Panduan Hasilkan Penulisan Berjiwa

Panduan Hasilkan Penulisan Berjiwa

Seni dalam penulisan berjiwa? Bagaimana mahu menzahirkannya? Perlukan ada jiwa dalam penulisan? Maksud mudah di sini adalah penulis perlu bijak meletakkan emosi mahupun bermain emosi dalam sesebuah karya yang dihasilkan. 

Mengapa emosi penting? Ia membantu pembaca menghayati, memahami malah merasai ‘subjek’ yang sedang anda kongsikan bersama mereka.

‘Subjek’ boleh jadi kisah tentang seseorang mahupun situasi mengenai seseorang.

Bagaimana melahirkan seni dalam sebuah penulisan berjiwa? Jangan pening-pening kepala? Menulis itukan perlu tenang, relaks dan selesa.

Tak perlu tergopoh-gapah. Penulisan yang baik tidak dibina dalam sehari. Saya pernah katakan sebelum ini bukan?

Dalam entri 5 Sebab gagal Menulis Dengan Baik saya berikan tips bagaimana mahu menulis bak pakar.

Cara Hasilkan Karya Penulisan Berjiwa

Kali ini saya kongsikan pula pengalaman peribadi bagaimana saya menulis dengan jiwa dalam artikel-artikel kewanitaan.

Mahupun kisah masyarakat selama mencurah karya di meja Mingguan Wanita mahupun majalah Keluarga. Fahamkan betul-betul dan hadam lumat-lumat ya. 

Baca karya-karya penulis hebat

Saya akui, saya ini sedikit kurang rajin bila sampai bab membaca karya-karya terutama novel-novel. Tetapi saya berani akui bahawa dengan membaca karya-karya penulis hebat inilah lahirnya idea untuk menulis dengan berjiwa. 

Antara karya hebat dari Indonesia yang pernah singgah di hati saya adalah Andrea Hirata dan Habiburrahman El Shirazy.

Dua nama besar ini amat mempengaruhi penghasilan penulisan yang berjiwa. Andrea dengan unsur humornya manakala Pak Habiburrahman sarat dengan karya yang membangunkan jiwa. 

Anda juga boleh memilih karya hebat manakah yang anda gemari dengan hati dan emosi anda.

Jika gemar membaca buku-buku jenis ‘self help’ a.k.a motivasi, boleh saja anda hayati dan fahami gaya dan rentak penulisannya.

Meniru idea tidak salah asal jangan hilang identiti

Andaikan anda terlalu sukar mahu mencari perkataan. Boleh saja ambil idea penulisan orang lain untuk dijadikan panduan.

Tetapi olahannya adalah dengan gaya bahasa anda sendiri.

Jika anda tiru bulat-bulat dan tidak diubah langsung perkataannya itu sudah dikira plagiat atau penculik karya orang lain.

Seperti yang saya tegaskan, setiap orang ada identiti dalam penulisannya. Ada yang bersifat keras dan tegas, ada pula yang lembut dalam menyampaikan kata-kata, ada juga yang sukakan perumpamaan dalam mencurahkan idea mereka.

Itu terpulang pada minat dan gaya penulisan anda. 

Jangan cuba menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri semasa berkarya.

Kelak, bila sudah mahir anda akan memperoleh momentum dalam penulisan dan tidak lagi bimbang untuk menulis karya-karya yang berat. 

Hasilkan penulisan berjiwa, masuklah ke dunia mereka

Cuba letakkan diri anda dalam situasi yang mahu anda kongsikan. Misalnya mahu bercerita tentang anak kecil anda yang enggan makan hidangan yang anda sediakan.

Tentu bosan andai memulakan entri yang stereotaip. Mengapa tidak mulakan dengan ‘gambaran letihnya anda mahu memujuk si kecil itu makan’.

penulisan-berjiwa

Penulisan yang baik dan menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan adalah dengan terhasilnya ‘intro’ yang menyengat.

Contoh:
Isi cerita: Anak kecil tidak mahu makan, anda keletihan, pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, anda pujuk anak, anak menolak, nama anak Haris, bib putih ada kartun lembu, sayuran hijau dan bubur nasi.

Intro ‘seni dalam penulisan berjiwa:

Haris meronta lagi. Pinggan plastik warna hijau ditolak ke tepi, tanda protes tidak mahu makan sayuran hijau dan bubur nasi yang saya sediakan.

Kali ini saya tidak mahu mengalah, biar berperang emosi keletihan mahupun baju dibasahi keringat. Misi menyuapkan Haris perlu diteruskan. 

Intro di atas mengundang keinginan pembaca mahu mengetahui dengan lebih lanjut, apakah anda berjaya melaksanakan misi menyuap anak kecil bernama Haris?

Bagaimana nanti anda akan melakukan misi anda itu? Tanda tanya sebegini bagus untuk penulisan anda. 

Sentiasa wujudkan tanda tanya pada pembaca. Bila mereka mula tertanya-tanya, bermakna mereka mahukan tips daripada anda.

Jadi, sampaikanlah tips itu. Jangan pula lokek berkongsi ilmu. Dalam menzahirkan seni dalam penulisan berjiwa, anda juga perlu bijak bermain dengan emosi pembaca.

Cukup dahulu entri tentang seni dalam penulisan berjiwa.

Insyaallah, akan saya kongsikan juga tentang panduan penulisan yang lain dalam entri akan datang. Semoga anda beroleh manfaat menerusi perkongsian ini dan berjaya melahirkan karya mahupun penulisan berjiwa. 

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 18 November 2014

HADAM JUGA TIP LAIN :
- Blogger, belajar dulu jenamakan diri di media sosial
- Menulis entri blog mesra pembaca, ini 5 tip
Tags:,

Leave a Reply

error: Content is protected !!