daun-ketumbar-atas-papan-pemotong

Daun Ketumbar : 3 Kegunaan Dalam Masakan, Terbukti Ada Manfaat Kesihatan

Sebut daun ketumbar, terbayang bau tajam, busuk yang dihasilkan. Bila dicampur dalam masakan Thai, daunnya jadi penyedap rasa.

Sebab ada perisa sitrus padanya. Tak sama ya dengan daun sup. Dari baunya saja sudah boleh bezakan. Lebih menyengat. Sesetegah orang akan tercium bau kumbang atau sabun.

Bukan saja dalam masakan, kebaikan daun ketumbar juga ada pelbagai. Memberi khasiat kesihatan untuk tubuh badan. Terutamanya wanita.

Info Daun Ketumbar

Daun ketumbar in english dikenali sebagai coriander leaves. Manakala biji ketumbar dipanggil cilantro. Banyak digunakan dalam masakan Asia dan negara Barat.

Antaranya, Thailand, Malaysia, India malah Itali.

Memberi rasa citrus yang ‘tajam’, dan bau kuat yang enak dalam masakan tradisi setempat berupa sup, tomyam, ikan mahupun salad. Asal tengok chef Itali, David Rocco memasak. Sure dia sebut cilantro sebagai bahan perasa dalam resepinya.

Pokok ketumbar ini menghasilkan daun rempah yang edible (maksudnya boleh dimakan). Samada dari daunnya yang segar atau biji ketumbar yang sudah dikeringkan.

Nama saintifik tumbuhan ini : Coriandrum sativum tergolong dalam keluarga Apiaceae.

Batangnya lembut dan pokoknya renek saja. Keseluruhan pokok sehingga ke akar boleh digunakan dalam masakan. Malah, dijadikan air rebusan untuk tujuan kesihatan.

Kenapa Sesetengah Orang Tak Suka Bau Daun Ketumbar

Bagi sesetengah orang, bau daun ketumbar ini macam bau sabun mahupun bau kumbang. Adik saya pernah sampai minta tukar tomyam berkali-kali sebab tak tahan dengan bauan ketumbar dalam sup tomyamnya.

Ingatkan dia sejenis mengada-ngada.

Rupanya ada kajian saintifik berkaitan bau daun ini. Dalam ketumbar ini ada kandungan kompoun aldehid yang tinggi. Yang mana, ianya juga terdapat dalam sabun dan sesetengah serangga.

Misalnya (E)-2-alkenals dan n-aldehydes. Hmm, patutlah adik saya tak tahan bau dia.

Bila saya baca Ini Sains Beb menyatakan ini, ia juga ada kaitan dengan pengaruh genetik. Baik! Mak dan abah saya pun tak boleh dengan bau daun ketumbar ini. Tapi biji ketumbar, mak abah makan.

Katanya ada kluster gen yang mempengaruhi persepsi rasa yang membuatkan mereka sensitif dengan kompoun aldehid ini. Genetik OR6A2 ini akan sangat sensitif dengan bau aldehid.

Peratusannya :

  • 14-21% orang Asia Timur, Afrika dan Caucasian tak suka ketumbar.
  • 3-7% populasi Asia Barat, Hispanic, South Asia, Timur Tengah tak suka bau ketumbar.
hirisan-daun-ketumbar
Kredit foto : Pexels by Cottonbro Studio

2 Jenis Daun Ketumbar Di Pasaraya

Ini berdasarkan pemerhatian saya bila ke pasaraya macam Lotus mahupun NSK. Daun ketumbar ini ada dua jenis rupanya. Namun, kedua-duanya tetap sedap dan memberi aroma citrus yang menenangkan.

  • Daun ketumbar tempatan yang datangnya dari Cameron Highlands kelihatan lebih panjang batangnya. Akar tunjangnya lebih besar, tiada akar serabut yang banyak. Dibungkus dalam plastik yang cantik.
  • Daun ketumbar Siam pula lebih renek, kecil dan lebih berdaun. Akar tunjangnya lebih kecil disamping ada beberapa helaian akar halus. Biasanya diletakkan dekat rak tanpa berbungkus.

Kalau untuk buat tomyam saya lebih suka beli daun ketumbar Siam. Sebab akarnya lebih banyak. Namun, kalau dah tiada daun ketumbar tempatan pun sedap juga.

Tapi jangan salah dengan daun ketumbar Jawa ya. Daun ini lagi kuat baunya dan berdaun lebar. Sangat sedap bila dicampur dalam tomyam. Bunganya tajam berduri. Hati-hati bila nak sentuh.

Khasiat daun ketumbar Jawa ini pun tak kurang banyaknya. Baik untuk kesihatan dalaman wanita juga.

Di Mana Mahu Beli Daun Ketumbar

Daun ketumbar ini boleh saja dibeli di pasaraya besar. Beli di pasaraya lebih mudah, sebab dah dibungkus dan dilabelkan. Jadi, para suami tak perlulah nak kalut kata tak tau ya.

Tak perlu pun nak cium-cium bau. Baca label je selesai dah.

Cuma kalau beli di pasar, kenalah tahu macamana nak bezakan daun sup dan daun ketumbar ini. Malah, suami saya pernah terbeli daun parsley yang disangka daun sup. Aduh! Itu pun satu lagi daun yang mengelirukan para suami. Hahaha.

pokok-daun-ketumbar
Kredit foto : Pexels by Rajesh S Balouria

3 Kegunaan Daun Ketumbar Dalam Masakan

Untuk yang belum kenal daun ketumbar tentu akan tertanya-tanya. Apa sebenarnya fungsi daun ketumbar dalam masak? Ianya menjadi penyedap rasa, membangkitkan aroma enak dan warna terutama dalam masakan Thailand malah sebagai hiasan.

Daun ketumbar untuk masak apa : digunakan dalam masakan tomyam, pad kra pao daging atau ayam, kerabu kaki ayam, siakap stim limau, dan resepi sos thai daun ketumbar serta laksa Sarawak.

Ini pula kegunaan lainnya dalam masakan.

Memberi Rasa Dalam Masakan

Daunnya yang kuat bau dan sedikit pedas pada masakan berkuah seperti sup dan tomyam. Di negara Barat pula menjadi sos pencicah yang sedap untuk Tacos.

Biji ketumbar pula boleh memberi rasa sedikit masam pada masakan. Begitu juga dengan daunnya. Namun, tidaklah semasam lemon.

Digunakan juga sebagai rempah atau bahan perapan yang menyelerakan. Apabila dimasak atau dipanggang aroma daun ketumbar akan lebih menyengat.

Orang Malaysia juga gunakan daun kesum dalam masakan mereka.

Menghasilkan Warna Pada Sos

Daunnya yang hijau dan beraroma menjadikannya pokok edible yang sesuai untuk memberi pewarna dalam masakan. Untuk sos nasi ayam Thai yang pernah saya buat, saya kisar dedaun dan batang ketumbar sekali dengan bahan-bahan lainnya.

Menjadikan pencicah berwarna hijau yang cantik dan menyelerakan.

Baca juga : Cara masak nasi ayam thai viral

Sebagai Hiasan (Garnish)

Dalam resepi nasi goreng mahupun lauk pauk, daun ketumbar digunakan sebagai hiasan hidangan. Bentuk daunnya yang cantik membangkitkan selera.

Malah daunnya yang edible boleh dimakan walaupun dalam keadaan segar.

4 Beza Daun Ketumbar Dengan Daun Sup

Beza padaDaun KetumbarDaun Sup
Asal usulDikenali juga sebagai criander. Berasal daripada tumbuhan ketumbar (Coriandrum Sativum). Digunakan dalam masakan untuk memberikan perisa dan aroma unik. Terutamanya dalam masakan Asia dan Amerika Latin.Daun sup berasal daripada tumbuhan pokok sup atau nama saintifiknya Petroselinum Crispum. Yang mana, ia serong digunakan sebagai ramuan dalam sup, sup tulang dan pelbagai hidangan rebusan.
AkarMempunyai jenis akar seakan akar tunjang. Dan ada beberapa helaian akar halus. Akarnya boleh dicampur dalam masakan. Jadi penyedap rasa.Berjenis akar serabut yang banyak dan kecil-kecil. Akarnya tak digunakan dalam masakan.
BatangKetumbar Siam atau ketumbar Thai ini mempunyai batang yang agak pendek, renek dan merimbun. Manakala daun ketumbar tempatan lebih panjang seakan daun sup juga. Batang daun ketumbar lebih keras.Daun sup batangnya lebih panjang dan lebih lembut. Sebab itu, selalu bila dah tutup api baru tabur daun sup ini. Untuk elakkan dia jadi lembik.
Bentuk DaunnyaDaunnya lebih kecil dan merimbun.
Bentuk daun juga berbentuk jari dengan corak bersirip.
Daunnya lebih lebar dan besar. Sedikit jarang-jarang. Daun sup juga mempunyai bentuk daun yang lebih halus dan berjari-jari.
Bau dan RasaAromanya lebih kuat dan sedikit pedas. Aromanya tajam sehingga menusuk hidung. Paling mudah nak kenal bila kena beli di pasaraya. Cium saja baunya sudah boleh membezakannya.Baunya lebih lembut dan ada sedikit manis. Daun herba ini ada rasa menyenangkan. Kalau hidu sup Melayu, boleh rasa aroma daun sup tu macamana.
Kandungan nutrisiKaya dengan vitamin K, vitamin A, dan vitamin C serta mengandungi mineral seperti zat besi dan kalium.Mengandungi nutrien seperti vitamin C, vitamin K, dan zat besi.
Cara mudah ketahui beza daun sup dan daun ketumbar

5 Khasiat Daun Ketumbar Untuk Wanita

Kebaikan yang boleh diperoleh dari tumbuhan renek ini ada pelbagai. Malah, ada yang menjadikan minuman kesihatan yang baik untuk tubuh badan.

Antara khasiat adalah:

Meningkatkan Sistem Pencernaan

Daun ketumbar mengandungi komponen seperti minyak asiri dan fitonutrien yang membantu memperbaiki sistem pencernaan. Kegunaannya termasuk meningkatkan penghadaman dan mengurangkan masalah perut seperti kembung dan loya. Kan orang perempuan ini kerap juga alami masalah pencernaan semasa haid. Dikatakan ia dapat meredakan ketakselesaan itu.

Merendahkan Kandungan Dalam Darah

Beruntung siapa yang suka makan ini. Lagi-lagi jika ada kencing manis. Bolehlah jadi ikhtiar untuk amalan petua tambahan.

Meredakan Stress

Linalool yang ada dalam ketumbar ini boleh meredakan stress. Haa.. menarik pula. Sebab boleh menggalakkan mood positif dalam diri kita.

Menurunkan Kolesterol Dalam Badan

Bermanfaat membantu untuk mengawal tekanan darah orang darah tinggi. Sekaligus, menurunkan risiko penyakit jantung. Sebab di dalam tumbuhan ini ada zat besi, kalium, dan antioksidan yang membantu menyokong kesihatan jantung.

Mengandungi Sifat Anti-Penuaan

Jangan tak tahu, ketumbar pun ada kebaikan kepada kulit. Boleh awet muda gituh. Selain membantu meredakan masalah ruam ringan, jus ketumbar digunakan untuk kurangkan masalah jerawat, pigmentasi, mahupun kulit kering. Ia juga mengandungi pelbagai antioksidan yang membantu melambatkan proses penuaan. Dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Mengurangkan Risiko Kanser

Mengurangkan risiko kanser. Pernah terbaca, berkenaan beruntung siapa yang suka makan tomyam sebab bahan masakan dalam tomyam berupaya untuk mengurangkan risiko kanser.

Namun, untuk mengambil minuman air ketumbar ini hendaklah diamalkan secara berpada-pada jangan sampai berlebihan pula. Sehingga diminum pagi, petang siang malam.

Lainlah kalau nak guna daun ini dalam masakan.

Baca juga : guna daun kari rawat rambut kasar anak

daun ketumbar

Cara Membuat Air Rebusan Daun Ketumbar

Air rebusan daun ketumbar ini cukup popular di kalangan mak-mak di Malaysia ini. Ada yang sebut air ketumbar, ada juga yang panggil air rebusan ketumbar.

Minuman tradisional ini digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Malah, ianya juga minuman yang menyegarkan. 

Proses Membuat Air Rebusan

  1. Mula-mula sediakan air dan periuk. Pastikan anda menggunakan periuk yang bersih dan sesuai untuk merebus air.
  2. Selepas itu, ambillah aun ketumbar yang dah cuci bersih dari daun, batang sampai ke akarnya. Kalau hendak potong menjadi bahagian yang kecil pun boleh. Mudahlah nanti merebus. Tapi, saya tak rajin nak buat gitu.
  3. Masukkan pepokok tu dalam periuk dan tuangkan air secukupnya untuk merebus. Pastikan air tu cukup untuk menutupi tumbuhan kita tadi.
  4. Nyalah api dan biar air merebus hingga mendidih. Kemudian, kecilkanlah api dan biarkan air rebusan tadi terus berada dalam periuk tu sehingga kira-kira 15 ke 20 minit. Proses merebus inilah yang akan membolehkan zat-zat aktif dalam daun ketumbar tu larut dalam air.

Penggunaan dan Penyimpanan Air Rebusan

Boleh terus diminum selepas ianya menjadi hangat. Boleh juga ditambahkan madu dan gula batu secukupnya untuk bagi rasa.

Kalau ada lebih dan tak boleh habis, simpanlah baki air rebusan tu dalam peti sejuk. Bolehlah guna bila-bila perlu. Tapi, pastikan anda gunakan dalam tempoh 2 ke 3 hari untuk menjamin kualiti dan kesegarannya.

Walau bagaimanapun, air rebusan ini tak boleh diambil secara kerap. Ada kadarnya dan bersederhana dalam apa pun ya.

cara simpan daun ketumbar Dalam Peti Ais

Saya pernah terbaca tip simpan daun ketumbar dalam peti beku. Hiris daunnya kecil-kecil dan letak dalam bekas kiub ais yang comel itu. Bila hendak guna boleh keluarkan dan masukkan dalam masakan.

Pernahlah juga saya buat. Sayangnya, daunnya tidak segar (bagi sayalah). Jadi, tidaklah saya meneruskan cara itu.

Selalunya, sebaik beli tak perlu basuh. Masukkan terus dalam plastik ziplock. Dan simpan dekat bahagian sayuran dalam peti sejuk.

Tapi cara ini pun tak bertahan lama. Selepas tiga hari, daunnya mulai kekuningan. Berbeza dengan daun ketumbar tempatan atau dari Cameron Highland tu. Ia lebih tahan lasak. Kadang tu lebih lima hari pun masih ok. Mungkin sebab batangnya lebih keras dan panjang.

Dan akhirnya saya menjumpai cara praktikal simpan daun ketumbar dalam peti sejuk rumah saya.

semai-biji-ketumbar

Cara Tanam Daun Ketumbar

Ada dua cara yang anda boleh buat. Pertama, tanam dari akar pokoknya. Kedua, tabur biji ketumbar pada tanah. Saya akui pernah alami kegagalan tanam pokok ketumbar daripada akar.

Tanam Dari Akar Pokok

  • Rupanya salah cara. Yang betulnya cara tanam daun ketumbar dari akar, anda perlu buang semua daun yang besar pada pokok ketumbar. Buang juga akar kecilnya. Tinggalkan sehelai daun pada pucuknya dan akar tunjangnya saja.
  • Letak dalam air semalaman, kemudian barulah boleh tanam dalam pasu. Boleh tanam terus ditanah atau buat kaedah hidroponik.

Tanam Dari Biji Ketumbar

Cara kedua adalah semai daripada biji ketumbar. Kaedah ini saya berjaya buat. Malah, pokok ketumbar hidup dengan suburnya. Cuma ambil masa untuk bagi bijinya menjadi anak pokok.

Resepi Sos Thai Daun Ketumbar

Bahan-bahan :

  • Akar ketumbar – 5/6 batang (masuk juga daunnya)
  • 4 ulas bawang putih
  • Seinci halia
  • 6 tangkai cili padi merah
  • Sedikit taucu
  • Sedikit sos ikan
  • Sedikit kicap manis
  • Sedikit gula
  • Sesenduk dua air rebus ayam. Kalau tiada, boleh tukar dengan stok ayam.

Cara buat sos thai

  1. Satukan semua bahan dalam blender dan kisar.
  2. Siap untuk dinikmati dengan kerang bakar, ayam thai mahupun daging bakar.

FAQs


Bagaimana cara mencuci daun ketumbar dengan betul sebelum merebusnya?

Cucilah dalam air mengalir dan gosok lembut batang, akar dan daunnya untuk menghilangkan kekotoran.


Berapa lama masa yang diperlukan untuk merebus air dan daun ketumbar?

Masa yang diperlukan adalah selama 15 hingga 20 minit saja agar dapat mengeluarkan zat-zat aktif di dalamnya.


Adakah air rebusan daun ini boleh digunakan untuk rawatan kulit?

Ya, air rebusannya boleh digunakan sebagai penyegar kulit.


Apakah alternatif lain untuk mendapatkan manfaat daunnya jika tidak mahu merebusnya?

Anda boleh menambahkan daun yang segar dalam salad atau jus.


Adakah air rebusan daun ketumbar ini sesuai untuk ibu hamil?

Ibu hamil disarankan untuk berbincang dengan doktor sebelum mengambil air rebusan ini dalam jumlah yang besar.

16 Comments

  1. MAMA REEN June 14, 2023
    • nettyahhiyer June 14, 2023
  2. Myzan June 14, 2023
    • nettyahhiyer June 14, 2023
  3. wawa azwa June 14, 2023
  4. Nina Mirza June 14, 2023
  5. Hernee Nazir June 14, 2023
    • nettyahhiyer June 14, 2023
  6. Nita June 14, 2023
    • nettyahhiyer June 14, 2023
  7. Bonde Zaidalifah June 14, 2023
    • nettyahhiyer June 15, 2023
  8. Azni July 14, 2023
    • nettyahhiyer August 2, 2023

Leave a Reply

error: Content is protected !!