Ini kali ketiga cubaan masak sambal tempoyak daun kayu Negeri Sembilan. Tak begitu mudah rupanya. Sebab dedaun dah ada saya cuba buat lagi.
Alhamdulillah, untuk kali ini hasilnya menjadilah juga. Barangkali kalau dapat beli tempoyak Pahang rasa tempoyak daun kayu ini lebih kick lagi. Tempoyak yang ada di rumah ini saya beli tak lama dulu.
Masam sangat pula. Seakan ada cuka dalam dia. Kebetulan, ada juga sedikit tempoyak yang saya buat sendiri. Tak masam tapi jumlahnya sikit pulak.
Jadi, saya tawakal sajalah. Masam pun masamlah kau tempoyak. Tapi saya guna sajalah memandangkan itu saja yang ada. Dan ada satu bahan iaitu petai. Belum sampai lagi. Bila tengok resepi sambal tempoyak petai daun kayu ini, kena letak petai.
Dalam proses mencari resepi tanpa petai itu terbacalah satu komen di facebook. Katanya, resepi original sambal daun kayu ini tak letak petai dan tidak berkuah. Barangkali seiring dengan permintaan citarasa orang dari negeri lain, resepi ini berkembang.. haha dah bunyi transformers ku tafsirkan resepi ini.
Resepi Sambal Tempoyak Daun Kayu Negeri Sembilan
Bahan-bahan Sayuran
Ini dedaun yang saya gunakan. Kesemuanya, saya ambil dari pokok-pokok yang mak abah tanam. Alhamdulillah, tak perlu membeli dedaun rare yang sedikit sukar nak jumpa ini.
Dedaun ini semua dihiris halus ya. Macam nak buat bunga rampai tu.
- Daun ubi kayu
- Daun kaduk
- Daun kesum
- Daun kunyit
- Serai
Bahan Pes
- Tempoyak – 4 sudu besar
- Kunyit hidup – dalam 2 inci kisar
- Cili – 7 biji dikisar
- Ikan bilis – basuh dan tos
- Santan kotak – 1 kotak kecik
Cara Buat Sambal Tempoyak Daun Kayu
- Mula-mula saya masukkan tempoyak, santan kotak, cili dan kunyit hidup kisar dalam periuk. Saya tambah juga air, sebab tak nak dia pekat sangat. Panaskan bahan-bahan ini.
- Kemudian, masukkan ikan bilis, serai, kalau ada petai masuk juga time ni.
- Bila dah mereneh kuah ini semua, masukkan dedaun, kacaulah. Bagilah garam, perasa. Saya tambah juga sikit gula sebab tempoyak saya itu memang masam betul.
- Kacaulah sampai betul-betul likat dan pekat. Nanti dedaun itu akan berubah warna jadi gelap.
- Dah siap. Lebih kurang macam tulah cara buat tempoyak daun kayu Negeri Sembilan ini.
Baca juga : Rentas negeri, jalan-jalan di pekan sehari temerloh
Cara Simpan Sambal Tempoyak Daun Kayu
Kiranya bila teringin nak makan tu, bolehlah cedok sikit. Selebihnya saya simpan dalam peti sejuk. Jadilah buat rasa-rasa. Kalau hendak membelinya tu harga sambal tempoyak daun kayu ini berbelas ringgit juga kan.
Hendak menjualnya lagilah tak confident langsung dengan rasa dia. Hahaha.. lepas tekak sendiri je ni.
Dan lagi lucu ini, selepas saya dah siap buat sambal daun kayu dengan tempoyak masam ini, barulah petai saya sampai ke rumah. Sebab nak juga ada petai dalam tu.
Resepi sambal udang petai pun pernah saya share sebelum ini : masak sambal udang petai kayangan yang mudah.
Saya pun potong halus dan tabur je dalam tu. Hahaha.. macam tu pun bolehlah.
Selain masak sambal tempoyak daun kayu, tempoyak juga sedap digunakan dalam masakan resepi patin tempoyak.
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis