daun kesum

Daun Kesum : Dipanggil Daun Laksa, Amazing Ada Pokok Jantan & Betina

Daun kesum dikenali juga dengan nama daun laksa atau kesum in english dipanggil laksa leaves. Mungkin disebabkan penggunaan daunnya yang wajib ada dalam masakan laksa.

Jangan tak tahu, daun kesum ini ada jenis pokok jantan dan ada juga jenis pokok betina. Ilmu pasal jantina pokok ini saya peroleh sewaktu mengendalikan ruangan ‘Kebun Kita’ di majalah Mingguan Wanita.

Selain nak tahu kegunaan daun kesom dalam masakan. Kenalah ambil tahu dahulu, spesies pokok kesum yang mana satu akan mengeluarkan aroma yang lebih wangi.

Pengenalan Pokok Daun Kesum

Daun laksa ini banyak kegunaannya dalam masakan orang Asia Tenggara. Di Malaysia terutama Kedah dan Melaka, sangat sinonim dengan penggunaan daun laksa.

Yang mana, daun kesom digunakan dalam kuah laksa dan juga masakan asam pedas melaka. Begitu juga di Thailand mahupun Vietnam menggunakan daunnya dalam masakan. 

Pokok kesum juga sejenis tumbuhan herba sebenarnya. Nama saintifik daun kesum ialah Polygonum minus atau Persicaria minor dan tergolong dalam keluarga Polygonaceae. 

Daun kesom ini mudah tumbuh terutama di kawasan berair. Macam mak saya, tanam pokok kesum berdekatan dengan parit. Memang suburlah pokok kesum mak tanam tu.

Ada juga yang menanamnya di tepi kolam, tepi bilik air. Sebab tumbuhan kesum ini memang memerlukan banyak air dan cahaya matahari yang mencukupi untuk hidup subur.

Baca juga : Kegunaan daun ketumbar dalam masakan

daun kesum

Beza Pokok Daun Kesum Jantan Dan Pokok Kesum Betina

Menurut Puan Mariam yang juga pencinta pokok herba, pokok kesum ini sebenarnya ada jantina jantan dan juga betina. Dan kedua-dua jenis ini ada manfaat untuk masakan.

Macamana nak membezakan pokok kesum jantan dan betina ini. Caranya adalah dengan melihat pada batangnya.

  • Pokok kesum jantan: batangnya lebih keras.
  • Manakala pokok kesum betina: batangnya lebih lembut dan lebih berbau harum atau beraroma ketika di masak.

Patutlah pokok kesum rumah mak daunnya lebih lembut dan bila dibuat masak memang wangi semacam.

Nama Lain Daun Kesum

Selain nama daun kesum in English yang dipanggil laksa leaf ini. Ada lagi nama lain untuknya. Glamour betul daun yang satu ini ya. Ianya juga dipanggil Chinese Knotweed

Daun ini juga dipanggil ‘Vietnamese Coriander’.

Kalau dalam bahasa Cinanya, duo mao lio. Orang Jepun pula panggil kesum ini surudo kudami. Setahu saya, daun kesum dalam bahasa jawa dipanggil daun kesom. Yang mana, sebutan U tu dibunyikan menjadi O. 

Haa.. dengan penjelasan ini, barulah saya boleh angkat diri ‘anak jawa Meru’.

daun kesum

4 Kegunaan Daun Kesum Dalam Masakan

Daun kesom ini bukan saja menghasilkan aroma yang enak dalam masakan seperti laksa mahupun asam pedas. Malah, daunnya mampu menghasilkan rasa masam berlemak enak dalam masakan. 

Daun kesom ini ada banyak kegunaannya. Antaranya :

Membangkitkan Aroma Dan Rasa Unik Dalam Masakan

Kesum ini terkenal dengan aroma segar dan rasa sedikit pedas pijar pada daunnya. Inilah yang uniknya pada hidangan kesum.

Sifatnya yang membangkitkan rasa masam menjadi penyedap terutama dalam hidangan resepi patin tempoyak, laksa tanpa belacan mahupun asam pedas. 

Sebenarnya banyak resepi guna daun kesum ini.

Kesum Menghilangkan Bau Dan Hanyir Ikan

Kebiasaannya penggunaan resepi daun kesum ini dimasukkan dalam masakan berasaskan ikan. Ini kerana, aroma daun kesom itu sendiri boleh mengurangkan malah menghilangkan bau hanyir ikan. Terutama ikan sungai.

Dalam masakan pais tempoyak, daun kesom juga dimasukkan ke dalamnya berserta dengan cili padi dan hirisan bunga kantan. 

Bahan Utama Wajib Ada Dalam Sesetengah Masakan

Jangan tak tahu, daun kesom ini juga boleh menjadi bahan utama dalam masakan. Terutamanya laksa dan patin tempoyak. Bayangkan kuah laksa tanpa daun kesum. Memang lari feel sedap dia.

Sebab itulah, dipanggil juga daun laksa. Sebab daunnya dah jadi bahan utama dalam hidangan laksa di Malaysia. Baik laksa Kedah, laksa Penang mahupun laksa Johor. 

Bezanya laksa Johor, daun kesum akan dihiris nipis-nipis dan dijadikan hiasan atau ulam dalam hidangan laksa.

Menjadi Juadah Sampingan Dijadikan Ulam

Bukan saja laksa johor. Daun kesum juga menjadi juadah sampingan di kebanyakan rumah-rumah Melayu. Ada yang memakannya sebagai ulam semata-mata. Ada juga yang dijadikan kerabu dengan dicampur bahan-bahan masakan yang lain.

Tentunya ia menjadi penambah selera yang menyedapkan. Di negara Thailand pula, daun laksa ini dijadikan sebagai ramuan salad dalam bahan hidangan mereka. 

daun kesum

Khasiat Daun Kesum

Menurut majalah Impiana, daun kesum ini kaya dengan beta kerotena, vitamin A & C malah ada kandungan mineral kalium, kalsium dan fosforus.

Sebab itulah daun ini mempunyai khasiat yang bagus untuk :

  • Membantu menguatkan daya penglihatan seseorang.
  • Jika perut kembung, bagus juga untuk mencuba memakannya.
  • Wanita yang ada masalah keputihan pun boleh ikhtiar pulihkan dengan tumbuhan herba beraroma ini.

Adakah Bahaya Daun Kesum Ini?

Daun ini juga dipanggil ‘Vietnamese Coriander’.

Daun kesum ini tak bahaya pun kalau dimakan dalam hidangan seharian. Malah menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, pokok kesum ini mampu bertindak sebagai perencat kanser. 

Yang mana, daripada hasil kajian klinikal yang dijalankan mendapati batang kesum ini dapat merencatkan sel kanser payu dara, paru-paru dan usus. Malah, kesum itu sendiri kaya dengan bahan kimia semula jadi yang boleh dijadikan bahan minyak wangi dan sabun.

Aroma kesum itu sendiri kan sedap dinikmati, lagi-lagi dalam makanan. Apatah lagi dalam industri perfume ini. 

Dari kajian ini juga menemukan sebatian semula jadi yang ada pada kesum sama dengan sebatian minyak wangi yang digunakan di negara maju seperti Perancis. Bukan saja menjadi perfume, malah bauan semulajadi padanya berupaya menghalau lipas.

Cara Simpan Daun Kesum

Berikut adalah beberapa cara untuk menyimpan daun kesum:

  • Simpan dalam peti sejuk: Ini adalah kaedah yang paling biasa untuk mengekalkan daun segar sehingga seminggu. Hanya bilas daunnya perlahan-lahan, goncangkan agar tak menyimpan sebarang air yang berlebihan, dan simpannya dalam bekas atau plastik ziplock. Jangan masukkan daun sampai padat dalam bekas, kerana ini boleh memerangkap kelembapan dan menyebabkan kerosakan pada daunnya.
  • Rendam batangnya dalam air: Letakkan batang daun kesum dalam bekas berisi air, seperti yang anda lakukan untuk menyimpan herba segar seperti selasih. Tukar air setiap hari atau dua hari untuk mengekalkan kesegarannya. Kaedah ini akan mengekalkan kesegaran daun selama beberapa hari. Tak simpan dalam peti sejuk pun masih segar lagi.
  • Pengeringan: Anda juga boleh mengeringkan daun untuk kegunaan kemudian hari. Sapukannya pada lembaran pembakar bersih dalam satu lapisan dan bakar pada tetapan suhu paling rendah dalam ketuhar anda (sekitar 150°F) selama 2-3 jam, atau sehingga ia benar-benar kering dan rapuh. Simpan daun kering dalam bekas kedap udara di tempat yang sejuk dan gelap. Daun kering ini akan bertahan sehingga 6 bulan.

Berikut adalah beberapa petua tambahan untuk menyimpan daun kesum:

  • Elakkan menyimpan daun kesum berhampiran makanan yang berbau kuat, misalnya ikan atau ayam kerana ia boleh menyerap bau.
  • Jangan basuh daun sehingga anda bersedia untuk menggunakannya, kerana ini boleh memendekkan jangka hayatnya.
  • Jika daun mula layu atau berubah warna, ia telah melepasi masa segarnya dan harus dibuang.

Semoga tip ini membantu.

Read More

Leave a Reply

error: Content is protected !!