resepi patin tempoyak

Cara Masak Resepi Patin Tempoyak Ori Temerloh Ikut Azie Kitchen

Resepi patin tempoyak yang saya kongsikan ini simple sangat bahannya. Rasa dia macam masak patin tempoyak asli Temerloh. Resepi ini saya ambil ilham dari masakan blogger terkenal, kak Azie Kitchen

Dekat Temerloh memang terkenal dengan kedai makan menyajikan masakan tempoyak patin. Antaranya, Go Bang Maju, Kancil Raja Patin, deretan kedai patin tempoyak dekat Stesen Bas Temerloh.

Kali ini, saya mencuba buat ikan patin masak tempoyak ikut resepi asli orang Temerloh. Tak letak bawang, tak letak bunga kantan apatah lagi bawang putih.

Resepi Ikan Patin Tempoyak Temerloh

Durasi memasak : 30 minit.

Bahan-bahan

  • 1 ekor ikan patin – siap belah
  • 7 tangkai cili padi – ditumbuk (kalau suka pedas tambah lagi cili)
  • 11/2 inci kunyit hidup – ditumbuk
  • 4 senduk tempoyak manis
  • 1 keping asam keping (kalau tempoyak masam tak perlu letak)
  • Segenggam daun kesum
  • Sedikit daun kunyit – hiris halus (optional)
  • Garam dan perasa

Cara Masak Tempoyak Ikan Patin Ori Yang Sedap (Langkah Demi Langkah)

tumbuk bahan patin tempoyak

Tumbuk cili padi dan kunyit sampai lumat guna lesung batu. Sebaiknya sampai biji cili pun hancur.

Masukkan tempoyak dan gaul semua bahan sampai sebati. Sebab gunakan tempoyak manis, waktu merebus ikan patin tu saya masukkan asam keping.

Kalau guna tempoyak masam, saya tak masukkan asam keping.

masak patin tempoyak

Masukkan ikan patin dalam periuk. Kemudian, masukkan adunan rempah dan tempoyak tadi ke dalamnya. Tambahkan daun kesum, daun kunyit, garam dan perasa secukupnya.

Masukkan air sehingga menutupi paras ikan patin tu tadi. Jangan banyak sangat air, nanti cair pula kuahnya. (Dalam gambar itu saya belum tambahkan air lagi).

Kuah tempoyak yang pekat itulah yang menambah keenakan pada masakan asli Temerloh Pahang ini.

rebus patin tempoyak

Setelah ikan patin masak dan empuk bolehlah tutup api. Siaplah masak ikan patin simple.

Tak perlu lama-lama ya. Bimbang nanti ikan patin tu hancur pula semasa direbus. Masak patin ini sekejap je sebenarnya. Penggunaan daun kesum yang banyak pun menambah aroma enak pada masakan patin tempoyak Pahang ini.

Rahsia Masakan Tempoyak Ikan Patin Sedap

Ikan patin masak tempoyak ini jadi lebih sedap, bila mana tempoyaknya sedap dan masih manis. Semakin padu tempoyak semakin sedaplah patin tempoyak tu.

Lagi pekat kuah tempoyak, lagi sedaplah nak dihirup kuah patin tu. Aroma tempoyak dan daun kesum boleh singgah ke rumah jiranlah.

Buat tempoyak sedap pun ada cara dan penyimpanannya. Baca perkongsian cara buat tempoyak dan tip simpan lama di entri saya ini.

Nak masak ikan patin dengan tempoyak ini ada bermacam cara sebenarnya. Kawan saya pernah juga berkongsi yang ibunya mencampurkan lengkuas dalam masakan tempoyak patinnya.

Rasa lebih sedap. Sungguhlah, jika kena gaya masaknya memang lagi sedap. Cuma untuk masak ikan patin ini saya cuma tahu cara masak tempoyak simple macam saya kongsikan ini.

Untuk masak pais patin tempoyak Temerloh pernah juga saya cuba buat di rumah.

Pengalaman Makan Resepi Patin Tempoyak Pahang

Masak tempoyak ikan patin ini memang jadi kegemaran keluarga. Termasuk mak abah pun suka. Malah, kitaorang sanggup meredah highway, ke pasar sehari temerloh semata-mata nak makan ikan patin kat Temerloh.

Sebelum ini saya pernah bawa famili makan patin tempoyak di Go Bang Maju (tapak gerai yang lama). Memang sedaplah masakan ikan patin tempoyaknya.

Bila Go Bang Maju dah berpindah lokasi, cuma saya dan en Yem sajalah yang pernah sampainya. Hidangannya self servis dan lebih sistematik.

Mujurlah masa pergi itu tak ramai orang.

makan-patin-tempoyak-di-kancil-raja-patin

Kami pernah juga makan sedap ikan patin tempoyak di Kancil Raja Patin. Iaitu kedai ikan patin Temerloh tepi sungai dekat Pahang.

Punya ramai orang sampai makan bawah khemah. Viral tempat makan yang terletak tepi jalan ini.

Ada lagi satu tempat makan ikan patin sedap dalam kawasan kampung. Dekat-dekat dengan patin tempoyak Kancil Raja Patin. Lupa pula nama tempatnya.

Saya tak sempat nak makan dekat situ. Terpaksa berpatah balik sebab terlalu ramai orang yang beratur nak makan time tu.

Lokasi saya kongsi itu antara tempat sedap makan ikan patin masak tempoyak dekat Temerloh.

Daripada ketiga-tiga tempat ini, ada satu gerai makan dekat stesen bas Temerloh yang kami suka datang. Kedai gerai pakcik Zul. Kecil saja gerainya.

Tapi, ikan patin goreng letak bawang dan cili air tangan isteri pakcik Zul ini susah saya nak jumpa dekat tempat lain. Kena call dulu sebab resepi patin goreng ini by order.

Kalau jalan-jalan ke Kuantan, kitaorang suka singgah kedai patin tempoyak Kuantan di MABIQ 2. Dekat situ ada tempoyak ikan patin dan pais patin tempoyak yang sedap.

Baca juga :

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Tags:

4 Comments

  1. Myzan January 26, 2023
    • nettyahhiyer January 26, 2023
  2. Nina Mirza March 14, 2023
    • nettyahhiyer March 21, 2023

Leave a Reply

error: Content is protected !!