Perkongsian sejarah masak memasak diri sendiri. Entri sup ayam mak jemah ini saya kongsikan dalam blogspot saya. Kontennya saya pindahkan juga ke sini sebab saya boleh imbas balik betapa lucunya diri sendiri dalam bab masak memasak.
Sejarah saya dengan dunia masakan, memang haru biru sebenarnya. Sejak saya kecil sampailah memasuki alam sekolah menengah tinggi, mak tak sekali pun menggalakkan saya ke dapur.
Katanya, dia mahu saya fokus belajar. Bila mak bagi greenlight, saya yang serba pemalas ini pun mula ambil kesempatan.
Saya jadi kalut bila mak mula bekerja, ketika itu saya baru tamat SPM dan ada pula adik seusia 3 tahun yang perlu dijaga.
Belajar Memasak Secara Diam-diam
Masa itulah saya mula belajar memasak secara diam-diam.
Tumis terung eksperimen pertama saya. Satu persatu saya reka tapi akhirnya lauk itu ke tanah jua; minyaknya selambak tak boleh dimakan.
Sampailah saya dah bergelar isteri orang pun, bab memasak tidak pernah saya kuasai.
Setiap kali masuk ke dapur mak mentua (kini arwah.. Al-Fatihah untuk mak), dialah yang ajarkan saya cara-cara masak lemak cili api ikan sungai, ikan masak taucu dan sebagainya.
Mak mentua pun ‘sporting’ orangnya, boleh terima menantu yang ‘buta’ perihal dapur tapi terang hati bila sampai bab makan.
Belajar Memasak Waktu Ke Tempat Assignment
Namun, saya bersyukur kerana dihantar ke meja Mingguan Wanita. Selain belajar ilmu lanjutan memasak dengan mak mentua, kerjaya ini jadi kelas kedua untuk saya mendalami ilmu masakan.
Bukankah dalam Mingguan Wanita ada ruangan resipi. Kadangkala ada juga teknik / langkah demi langkah untuk membuat sesuatu resipi.
Berbelas tahun menaip resipi untuk dikongsi dengan pembaca, akhirnya saya menerima berkatnya. Maka terhasillah sup ayam mak jemah ni. Dan dari situlah perlahan-lahan belajar mencuba bermacam jenis sup ayam simple yang lainnya.
Walaupun tidak bertaraf masterchef, syukur alhamdulillah en suami dan anak-anak suka. Tapi ada juga resipi yang kurang menjadi.
Terutama bila hati sedang membara dan paksa diri ke dapur.
Memang masakan jadi kurang enak. Hilang aura sedapnya. Sebab itulah, sebelum pegang senduk dan kuali, bersihkan hati dan ikhlaskan diri.
Bukankah beri orang makan juga sedekah peribadi.
Eh! Macam mana ni, konon tak ada idea dan kekuatan untuk menulis tapi dah jadi panjang berjela pula. Aduh! Kalau dah wartawan memang ginilah gayanya.
Okaylah, tak nak membebel lebih panjang, saya kongsi resipi sup ayam mak jemah yang selalu dimasak untuk keluarga.
Kalau nampak tak berapa nak sedap, siapa-siapa yang pakar ubah-ubahlah resipi sup ayam mak jemah tu sendiri. Namanya pun tukang masak amatur.
Resepi Sup Ayam Mak Jemah Sedap
- 1 ekor ayam } dipotong kecil ikut citarasa
- 1 biji bawang besar }
- 6 biji bawang merah } ditumbuk
- 3 ulas bawang putih }
- 2 inci halia } dihiris nipis
- 1 batang serai } diketuk
- 1 bungkus sup bunjut adabi
- Buah pelaga, kayu manis, bunga lawang } ikut citarasa – sebab saya main campak-campak saja.
- 1 mangkuk air panas
- Daun sup
- Sedikit gula dan garam
- Kentang } kupas dan potong kecil
- 1 biji tomato
Cara membuat :
- Rendam buah pelaga, kayu manis dan bunga lawang dalam air panas selama lima minit. (Tujuannya, nak bagi aroma merebak ke dalam air panas)
- Tumiskan buah pelaga, kayu manis dan bunga lawang yang telah direndam untuk seketika.
- Kemudian, tumiskan pula bawang merah, putih, halia dan serai yang telah ditumbuk sampai naik bau.
- Lalu, masukkan ayam dan kentang. Tumis sampai adunan meresap dan empuk (kira-kira 10 minit). Masa ini saya masukkan sedikit gula.
- Selepas itu, masukkan air suam dari rendaman rempah tadi ke dalam ayam. Tambahkan juga dengan sedikit air dan masukkan sup bunjut.
- Perasakan dengan garam dan masukkan pula tomato yang dibelah empat.
- Bila tomato dah empuk dan rasa pun dah sedap, tutuplah api.
- Sedia untuk dimakan bersama seisi keluarga.
Baca juga : resepi rendang ayam pencen paling sedap
Ringkaskan Resepi Sup Ayam Mak Jemah!
Sekarang ini, bila dah pandai sikit bab masak memasak, bolehlah cuba macam-macam resepi sup ayam. Sebab campak-campak, tu yang panggil sup ayam mak jemah.
Resepi sup ayam Thai tentunya jadi pilihan. Lagi sedap bila makan dengan nasi ayam Thai pulak.
Dan saya paling suka resepi nasi ayam Thai yang saya olah daripada resepi yang treveler, vlogger Mark Weins kongsikan.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 5 September 2013
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Cerita ini sangat menarik. Hehehe…
kak naros terima kasih untuk komen. buat kita lagi bersemangat menulis cerita yang poyo2 gini.