cara saya simpan lesung itu letak saja di rak (gambar 3). Rupanya pada rak itu saja boleh dibahagikan kepada 4 idea menyimpan lesung dengan baik.

Simpan Lesung Dalam Bekas Serbaguna Eco

Sebelum ini saya beli bekas serbaguna Eco ini untuk jadikan ‘rumah’ simpanan cawan-cawan dan pinggan.

Rupanya menarik juga jadikan bekas simpan lesung. Elok ngam-ngam pula saiznya dengan lesung saya tu (gambar 2)

Letaklah bekas itu pada rak yang biasa saya letak lesung itu (gambar 4)

Letak Lesung Atas Rak Besi Variera Ikea

Rak besi setingkat itu namanya, Variera. Saya beli di Ikea. Berguna juga untuk letak lesung batu (gambar 1)

Kerana ‘lantai’ raknya berlubang-lubang. Jadi, permukaan lesung boleh ber’nafas’ waktu ditelangkupkan.

Tak perlu nak letak alas lesung batu di antaranya.

Cara ini mudah lagilah, sebab boleh letak dan ambil terus. Tak payah nak masuk-masuk bekas bagai.

Baca juga : Resepi sambal pedas berapi guna 3 bahan

Petua Jaga Lesung, Lesung Batu Dulu Lebih Tahan Lama

Bila mana saya kongsikan tentang lesung batu di facebook, ada rakan facebook berkongsi. Katanya, lesung batu sekarang tak setahan dulu.

Sekarang ini, baru beli dan pakai. Sekejap saja lesung batu pecah. Terbelah dua.

Lesung batu saya ini mak saya hadiahkan bila saya pindah masuk rumah sekarang. Dari umur Mirza tak sampai setahun sampai dia dah 14 tahun sekarang.

Tambah tolak, usia lesung itu sendiri dah lebih 40 tahun. Tahan betulkan usianya.

Rakan facebook saya, Mahadir Hj Han pula maklumkan, “bunyi tumbuk pun berbeza antara jenis lama dan baru. Lesung batu yang lama lebih serap bunyi.”

Cara Basuh Lesung Batu Baru

Ada juga terbaca perkongsian petua lesung batu baru di facebook, iaitu cara membersihkan lesung batu baru beli.

Katanya, cara membersihkan lesung batu baru : selepas beli lesung itu eloklah rendam dulu semalaman dengan air. Sebab lesung batu ini menyerap air. Cara rendam lesung semalaman ini buatkan lesung baru dibeli itu tahan lebih lama.

Inilah yang saya praktikkan juga. Untuk lesung batu baru selain rendam semalaman, saya tak kerap gunakan untuk menumbuk kunyit hidup.

Sebaliknya saya ada lesung batu khas untuk tumbuk kunyit. Alhamdulillah sampai hari ini masih tahan.

Begitulah antara serba sedikit tip jaga lesung batu dan penyimpanannya. Semoga bermanfaat.

Baca juga : Cara memilih makanan kucing

cara simpan lesung batu

Harga Lesung Batu

Lesung batu yang saya baru beli ini special sikit. Saiznya besar XXL gitu. Sewaktu saya ke Kuala Kangsar saya ambil kesempatan mencari lesung batu baru.

Tanya pada Kak Iza, mana nak beli lesung batu yang tahan lama.

Jawapnya, boleh cari kedai untie yang berniaga dekat Dataran Sayong Lembah Kuala Kangsar. Maka, berjalanlah saya di sekitar kedai-kedai kraftangan dekat Kuala tu.

Terjumpalah satu kedai cina jual barangan lama dan di situlah saya dapat beli lesung. Dapatlah menjadi backup tumbuk-tumbuk untuk lesung batu lama di rumah ini.

Selepas sedikit tawar menawar dengan untie kedai dapatlah harga lesung batu beserta alu atau anak lesung tu dalam RM57.

Elok je saya masuk ke kedai kraf terjumpa pula lesung gesek dekat situ dalam anggaran harga RM60. Memandangkan dah beli lesung batu jadi mungkin lain kali kalau ke Kuale bolehlah beli pula lesung batu Indonesia ini.

Sebenarnya waktu ke Kuala Kangsar ini jugalah saya terjumpa pokok getah tertua di sana. Banyak sungguh benda menarik dekat Kuale ni.

17 Comments

  1. kisahsidairy February 9, 2022
  2. mommylizz February 9, 2022
  3. shima jelani February 9, 2022
    • nettyahhiyer February 9, 2022
  4. RASHIDAH BINTI RAHMAT February 9, 2022
  5. Min Shamsuddin February 9, 2022
  6. Rozita ceritaita February 9, 2022
  7. mrs pip February 9, 2022
    • nettyahhiyer February 9, 2022
  8. ombakbergigi February 9, 2022
  9. Rina Zul February 9, 2022
  10. awadah February 10, 2022
  11. Atul Hamid February 10, 2022
  12. Maria Firdz February 10, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!