rempah-ayam-ungkep-jawa

Ayam Ungkep Jawa, Rempahnya Boleh Guna Bila-bila

Resepi rempah ayam ungkep yang mak ajarkan pada saya ini sangat praktikal untuk kegunaan masakan lain. Selalunya rempah dah jadi tu, mak simpan dalam peti sejuk.

Jadi, bila teringin nak masak ayam ungkep jawa, boleh lah guna. Tanpa perlu bersusah payah.

Kata mak lagi, rahsia sedap ayam masak ungkep cara mak ini terletak pada sukatan asam jawa dan gula.

Jika betul jumlahnya, maka sedaplah masakan tu.

Cara Mak Masak Resepi Ayam Ungkep Jawa

Bahan-bahan Resepi Ungkep Jawa

  • Ayam seekor – potong dan bersihkan *selalu mak guna ayam kampung saja, sebab mak bela ayam sendiri di reban.
  • 5 biji – bawang merah
  • 2 ulas – bawang putih
  • Segenggam biji ketumbar
  • Garam kasar (jumlah ikut kadar kemasinan masing-masing)
  • Serbuk kunyit
  • Sedikit lengkuas
  • 2 batang – serai
  • Asam jawa -anggaran sesudu dua.
  • Gula
  • Minyak

Untuk dapatkan rempah ayam ungkep yang sedap

  1. Tumbuk biji ketumbar dengan garam kasar sampai betul-betul halus.
  2. Dah halus tu, masukkan serbuk kunyit. Tumbuk lagi bagi sekata.
  3. Masukkan bawang merah dan bawang putih dan lengkuas.
  4. Serai tu ketuk je. Kalau tak nak campur dalam rempah pun boleh.

Baca : Kenduri rumah orang Jawa, uniknya kacang tolo

Siapkan air asam jawa

  • Asam jawa tadi campurkan dengan gula. Sukatan air tu dalam setengah cawan saja. Jumlah gulanya biar ada rasa manis masam yang sekata ya. Jangan masam sangat.
ayam-ungkep-jawa

Cara Masak Ungkep Ayam

  1. Masukkan ayam dalam periuk, tambah air dalam separas atau lebih sikit dari ayam.
  2. Tambahkan rempah yang telah ditumbuk dan serai.
  3. Rebuslah sampai ayam empuk.
  4. Bila air dah mulai nak kering (tapi jangan sampai kering ya), bolehlah masukkan air asam jawa. (airnya saja). Kalau suka masam boleh masuk lebih. Kalau tak suka masam, janganlah dituang semua air asam jawa tu.
  5. Gaullah bagi sekata.
  6. Akhir sekali, tuangkan minyak dalam ungkep ayam tadi. Anggarannya dalam suku cawan. Tapi kadang saya masuk lebih, kalau nak rasa rempah tu lebih gurih (sedap).
  7. Masa ini boleh kecilkan api. Nampak kuah tu dah pekat, boleh matikan api.

Ini Yang Berbeza Ungkep Resepi Mak Saya

  • Resepi ayam masak ungkep tak pedas langsung. Sebab tak menggunakan cili dalam bahan masakan. Sesuailah bagi anak-anak kecil makan.
  • Malah, ayam masak ungkep tanpa santan. Jika ada santan, kata mak dah jadi ayam masak lemak ketumbar.
  • Ungkep cara mak juga tak ditumis bahan rempah. Rebus ayam bersama rempah, last sekali baru masuk minyak.
CUBA RESIPI LAIN :
- Kerang bakar tetap gebu, cara saya masak guna pemanggang ajaib saja
- Kentang putar gebu, rasanya lagi ‘creamy’ dari KFC
- Paling senang buat kimchi daun kucai, olahan resepi Maangchi
- Cara cepat cairkan santan kotak beku, yang berbulan simpan freezer
- Mudahnya masak rendang ayam, campak-campak jadi

Info Ekstra!
Kegunaan Rempah Ayam Ungkep

  1. Rempah masak ungkep Jawa mak saya ini sedap juga digunakan untuk perapan ayam goreng atau ikan atau tempe.
  2. Biasanya mak saya buat lebih, dan simpan dalam peti sejuk. Bila nak goreng ayam atau ikan, dia cuma perlu gaul-gaulkan saja.
  3. Untuk ayam, mak akan tambahkan serai bila nak goreng.
  4. Praktikal kan penyediaan rempah sebegini. Jimatkan masa dan tenaga.
  5. Mak memang suka menumbuk rempah guna lesung batu. Guna blender tak sedap katanya. Orang lama-lama memang gitu. Sampai kat anak dia ni, ku blend saja sudahnya. Hahaha..
  6. Masakan ungkep ini, boleh juga ditukar bahan utama ayam dengan tempe. Bezanya bila gunakan tempe, mak tak masukkan lengkuas. Guna saja rempah tu dan teknik memasaknya sama saja.
  7. Sesekali saya masak juga resepi tempe ungkep yang enak dimakan begitu saja. Udang, daging malah cendawan juga sedap dimasak ungkep.
  8. Masak ungkep Jawa cara mak saya ini walau saya dah cuba buat berkali-kali, susah betul nak dapat rasa macam yang mak saya buat. Air tangan mak, rempahnya matang, dan meresap masuk ke dalam ayam.
  9. Mak saya Jawa Meru, Klang. Dan saya perasan setiap tempat cara masak ungkepnya berbeza. Macam Jawa di Johor, gaya ungkep ayamnya lain.
  10. Mungkin air tangan orang tua atau mak-mak kita ini orang kata ‘dah lama makan garam’. Lagi bab masak memasak yang dia champion. Itu yang anak-anak rasa sedap.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Tags:

5 Comments

  1. Ooh Deo July 3, 2021
    • nettyahhiyer July 3, 2021
  2. Sii Nurul July 3, 2021
    • nettyahhiyer July 16, 2021
  3. Maizan July 12, 2021

Leave a Reply

error: Content is protected !!