Bersyukurlah Direzekikan Bekerja Dan Berniaga

Bersyukur Direzekikan Bekerja Dan Berniaga

Beruntung bekerja dan berniaga serentak ini. Tapi tak semua orang direzekikan begitu. Lagi-lagi jika terikat dengan peraturan syarikat yang melarang berniaga ketika bekerja.

Namun, pekerja swasta macam saya (waktu itu) boleh saja bekerja ketika cuti. Buatlah part time, memandangkan pendapatan belum balance dengan tanggungan isi rumah yang bertambah.

Dan saya kongsikan kisah itu dalam buku ‘Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri’. Karya Azura Abdullah.

Emak Bekerja Dan Berniaga Untuk Besarkan Kami

Dulu waktu saya kecil, kerap juga saya lihat emak berjualan dari rumah. Kadangkala emak buat ‘party tupperware’ di rumah kami.

Apabila saya tingkatan enam, emak kembali bekerja. Dalam masa yang sama saya perhatikan emak rajin membuat jualan langsung.

Emak jadi stokis dan banyak edarkan barang jualan dengan pelanggannya. Paling saya ingat waktu emak berjualan kasut ‘keras’ untuk industri.

Entah apalah nama kasut tu. Margin untungnya tinggi barangkali. Sebab saya perhatikan adalah sedikit ‘kesenangan’ untuk kami adik-beradik.

Tak lama kemudian, emak berjualan pasu bunga pula. Dalam masa yang sama, abah pula baru menjadi tukang kebun di kilang kayu tempat emak bekerja.

Sama-sama tunggang motor vespa pemberian Cik Otol ke tempat kerja. 

Waktu ini, kehidupan kami sudah semakin baik. Emak dan abah bekerja. Dalam masa yang sama emak rajin berniaga.

Dapatlah kami membeli peti sejuk, televisyen. Dan paling seronok tak terkira, rumah kami ada talian telefon.

Tak tahu macam mana hendak gambarkan seronoknya bila ada telefon di rumah. Pantang bunyi berdering. Kami adik beradik akan berlari bagai tak cukup nafas.

Semata-mata mahu ucap ‘hello!’. Akhirnya panggilan itu bukan untuk kami pun. 

Kaki Emak Dihempap Kayu Di Tempat Kerja

Tak lama kemudian, emak ditimpa musibah. Kaki emak dihempap kayu di tempat kerjanya. Kaki emak patah dan terpaksalah emak berehat di rumah saja. Lebih malang, tempat kerja emak itu.

Rupanya kilang yang beroperasi secara ‘haram’. Penat emak turun naik ke bangunan PERKESO Klang demi mendapatkan haknya sebagai pekerja.

Dengan bantuan arwah pak cik Zakaria, emak dapatlah juga pampasan yang langsung tidak setimpal. Sepanjang tempoh itu, saya kenal keazaman dan semangat juang emak.

Cukup saya kagumi sampai hari ini. Paling malang sekali, sampai hari ini kilang ‘haram’ itu masih lagi beroperasi di tempat emak bekerja dahulu. 

Baiklah, tutup buku kisah emak dianiaya oleh pemilik kilang ‘haram’ itu. 

Kemahiran Jadi Sumber Pendapatan Tetap & Sampingan

Agaknya juga, inilah asbabnya saya kini menjadi wartawan. Moga suatu hari nanti kisah emak ini boleh menjadi nota inspirasi buat diri saya mahupun orang lain.

Dalam pada bergelar wartawan, saya warisi juga satu lagi sifat emak yang satu itu.

Iaitu bekerja dan berniaga. Barangkali juga darah keturunan berniaga ini sudah ada dalam diri saya. Arwah datuk saya juga seorang peniaga.

Begitu juga makcik-makcik sebelah emak. Walaupun cuma berjualan produk kampung mereka berjaya dalam dunia niaga mereka.

Memandangkan skill saya ini lebih kepada bidang penulisan. Jadi apa lagi kemahiran lain yang boleh saya manipulasi sehingga ia mampu menjana pendapatan sampingan.

Sudah tentulah melalui penulisan juga.

Akhirnya, dengan kemahiran yang telah dibina sejak tahun 2002. Ia dapat dikembangkan. Insyaallah nota inspirasi ini akan terus saya sebarkan kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya. 

Pelawaan daripada penulis buku kak Azura Abdullah. Untuk berkongsi cerita bekerja dan berniaga di dalam projek buku terbarunya membuatkan saya terharu.

Terasa tidak layak untuk berkongsi cerita. Lebih-lebih lagi, saya masih terlalu baru berbisnes. Saya sendiri segan mahu mengakui yang itu adalah bisnes.

Mula Bekerja Dan Berniaga, Pasang Impian Berhenti Kerja

Tapi saya kira, jika sudah boleh buat keuntungan RM1 untuk satu jualan, bukankah itu sudah dikira pandai berbisnes.

Lalu, dengan keuntungan yang sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit itulah menjadi pendorong untuk saya bergerak lebih laju.

Berhenti kerja itu sentiasa saya sematkan sebagai impian dalam diri. Masalahnya mahu berhenti yang bagaimana?

Senang di kemudian hari atau ‘struggle’ berhadapan masalah kewangan. Demi impian yang sudah dipasakkan dalam diri.

Itulah terus menabahkan hati (walaupun kerapkali juga goyah) dan membuatkan saya positif dan terus positif.

Grup sokongan ABDR sentiasa menguatkan saya untuk berada dalam momentum yang sama. Kadangkala lemas, kawan-kawan tarik kembali ke atas.

Kadangkala di atas, kawan-kawan tarik semula turun ke bawah. Sebenarnya berada dalam kesederhanaan itu adalah lebih baik lagi.

Begitulah ABDR, grup sokongan yang serba sederhana namun begitu besar manfaatnya kepada saya. Ia membuka ruang dan peluang.

Untuk saya memahami asas dan menggali kemahiran yang saya miliki ini menjadi sumber rezeki sampingan. 

bekerja dan berniaga

Review Buku Kak Zura

Saya sudah khatam buku kak Zura ‘Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri’. Bagi anda yang memasang impian mahu berhenti kerja, cubalah baca buku ini. Ia akan memberi panduan kepada anda untuk membuat keputusan.

Bagaimana bekerja dan berniaga itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Namun, ada syarat-syaratnya. Semua itu diterangkan oleh kak Zura dalam buku comel ini. 

Bagaimana mahu bermula juga dikongsikan bersama pembaca. Penulisan kak Zura ringkas dan santai. Dalam tempoh yang singkat saya boleh menghabiskan pembacaan buku ini. (walhal hendak habiskan novel satu buku bencinta sungguh!).

Jadi, cubalah membacanya ia tidak akan mengambil masa yang lama.

Yang paling mengujakan, apabila kak Zura berkongsi tentang ‘branding’ dan ‘positioning’. Bagaimana blog memainkan peranan untuk dua elemen penting ini.

Tertanya-tanyakan rahsianya. Buku kak Zura ini ada jawapannya.  

Jika mahu dapatkan ilmu berguna, boleh buat catatan nota. Simpan dan hadamkan baik-baik. Saya juga bersyukur sebab kak Zura sudi menemuramah saya.

Dan menjadikan Travelog Wartawan sebagai testimoni ‘bekerja & berniaga’. 

Semoga ianya boleh menjadi manfaat untuk pembaca buku ‘Bekerja & Berniaga’ tulisan Azura Abdullah ini. Kak Zura ini boleh dikesan (wah! macam ayat inspector gadget) melalui www.azuraabdullah.com

bekerja dan berniaga

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 1 April 2015

Baca juga :
- Inspirasi WAHM, Kuasai Blog Sebelum Berhenti Kerja
- Bagaimana Akhirnya Blog Travelog Wartawan Menjaga Wang

Leave a Reply

error: Content is protected !!