Tulis Cerpen Ikut Citarasa Pembaca.

Teks: Netty Ah Hiyer
Foto: Kamera Fon Saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani,

Bunga rumput dari kebun abah. Konon mahu bereksperimen shot ala back light. Sayangnya kurang menjadi. Akhirnya jadi hiasan di laman blog ini saja.
Sejujurnya saya terlalu lelah. Ada beberapa tugasan menanti dan sebahagian besarnya telah tertangguh lama. Sememangnya kerja di bahagian editorial Mingguan Wanita, tidak pernah surut dan berkurangan. Deadline berganti deadline, keluaran mingguan silih berganti. Ada ketikanya saya jadi bosan dengan kerja yang bertimbun. Mengapa tidak mahu surut-surut! Rungut saya dalam-dalam. Fuh! Buang jauh-jauh emosi negatif sebegitu. Buang jauh-jauh dari dalam hati saya. Rungutan, kekesalan malah ingatan ke arah sesuatu perkara yang negatif itu sahaja sudah meletakkan diri kita dalam golongan orang yang rugi.
 
Bukankah dalam bacaan solat, selalu kita lafazkan memohon pada Ilahi, ‘tunjukkan aku ke jalan yang lurus ya Allah yakni jalan orang-orang terdahulu yang engkau redhai’. Jalan orang-orang terdahulu yang Allah redhai adalah jalan orang-orang yang bertakwa. Yang melihat setiap perjalanan hidupnya penuh dengan hikmah, yang sentiasa mensyukuri setiap pemberianNya, yang membasahkan lidahnya dengan menyebut nama-nama indah milik Allah. Allahu rabbi…
 
Jadi, tugasan yang banyak itu, yang kononnya tidak mahu surut-surut itu adalah ujian keimanan buat diri saya. Kebelakangan ini juga, saya menerima banyak emel-emel daripada para penulis cerpen terutamanya, bertanyakan tentang perkembangan cerpen yang mereka kirimkan. Ada yang sempat saya balas, ada juga yang masih tertangguh di dalam outlook saya.

Tulis Cerpen

Bukan saya tidak mahu melihatnya, maaf ya semua yang terbabit. Tapi ada ketikanya saya sedang berperang dengan deadline. Sesetengah daripada penulis cerpen di Mingguan Wanita, ada yang sudah punya nama dan prolifik dalam penulisan cerpen mereka. Antaranya, Maria Kajiwa, Nurrassyi, Fadhilah Maarif (sekadar menyebut beberapa nama yang terlintas dalam kepala). Mereka juga menulis untuk majalah lain dan suratkhabar. Ada juga penulis-penulis baru yang mahu turut serta namun mempunyai kualiti penulisan cerpen yang baik.
 
Lewat bulan lalu, saya menerima sebuah cerpen dari penulis yang teramat-amat muda. Baru berusia 11 tahun dan belum pernah menulis di mana-mana akhbar mahupun majalah. Namun, penulisannya cukup indah sampai saya sendiri jadi peminat gaya bahasanya. Penulis-penulis baru sebenarnya perlu banyak membaca. Pelajari bagaimana penulis cerpen ‘otai’ ini mengadun cerita sehingga enak jalan ceritanya dan lunak gaya bahasanya. 
 
Tak perlu terlalu mendayu-dayu sampai jadi melankolik. Perlu diingat, sekarang ini zaman teknologi, zaman serba pantas. Semua orang mahu cepat. Mahu kaya cepat, mahu makan cepat-cepat, kalau boleh masuk tandas pun mahu cepat-cepat juga. Tapi tidaklah bermakna saya minta membuat cerpen yang tergesa-gesa sampai hilang indah bahasanya. 
 
Tidak begitu, tapi menulislah sebuah cerpen yang sarat pengajaran dengan penyampaian yang santai dan sederhana malah terus kepada maksud. Bukannya sarat dengan dialog yang ‘biasa-biasa’ sahaja isinya. Maksud biasa-biasa ini misalnya, 
 
“Awak dah tak sayangkan saya lagikah?” Munah bertanya kepada suami yang sedang leka membaca surat khabar.
 
“Kenapa awak tanya macam itu. Tentulah abang sayangkan awak, sampai bila-bila.” Balas suaminya.

Penulisan Meninggalkan Kesan

Bukankah lebih menarik jika diubah menjadi,
 
“Abang, makcik Kiah dan pak Ahmad dari muda sampai tua sentiasa romantik. Agak-agak kita macam itu tak nanti?” duga Munah menebak kasih suami yang begitu leka melayani suratkhabar berbanding dirinya.
 
“Selagi Allah izinkan, Munah selalu ada dalam hati abang,” jawab suami Munah langsung menutup helaian suratkhabar yang sejak tadi menemani dirinya.
 
Nah! pasti penulisan sebegini meninggalkan kesan di hati pembaca. Mengapa? Kerana di dalam perbualan itu ada adegan. Adegan inilah yang menzahirkan tindakan dan dialog. Penulis cerpen perlu bijak mengatur dialog dan tindakan sekaligus. Malah penerima anugerah nobel kesusasteraan tahun 1954, Ernest Hemingway turut mempraktikkan kaedah yang sama. (Rujukan: indonovel.com)
Kesederhanaan dalam penggunaan ayat menjadikan cerpen bertambah dekat di hati pembaca. Tidak perlu memberikan bahasa-bahasa bombastik sehingga memeningkan pembaca mahu memahaminya. Secara tak langsung, ia juga boleh menyebabkan mood pembacaan terganggu. 
 
Bayangkan sedang enak membaca dan menjiwai jalan cerita, tiba-tiba mood terganggu kerana perlu menyemak kamus untuk beberapa kali. Pastilah pembaca akan menjadi bosan dan tidak mahu meneruskan pembacaan. Bukankah anda sebenarnya telah kehilangan seorang peminat di situ. Jadi, berhati-hatilah semasa menulis. Jangan syok sendiri!

Menulis Untuk Diri Sendiri

Hal ini kerap terjadi kepada penulis baru. Mereka merasakan telah menghasilkan sebuah karya agung. Walhal pembaca merasakan ia adalah biasa-biasa sahaja. Apa yang dikatakan menulis syok sendiri? Apabila anda menulis, tanpa mengambil kira perasaan audiens anda. 
Hasilkanlah cerpen mengikut apa yang audiens mahu. Bagaimana mahu tahu apa yang audiens mahu? Sebab itulah anda perlu membaca karya cerpen dari penulis hebat. Dari situlah, anda boleh belajar dan memahami apakah yang audiens mahukan. 
 
Pembaca mahu membaca cerpen yang boleh membuatkan mereka turut merasakan diri berada di dalam penulisan itu. Sambil membaca mereka boleh berimaginasi. Jika kisah sedih, mereka sama-sama bersedih, turut merasai kepedihan yang dialami oleh watak.
 
Pasti mereka tidak akan berhenti sehinggalah pembacaan selesai. Jadi menulislah dengan mata hati, menulislah dengan jiwa. Hadirkan emosi dan garapkan ia bak air yang mengalir.

4 Comments

  1. Naroswati Naib October 4, 2013
  2. Naroswati Naib October 4, 2013
  3. Naroswati Naib October 4, 2013
  4. Netty Ah Hiyer October 4, 2013

Leave a Reply

error: Content is protected !!