daging rebus air asam kerisik

Daging Rebus Air Asam Kerisik Tersedap 2023

Resepi daging rebus air asam kerisik ini antara resepi mudah sedia juga sebenarnya. Cuma yang jadi lama itu, sebab nak menunggu daging direbus dan jadi betul-betul empuk.

Rebus daging berapa lama : Ikut jenis daging juga sebenarnya. Kalau daging tempatan, dengan menggunakan periuk biasa atas api dapur akan ambil masa lebih 45 minit.

Guna periuk tekanan lagilah cepat gamaknya, dalam 30 minit mungkin dah settle.

Berbeza jika saya gunakan daging ausie halal yang en Yem beli dekat pasaraya, dalam 30 minit dah empuk dah. Sememangnya nak menentukan lama mana nak rebus itu ikut jenis daging dan jenis potongan daging.

Resepi daging rebus air asam kerisik ini bukan resepi turun temurun keluarga saya. Sebab mak saya ini jarang masak daging. Abah kan alah daging. Jadi tak keraplah mak memasaknya.

Bila dah jadi isteri en Yem ini, dia pulak tak boleh makan seafood. Maka, daginglah alternatifnya.

Bermacam Cara Masak Daging Rebus Air Asam

Bermacam cara nak buat daging rebus air asam ini sebenarnya. Ada daging rebus campur kerisik dan ada yang tidak. Kedua-duanya tetap sedap dinikmati bersama nasi panas-panas.

Setiap negeri ada style daging rebus air asamnya yang tersendiri. Ada yang campur belacan dan ada yang tidak. Yang penting, pastikan daging betul-betul empuk.

Apabila daging empuk dapatlah dinikmati rasa manis daging tu dengan sempurna. Kalau daging rebus masih keras dan liat, memang boleh buat sakit gigi lah jawabnya.

Saya kongsi juga resepi daging masak lemak nangka kerisik dan masak lemak nangka ketumbar di blog ini.

daging rebus air asam kerisik

Resepi Daging Rebus Air Asam Kerisik

Semangkuk daging – potong kecil, masuk periuk dan rebus. Sementara itu sediakan bahan kisar.

Bahan-bahan Kisar Daging Rebus Air Asam

  • 1 biji tomato
  • 5 biji cili padi
  • Sedikit belacan (tak mau letak pun ok je)
  • Asam jawa – ikut citarasa

Caranya :

  1. Ambil sedikit rebusan air daging (sejukkan) dan kisar dengan semua bahan di atas.
  2. Masukkan semula ke dalam air rebusan daging dan rebus sampai empuk.
  3. Masa ini kuah daging pun dah memekat.
  4. Biarkan sejuk.

Bahan-bahan Potong Daging Rebus Air Asam Kerisik

  • Sebiji bawang besar – hiris nipis
  • 5 biji cili padi – potong kecil
  • Jus limau kasturi – sesudu dua
  • Sesudu dua kerisik
  • Tabur daun ketumbar (optional – tak suka bau dia tak yah buh)

Cara Buat Daging Rebus Air Asam Kerisik

  1. Keluarkan daging dari periuk. Tambahkan air rebusan daging ikut banyak mana anda suka.
  2. Masukkan bahan potong, kerisik, jus limau kasturi, daun ketumbar tambahlah garam, gula, perasa (optional) ikut citarasa.
  3. Gaul dan bila rasa dah kena bolehlah hidang daging rebus air asam kerisik makan dengan nasi panas-panas.

Baca juga : Kerabu daging mentah ala resepi Kak Engku

daging rebus air asam kerisik

Resepi Air Asam Sedap

Begini resepi pencicah sos air asam tersedap. Sos pencicah ini saya buat selepas saya habis kuarantin Covid-19. Bila kena covid ini deria rasa memang totally out. Makan apa pun tak sedap.

Syukurlah dah selesai suntik vaksin, tidaklah sebegitu dahsyat kesan sampingannya.

Jadi, saya buatlah sos pencicah ini untuk kembalikan rasa umami di mulut. Jika anda nak cuba silakan. Masukkan daging rebus dalam sos pencicah ini pun sedap yakmat hasilnya.

Bahan-bahan Sos Pencicah Air Asam

  • Sebiji tomato
  • 4 batang cili padi pedas
  • Sedikit bawang holland – cincang
  • 2 ulas bawang putih – ketuk, cincang
  • 2 rumpun daun ketumbar
  • 1 sudu besar taucu
  • 2 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar jus lemon
  • Sedikit gula
  • Sedikit perasa knor
  • Buh air skit

Cara Membuat

  1. Kacau saja semua bahan-bahan di atas dan balance kan rasa ikut citarasa anda. Sedia untuk dinikmati bersama gandingan daging rebus atau daging bakar.
  2. Sos pencicah ini sedap dinikmati dengan daging rebus. Daging rebus cicah air asam ini makan dengan nasi panas-panas.
daging rebus air asam
Pemilihan tomato yang bagus juga penting untuk menghasilkan air asam yang sedap. / Kredit foto : Pexels by PhotoMIX Company

Menu Kegemaran Keluarga

Menu ini antara resepi yang suka saya cuba untuk dinikmati bersama keluarga. Rasa daging rebus air asam ini segar sungguh.

Lagi-lagi bila dinikmati pada waktu tengah hari. Cuma tak bolehlah nak ambil setiap hari. Makan daging ini pun ada masa-masanya juga.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis

Tags:

3 Comments

  1. Ammi August 25, 2022
    • nettyahhiyer August 25, 2022
  2. wawa azwa November 26, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!