Begini cara buat mee goreng basah simple yang sedap digemari seisi keluarga. Resepi mee goreng basah sedap letak daging.
Untuk anda yang baru nak mencuba buat resepi mee goreng basah simple letak daging ini semoga perkongsian ini membantu anda.
Sebab saya percaya, untuk yang beginner memasak.. bukan mudah sebenarnya nak buat mi goreng basah ini. Lagi-lagi letak daging di dalamnya. Dulu pun saya gagal juga, tapi saya try and error sampailah akhirnya menjadi.
Resepi Mee Goreng Basah Simple Letak Daging
Durasi memasak : 45 minit
Bahan-bahan
- 3 bungkus mi kuning – dibasuh dan ditoskan saja. Tak perlu celur dalam air panas.
- 1 pek daging jenis steak – hiris sedang-sedang. Daging ni beli siap kat Lulu’s Hypermarket ( ni pun dok ada lama simpan dalam peti ais)
- Kubis – hiris kecil dapat dalam segenggam
- Sepokok sawi – potong pendek, batang sawi tu ikutlah nak ketuk ke tak. Saya terlupa nak ketuk.
- 3 biji telur
Bahan-bahan Kisar Untuk Mee Goreng Simple
- 5 sudu besar cili kisar – ni beli siap dah.
- 4 biji bawang kecil – kisar
- 3 biji bawang putih – kisar
- Segenggam udang kering – rendam dan kisar
- 2 sudu besar sos tiram
- Kicap pekat manis – ikutlah nak banyak mana.
- Perasa Knor – optional
Cara Masak Mee Goreng Basah Sedap
- Tumis bawang merah, barang putih dan udang kering yang dah siap kisar. Tiga bahan ini bukan kisar kering ya. Guna blender biasa tu. Jadi, memang akan ada airlah kan dalam bahan masakan ini. Agak naik bau, masukkan cili kisar dan masak hingga cili betul-betul masak. Saya buh gula sikit, nak bagi cili warna merah cantik.
- Masukkan daging yang dah dihiris. Sebenarnya daging steak ini lembut. Jadi, masak dia sekejap je dah lembut. Saya tutupkan kuali, bagi daging lembut sekata.
- Bila dah empuk, saya masukkan sos tiram dan kicap pekat.
- Kacau, masukkan kubis dan sawi. Kemudian, masukkan mi kuning yang dah siap tos tadi. Kacau sekata, pecahkan telur di tepi mi goreng basah. Biar seketika, sampai telur separuh masak barulah kacau sekata.
- Saya tak tambah air sepanjang buat mee goreng basah daging ini. Tapi guna air dari bahan kisar dan air daging sedia ada. Itulah nanti yang akan jadi kuah dalam mee goreng daging lagi simple.
Pilih Masak Mi Goreng Basah Sendiri Daripada Beli Di Kedai
Ikutkan bahan-bahan dan cara penyediaan masak mee goreng basah daging simple saja sebenarnya. Sebab anda boleh saja guna bahan mana yang ada dalam peti ais.
Macam saya inilah, dah dua tiga hari rajin semacam buat masak bihun goreng lah, maggi goreng mamak lah malah kuetiau.
Nasi dah dua hari tak masak. Hahaha.. cakap kat anak-anak mak kome takde mood nak masak nasi. Mujur bebudak ni tak cerewet, follow je mak dorang nak masak apa.
Dekat dalam peti itu pula bahan-bahan memang dah ada. Boleh campak-campak saja. Tapi kan, kalau peti ais kome tak ada bahan untuk buat resepi mee goreng basah simple ini, kenalah beli juga di kedai ya.
Kenapa Tak Celur Mi Kuning Dalam Air Panas
Sebelum ini saya pernah celur mi kuning besar itu dalam air panas. Tapi bila di masak dengan bahan-bahan lain, dia jadi mengembang dan tak cantik selepas mi dah sejuk.
Beberapa kali mencuba menggoreng mee tanpa mencelurnya nampaknya berhasil dengan jayanya. Mi goreng jadi cantik hasilnya. Bukan saja cantik, sedap kenyalnya.
Mee goreng basah ini rasa dia lebih sedap bila dicampur dengan daging. Jadi lebih manis. Bahan-bahan dan cara sediakan mee goreng basah daging ini pun tidaklah serumit mana. Bolehlah beginner nak mencubanya.
Mi Kuning Gardenia Tiada Rasa Kapur
Sebelum ini saya pernah juga masak mi goreng dan ada rasa kapur. Jadi, untuk hilangkan rasa kapur mee kuning tu saya rendam mi kuning itu antara 15 ke 20 minit.
Kemudian, toskan dan bilas lagi. Cuma sejak gunakan mi kuning jenama Gardenia ini tak ada dah saya rendam mi tu sampai lama-lama. Mee Numee Gardenia ini cuma saya bilas sekejap.
Lagipun, kalau direndam lama, nanti jadi tak sedap mee kuning tu. Kalau beli lebih, tak perlu simpan mi dalam peti sejuk. Cukup letakkan di luar dan ikut panduan tarikh luput penggunaannya. InsyaAllah, tahan dan tak berkulat.
Baca juga : Cara masak ayam goreng kunyit berempah simple
Jatuh Hati Dengan Kuali Delighto Deep Fry Wokpan
Ada sebab kenapa saya gigih betul masak segala jenis mi dua tiga hari ini. Semuanya sebab dah terjatuh hati dengan kuali Delighto Deep Fry Wokpan 28cm yang saya beli di Seng Heng.
Harga asal dia tak silap dalam RM189. Sempena Merdeka itu, ada offer jadi RM99.
Secara teknikalnya, bukanlah saya beli. Memandangkan en Yem pemegang kad Plus One Gold Seng Heng. Ada double reward sempena pembelian Merdeka. Jadi, kiranya kuali tu dapat percuma selepas tolak reward S Coin.
Kuali ini ringan saja. Sebab dia jenis die-cast aluminium. Sejenis kuali non-stick jugalah. Jadi, nak basuh tu just guna span saja. Jangan pula bersihkan kuali dengan span pencuci pinggan mangkuk jenis kasar itu.
Masa nak guna pun, jangan basah-basah tu panaskan atas api. Tapi lap bagi kering, buh minyak baru panaskan. Saya tak pastilah betul ke tidak cara ini. Tapi seingat saya, pernah terbaca cara macam ini nak jaga kuali.
Tapi kan.. tapi kan.. belum pape pemegang tu dah terkena kunyit pula. Tak rajin lagi nak hilangkan kesan kunyit tu guna pencuci jenis pes. Hahaha.. nantilah bila dah datang ilham baru buat.
Abaikan juga gambar persepahan dekat sekeliling kuali tu. Memang siap-siap masak terus snap gambo. Tak dan nak lap keliling-keliling tu. Bebudak dah kerumun tak sabar nak makan.
Maknya pulak gigih nak amik gambo mee goreng daging basah. Gitulah.
Tips Daging Cepat Lembut Dalam Mee Goreng Basah
Ada yang bertanya macam mana cara nak bagi daging cepat lembut masa memasak mi goreng basah ini.
Macam saya kan.. saya guna daging jenis steak tu. Daging pejal tempatan saja. Dia dah pek siap-siap. Atas tu saya tulis beli dekat mana.
Saya kongsikan gambar pek daging pejal itu juga, bagi mudah untuk anda bayangkan. Kalau daging biasa tu dalam 45 minit bagi lembut betulkan, daging ini sekejap saja.
Lagi bila kita dah potong kiub. Kalau anda potong lagi kecil, lagilah cepat tempoh masa melembutkannya waktu masak mee goreng basah daging itu.
Sedap betul nampak dari gambar2.
Jangan sampai terkenang-kenang.. hihihi..