resepi-rendang-itik

Masak Resepi Rendang Itik Salai Terpaling Sedap

Resepi rendang itik sangat sedap jika dicampur daun puding hitam. Malah, rendang itik tidak berbau hamis, aromanya membangkit selera.

Sebaiknya untuk masak rendang ini, itik disalai terlebih dahulu. Dapatlah menghilangkan bau hamis itik semasa direndang dalam kuali. Itik salai dimasak rendang ni memang sedap.

Daging itik pejal macam rendang ayam pencen memerlukannya dimasak lama. Apabila rendang itik sudah empuk dan tak liat. Dagingnya boleh dilerai satu persatu dengan mudah.

Kali ini, saya mencuba resepi rendang itik dengan menambah daun puding hitam. Hasilnya, masakan rendang itik ini jadi lebih enak dan sedap. Walaupun masak campak-campak, anak-anak berebut makan. Sedaplah tu kan.

Resepi Rendang Itik

Bahan masak rendang

Bahan kisar untuk memasak rendang

  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci kunyit hidup

Bahan sampingan

  • 5 sudu besar cili kisar sendiri
  • 4 batang serai – memang letak lebih, nak bagi sedap katanya
  • 1 sudu besar biji ketumbar – tumbuk halus
  • Sedikit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
  • 1 ke 2 keping asam keping atau asam gelugor
  • 1 sudu besar kerisik
  • 2/3 helai daun kunyit – hiris
  • 4 helai daun limau purut – buang batang tengahnya untuk elak pahit.
  • Beberapa helai daun puding hitam – (daun yang mana ada kat pokok yang Ina Mat Som bagi)
  • Garam, gula, perasa (optional)
resepi-rendang-itik

Cara Masak Resepi Rendang Itik Salai Yang Mudah

  1. Kisar bahan kisar masak rendang sehingga halus.
  2. Panaskan api, tumis bahan kisar, ketumbar tumbuk, rempah 3 sekawan dan serai sampai naik bau.
  3. Dah naik bau tu masukkan cili kering. Tumis sampai cili kering masak betul.
  4. Masukkan pula itik salai. Sepanjang proses menumis dan merendang ini gunakan api perlahan ya.
  5. Kacaulah bagi rempah sekata. Tutup kuali atau periuk tu dengan penutupnya. Bagi air itik ni keluar.
  6. Kemudian, bancuhlah santan kotak tu sampai dapat satu mangkuk besar. Banyak pun takpe, sebab nak kena masak lama juga. Bagi daging itik salai ni betul-betul lembut.
  7. Macam saya kan.. selagi belum empuk itik tu, saya tambah lagi santan. Masa ni nak masukkan daun limau purut pun boleh.
  8. Bila dah empuk betul dan santan hampir memekat, masukkan kerisik, asam keping dan perasakan ikut citarasa.
  9. Kacau-kacau, masukkan pula daun puding hitam dan daun kunyit yang dah dihiris halus.
  10. Kata orang nak sedap kena masak rendang itik ini sampai kering. Tapi, saya suka yang basah-basah sikit. Jadi, tak tunggulah sampai resepi rendang itik ni kering.

Resepi Rendang Itik Cili Padi Negeri Sembilan

Ada satu lagi cara masak rendang itik cili padi Negeri Sembilan itu. Antara bahan masak rendang cili api negeri sembilan ini menggunakan bahan kisar yang sama.

Cili kering diganti dengan cili padi kampung yang banyak.

Malah, penggunaan serai yang banyak. Jika serai dihiris halus akan memberi tekstur yang menarik pada rendang itik salai Negeri Sembilan ini.

Ikutkan saya suka lagi nak masak cara merendang nogori ni. Cuma hari itu, saya teringin meletakkan ketumbar pada daging itik salai yang didatangkan khas dari Melaka itu.

Macam arwah mak kawan saya, orang Negeri Sembilan masak rendang itik dengan pucuk daun maman. Sedap betul rasanya. Cuma, yang itu saya tak pandai lagi nak buat. Sebab ada cara nak memasaknya untuk dapatkan rasa maman yang sedap yang ‘blend’ dengan rendang itik tu.

Untuk resepi rendang itik yang saya kongsikan di atas adalah cara masak rendang ayam yang biasa saya buat. Senang saja nak membuatnya kan.

Dulu saya bayangkan masak rendang ini susah benarlah. Sebab rendang kan cuma dimakan masa Hari Raya atau hari istimewa saja.

Sampai saya belajar onlinelah. Google resepi rendang itik Azie Kitchen pun pernah. Kak Azie ni idola masakan saya. Bila dah pandai merendang ini, en Yem suruh masakkan rendang hari-hari pun saya on saja.

Mana Nak Dapatkan Itik

Nak bagi jadi resepi rendang itik ini, kenalah ada itik salai kan. Daging itik salai ini saya beli dari Kak Liza Ali. Usahawan itik kat Melaka.

Setiap kali kak Liza turun ke Selangor, saya akan minta bawakan daging itik. Selalunya saya beli dalam 3 ekor. Memang banyaklah sebab saya boleh simpan stok daging itik ini untuk sebulan.

Dan masak resepi itik bermacam-macam berkali-kali. Itik ini sedap dibuat masak lemak itik salai Negeri Sembilan, sup itik blackpaper pun sedap juga. Gulai itik pun layan.

Buat itik goreng pun sodap.

Harga itik salai seekor saya kira dalam RM60++ sebab untuk 3 ekor ini dalam RM188 (ingat-ingat lupa dah harga betulnya). Ikut timbangan berat juga.

Dan itik salai yang saya beli ini memang besarlah saiznya.

Saya suka beli dengan kak Liza ini, sebab itik yang kak Liza jual memang tak bau hamis mahupun hanyir. Itik salai ini dah siap dipotong-potong kecil. Kalau kak Liza sempat, dia bersihkan terus.

Tinggal masak je.

Kalau kak Liza busy dengan job menulis, saya bersihkan sendiri. Cara bersihkan itik salai kak Liza jual ni sama je macam bersihkan ayam.

Sebab itulah saya dah repeat order berkali-kali. Eh! terpromote lah pulak.

Baca juga : Cara masak lemak itik cili api untuk beginner

Tip Untuk Masak Itik

  • Orang kata masak itik ini leceh sebab perlukan masa yang lama nak empukkan dagingnya. Pulaknya ada sejenis bau hanyir pada itik itu.
  • Tapi kan, kalau kita dah jumpa penjual itik salai yang baik kualitinya dengan harga yang berbaloi. InsyaAllah itik salai tak berbau hanyir.
  • Kalau ada pressure cooker merebus itik ini cuma akan ambil masa dalam 30 ke 45 minit saja untuk mengempuk itik.
  • Macam saya guna dapur biasa (dan saya memang suka guna dapur biasa pun) antara cara saya masak itik, semasa merebus itu saya masukkan sekali rempah ratusnya.
  • Ketika merebus itik juga saya masukkan garam siap-siap. Ia akan memberi rasa yang sedap pada daging itik yang direbus itu.
  • Sebab itik salai kan, jadi baunya naik harum dan rona gulai pun ada ada sedikit elemen arang. Fuh! dahsyat laras bahasa saya ni.

Baca juga : Ayam bakar dalam oven lembut lagi juicy

Perbandingan Rasa Rendang Itik Dan Rendang Ayam

  1. Bagi anda yang belum pernah makan itik tentu tertanya-tanya macam mana lah rasa rendang itik ini kan. Sejujurnya saya pun dulu sedikit keliru dan antara berani dan tidak nak rasa.
  2. Maklumlah sepanjang saya membesar, mak saya mana pernah masak itik. Bila tanya mak, rupanya mak saya tak makan itik. Hahaha.. patutlah mak tak masak.
  3. Itik ini tekstur dagingnya kenyal dan pejal. Hampir sama macam ayam kampung. Beza dengan rendang ayam yang lebih cepat untuk dimasak rendang. Tak perlukan masa yang panjang untuk mengempukkannya.
  4. Jika anda pernah makan ayam mutiara, rendang itik itu lebih kurang gitulah rasanya.
  5. Disebabkan dagingnya yang kenyal, bila diempukkan. Ia boleh dilerai dan disiat menjadi kepingan halus. Tekstur itik ini macam ayam kampung atau ayam pencen nama glamour orang beri.
  6. Bagi saya sama ada rendang itik atau rendang ayam kedua-duanya mempunyai rasa yang unik dan tersendiri. Bahan masak rendang ayam juga boleh digunakan untuk masak rendang itik.
resepi-rendang-itik

3 Jenis Rendang Popular

Sebagai peminat rendang, kenalah ambil tahu jenis rendang yang biasa dimasak oleh mak-mak di dapur.

Sebenarnya bila mana saya membuat perkongsian resepi rendang itik ini barulah saya tahu akan nama jenis-jenis rendang popular ini.

Rendang Tok

Rendang Tok ini terkenal di Perak. Proses merendang menggunakan dapur kayu. Rendang tok akan dikacau sehingga bahan masak rendang ini jadi betul-betul kering.

Masak rendang tok yang panjang ini akan menukar warna rendang jadi kehitaman. Tentunya aroma asap dapur kayu tu yang berikan rasa autentik tersendiri.

Rendang Minang

Ini pun antara masakan rendang popular dekat Negeri Sembilan. Bahan rendang minang ini perlu diperap dahulu dengan kicap manis.

Rendang minang tak guna kerisik. Tapi ada halia, lengkuas, cili kering, santan dan serai.

Rendang Dendeng

Biasanya kalau sebut dendeng je orang dah tahu dah tu rendang daging yang dimasak lama sampai kering. Dagingnya tu nanti kena diketuk-ketuk sebelum dimasak.

Tujuannya nak bagi isi daging lebih lembut dan empuk semasa dihidangkan.

Selain tiga jenis rendang popular yang saya sebut kat atas itu. Ada lagi jenis rendang lain yang biasa mak-mak masak di dapur.

Antaranya; rendang cili padi, rendang ayam Johor (macam resepi yang saya kongsikan di atas tu ada daun kunyit dan limau purut serta rempah ratus), rendang Opor Pahang, rendang maman.

Dekat Perak belah Lenggong ada juga rendang pedas Perak. Macam resepi arwah mak mentua saya, bahan rempah tu kena digoreng dahulu. Lepas itu ditumbuk, campur kicap barulah daging dimasak rendang.

Sayangnya, saya tak ambil peluang belajar dari arwah mentua. Nak kena berguru dengan kak ipar nampaknya.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Tags:

6 Comments

  1. Myzan January 5, 2023
    • nettyahhiyer January 5, 2023
  2. Nita January 5, 2023
    • nettyahhiyer January 5, 2023
  3. SR January 6, 2023
    • nettyahhiyer January 6, 2023

Leave a Reply

error: Content is protected !!