Cara Buat Tempoyak Durian, Tip Simpan Lama

Cara buat tempoyak I Tempoyak durian ini saya mula makan waktu sekolah rendah. Mak buat sendiri di rumah dari isi durian yang kitaorang tak nak makan.

Nanti mak masukkan isi durian dalam botol kaca (bekas taucu), tutup dengan kertas ikat getah. Dan mak tebuk beberapa lubang pada kertas itu.

Kata mak, kalau tak buat macam itu nanti isi durian yang sedang terfermentasi tu boleh meletup. Lepas tu mak simpan gobok a.ka almari makanan.

Orang dulu-dulu ada almari makanan tau. Sekarang ini memang susahlah nak jumpa.

Tapi, bila sampai kat saya cara buat tempoyak tu saya ubah ikut suka hati saya. Hahaha.. yang penting, tetap menjadi dan tekniknya jauh lebih mudah.

Alhamdulillah, tak pernah lagi meletup tutup bekas tu.

Cara Buat Tempoyak Mudah Style Saya

Asingkan Isi Durian Daripada Bijinya

Isi durian ini saya asingkan lebih mudah kalau guna dua sudu. Kalau nak guna tangan, kena pakai plastik lah ya. Kalau tidak habis melekat nanti di tangan.

Buat satu-satu sampai selesai.

Cara Buat Tempoyak Durian Masukkan Dalam Balang Plastik

Saya guna balang plastik yang bertutup merah tu je. Dah itu je ada kat rumah ni pun. Padat-padatkan dan taburlah sedikit garam.

Ada juga tip kawan saya kongsikan tak masukkan garam. Rasanya lebih asli. Cuma saya tak pernah lagi buat tempoyak tanpa meletakkan garam. Mungkin akan datang boleh cuba.

Cara Buat Tempoyak Asli Resepi Kawan FB

Kalau anda nak cuba buat tempoyak asli tanpa letak garam, boleh ikut panduan kawan saya di bawah ini.

Baca sini : Cepatnya masak sardin tin, guna 3 bahan

Tutup Balang Dan Simpan Dalam Peti Ais.

Okay, bila dah selesai padatkan isi durian dan masukkan sedikit garam, saya tutup balang. Lepas itu, saya masukkan terus dalam peti sejuk.

Selepas beberapa hari, isi durian saya itu macam ada ruang-ruang udara. Saya buka dan tekan semula. Masa ini sebenarnya dah menjadi dah.

Boleh makan gitu saja atau jadikan bahan tambahan dalam masakan.

Mudah saja kan nak buat tempoyak asli isi durian yang tahan lama ni.

Berapa Lama Tempoyak Boleh Tahan

Sepanjang saya buat sendiri tempoyak di rumah, tempoyak durian yang saya hasilkan boleh bertahan berbulan-bulan.

  • Begini cara simpan tempoyak tahan lama : saya letak saja dalam peti sejuk bahagian bawah.
  • Waktu mengambilnya : Janganlah guna sudu yang ada sisa makanan lain dan masukkan dalam bekas tempoyak homemade kita tu. Tak tahan lamalah dia nanti.
  • Saya pernah simpan tempoyak lebih 6 bulan dan masih elok lagi.

Asalkan tidak keluar kulat putih pada tempoyak. Ianya dikira masih selamat untuk dimakan. Jika dah keluar kulat putih, buang sajalah ya.

Saya belum pernah lagi alami tempoyak berkulat. Masa nak ambil tempoyak dari bekas itu, gunalah sudu baru yang bersih dan kering.

Mudahkan cara buat tempoyak durian style saya ini.

Baca sini : Cara cepat cairkan santan kotak beku, yang berbulan simpan freezer

Resepi Tempoyak Durian Ikan Kembung

Dulu-dulu, saya manalah tahu adanya lauk tempoyak ikan patin. Bila dah berkahwin dengan en Yem barulah dapat merasa.

Kalau nak balik ke kampung en Yem, di Felda Purun singgah dekat gerai tempoyak ikan patin yang famous, Go Bang Maju di Temerloh.

Memang sedap betullah rasa dia. Sejak itu, saya pun dah pandai masak ikan patin tempoyak ni.

Cuma kali ini saya nak kongsi resepi yang emak pernah masak untuk saya waktu saya kecil dulu.

Bahan-bahan Tempoyak Durian Ikan Kembung

  • 4 tangkai Cili besar
  • 2 ke 3 sudu besar Tempoyak durian
  • Sehelai dua Daun kunyit – dihiris
  • 5 ekor Ikan kembung

Cara memasak

  1. Tumbuk atau chopper cili besar.
  2. Masukkan cili dah kisar tadi dalam periuk, masukkan juga tempoyak, ikan dan daun kunyit.
  3. Tambahkan air sedikit.
  4. Letak garam dan perasa. Rebus sampai semua masak.
  5. Siap.

Cara Makan Tempoyak Durian Jadikan Sambal

Selain masak tempoyak dengan ikan, saya juga gemar buat sambal tempoyak. Sambal tempoyak saya ini simple saja.

Walaupun ringkas resepinya, tapi sangat lah membuka selera bila dijadikan pencicah ulam atau pun salad.

Sambal Tempoyak Ringkas

  • Begini cara membuat sambal tempoyak paling mudah lagi sedap,
  • Tumbuk cili hijau bersama garam (guna garam kasar lagi best) dalam lesung batu.
  • Jumlah garam sesuaikan dengan jumlah tempoyak itu nanti ya.
  • Ambillah tempoyak, masukkan dalam lesung batu tadi. Gaul sekata.
  • Siap! boleh hidang. Walla!

Resepi Tempoyak Budu

Satu lagi cara makan tempoyak yang mudah buat, adalah resepi tempoyak budu.

Caranya : Sesudu dua tempoyak, cili padi (letak sebiji-sebiji) dan tambahkan budu di atasnya. Siap.

Baca sini : Mingguan Wanita Dari Tabloid Bertukar Majalah

5 thoughts on “Cara Buat Tempoyak Durian, Tip Simpan Lama”

Leave a Comment