rawat-penyakit-kayap

Rawat Penyakit Kayap Mak Guna Ubat Acyclovir 800mg

Rawat penyakit kayap mak guna ubat acyclovir | Sedih bila tahu mak demam kuat. Dalam masa yang sama, saya satu famili kuarantin Covid-19.

Hujung Februari tu, balik ke kampung suami di Lenggong, Perak. Seminggu stay sana, selesaikan urusan pengebumian dan urusan lain berkaitan arwah ayah en Yem.

Sebak.. sedih betul rasa hati.

Arwah ayah mentua saya baik sungguh orangnya. Macam mana en Yem, macam itulah ayah dia. Memang sampai hari ini.. saat saya tulis ini pun masih bergetar-getar rasa hati terkenang arwah ayah mentua saya.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Haji Mohamad Akhir Bin Din.

Semoga Allah ampunkan dosa ayah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Jasa baik ayah membesarkan en Yem yang baik, saya kenang sampai akhir hayat saya.

Balik Dari Kampung, Demam Dan Akhirnya Positif Covid-19

Hari Ahadnya, saya dah balik ke Selangor. Sepatutnya saya ke majlis kenduri jiran dan saudara, tapi Qaseh pula tiba-tiba demam.

Hati jadi tak sedap nak pergi. Selang dua hari saya pula demam. Masuk hari ketiga, saya buat ujian kendiri dan ada dua line. Maka, positif Covid-19 lah saya.

Masa itu, saya perasan suara pun dah jadi lain.

Telefon mak, rupanya mak juga sakit dan demam. Kata adik bongsu saya teruk jugalah keadaan mak, sebab dada mak sakit dekat belah kiri.

Berdenyut-denyut.

Makinlah hati tak keruan, sebab tak boleh tengok mak pulak. Esoknya, adik-adik bawa mak ke klinik untuk pemeriksaan.

Sekali diperiksa darah tinggi mak; atas 200++, bawah 100++. Haru!

Doktor pun beri mak ubat darah tinggi dan ubat sakit otot. Tapi, maklum adik sakit mak masih juga sama. Kadang-kadang berdenyut sampai ke bawah buah dada. Ke perut pun iya.

Baca : Doa lindungi dari wabak, mak pesan hafalkan

Ikhtiar Urutkan Mak

Mak dah susah hati takut kanser.

Tapi, kata doktor kalau kanser dia tak sakit. (ini mungkin untuk tanda awal)

Abah pun makin tak keruan. Mintalah tolong abang Api untuk urutkan. Kata mak, lepas urut tu legalah sikit. Tapi sakit itu masih juga menyerang.. dan sakit sungguh.

Adik bongsu saya punya susah hati, sampai dua kali dia datang ke rumah. Nak tanyakan pendapat, ‘nak buat macam mana.’

Sedih!

Sebab saya masih kuarantin. Tak boleh buat apa. Cuma boleh dengar cerita adik sajalah. Sudahnya mak tahan sajalah sakit tu. Sambil makan ubat yang dapat dari klinik swasta sebelum ini.

Adik sempat juga ke klinik kerajaan untuk buat appointment untuk mak. Tapi sudahnya, mak yang tak nak pergi.

Sepanjang mencari ubat sakit kayap mak ini, adik bongsu saya inilah gigih ke klinik swasta, kerajaan, farmasi malah kedai sengsei. Nampakkan motor merah adik saya tu.

Tanda-tanda Kayap Mula Naik

Masuk hari kelima mak sakit, malam itu mak kata dia minum air halia. Esoknya, keluar bintik-bintik. Mak dah rasa kesakitan mak alami itu tanda sakit kayap.

Denyut-denyut sakit sekitar dada dan perut masih ada dan makin kuat.

Mak cuba ikhtiar ubat kayap cara kampung yang dia tahu. Begini cara ubat penyakit kayap tradisional; bawa kelapa parut, gula merah bawa jumpa kenalannya untuk minta penawar.

Orang dulu, kalau ada kayap antara petua alternatif yang digunakan adalah ‘mencari anak dara / bujang yang berkahwin dengan janda atau duda.

Janda kahwin bujang inilah jadi penawar kayap atau ubat penyakit kayap orang dulu-dulu.

Nanti dengan barangan yang dibawa macam kelapa parut itulah dikunyah dan disemburkan pada kayap atau kayap ular pada badan.

Begitulah petua orang dulu meredakan sakit kayap. Dulu arwah nenek saya pun ramai yang mencarinya untuk penawar sakit ‘dompo’ (ni bahasa Jawa untuk penyakit kayap atau herpes).

Dulukan nak jumpa klinik atau farmasi susah, itulah ikhtiar yang boleh digunakan.

Baca juga : 10 tanda-tanda panick attack, Maya Karin pun alaminya

Cari Ubat Kayap Di Farmasi

Walau selepas mencuba rawatan kayap cara tradisional. Keesokan harinya, mak masih lagi sakit.

Makin panas satu badan. Lagi panas dekat kawasan berbintik kemerahan itu.

Sampai mak dah tak tahan. Minta adik bongsu saya carikan ubat kayap di kedai cina sengsei untuk ubatkan penyakit kayap mak.

Saya pula minta adik cari ubat kayap di farmasi.

Baca : Klinik kulit Shah Alam rawat muka ‘breakout’ disebabkan jerawat

rawat-penyakit-kayap
Ubat kayap di farmasi jenis krim yang adik beli untuk meredakan pedih, panas kayap.

Bila balik rumah, mak tengok ubat kayap jenis krim yang adik beli di farmasi. Bertambah sedihlah hati mak, sebab bukan ubat sengsei yang dia nak.

Memandangkan saya tak boleh ke rumah mak, saya usahakan lah bertanyakan rawatan online dengan Klinik Dr Nurzawati. Beliau doktor yang pernah datang ke rumah saya rawat arwah mak mentua.

Jadi, saya dah biasalah dengan Dr Nurzawati ini.

Doktor minta video dan gambar mak, SpO2, dan lain-lain info.

Rawat Penyakit Kayap Mak Dengan Acyclovir

Bila Dr Nurzawati tengok pada gambar yang saya wasap, sahlah memang mak sebenarnya kena kayap atau nama sainsnya herpes zoster.

  • Kata doktor, penyakit kayap ini dalam tempoh 24 ke 48 jam selepas bintik-bintik tu keluar, amat efektif jika dirawat dengan ubat antiviral kayap iaitu ubat acyclovir.

Tapi nak beli di farmasi kena tunggu preskripsi dari doktor juga. Jika tidak, farmasi takkan jual sewenang-wenangnya ubat Acyclovir 800mg tu.

Memandangkan masih belum dapat preskripsi, dan mak pun nampaknya macam dah tak tahan. Saya minta saja adik carikan ubat alternatif di kedai sengsei.

Malam itu mak makan ubat sengsei. Nampaknya, adik kata masih sakit dan makin sakit. Saya pakat dengan adik nak bawa mak ke klinik Dr Nurzawati untuk rawat penyakit kayap mak saya tu.

rawat-penyakit-kayap
Ubat acyclovir yang Dr bekalkan untuk mak.

Tapi, mak tak tahu pun. Sebab, mak masih takut kalau saya Covid. Tapi.. saya pun dah habis kuarantin masa ini. Pergi sajalah rumah mak diam-diam.

Bila saya sampai.. Allah sedih betul nampak mak. Mungkin berjauh hati agaknya, anak-anak tak dapat jumpa ubat kayap yang betul untuknya.

Saya pun mungkin dalam dok menenangkan mak dalam telefon, adalah terguna bahasa yang mak terasa. Maklumlah, orang sakit ini emosinya berbeza.

Dah kebetulan, dua beranak pulak sakit dan baru baik sakit. Hahaha..

Penyakit Kayap Biasa Terjadi Di Kalangan Orang-orang Tua

Pagi itu, saya dah maklum pada Klinik Dr Nurzawati nak bawa mak jumpa doktor juga. Akhirnya, sampailah mak ke klinik.

Ikutkan doktor tak ambil patient pun, sebab memang nampak sibuk betul klinik Dr Wati ambil darah pekerja asing tu. Dalam klinik tu saya dan mak serta warga-warga asing saja. Kah kah kah.

Alhamdulillah, bila dapat masuk bilik doktor, makin fahamlah saya apa benda sebenarnya sakit kayap ini.

Patutlah mak sakit sangat. Bak kata doktor, sakit dia memang terasa macam nak mati. Sesetengah orang sebut kayap ular.

nettyahhiyer.com

Virus Kayap itu sebenarnya ada dalam diri setiap orang.

Cuma bila dah makin berusia, sistem daya tahan lawan penyakit dalam badan pun dah lemah, maka keluarlah ia menyerang saraf.

Memang selalu terjadi kepada orang-orang tua.

Kata Dr Nurzawati lagi, ada kes yang pernah dia rawat penyakit kayap sebelum ini. Pesakitnya alami sakit macam mak kena itulah. Berdenyut-denyut dekat dada hampir dua minggu.

Bila doktor check, yang dia dapat diagnos adalah sakit otot. Selama dua minggulah dibekalkan ubatan seumpama. Rupanya, lepas dua minggu, keluar bintik-bintik tanda kayap.

Sakitnya di sekitar otot. Bila kayap tu nak keluar, otot jadi sakit sangat. Bahasa mudahnya, virus kayap tu duduk dalam saraf kita yang melingkar tu.

Tu kalau orang dulu-dulu sebut, kayap ular kalau bertembung boleh meninggal.

Baca : Cara meredakan ulser mulut dengan remedi di rumah

Kayap Ular Masih Boleh Dirawat

Betul ke kayap ular boleh mati? Terang doktor, tidaklah sampai macam itu. Masih boleh dirawat. Cuma nak rawat penyakit kayap ni kena cepatlah, iaitu dalam masa 24 ke 48 jam bintik-bintik kayap itu keluar, rawat dengan ubat acyclovir 800mg.

Ubat kayap yang doktor terang di atas tu.

Ada lebih kurang 5 jenis ubat doktor berikan untuk tempoh 5 hari (termasuk Vicide Cream untuk disapu pada kulit). Dan bila balik saya minta mak makan ikut jam yang di tulis pada bekas ubat itu.

  • Doktor juga pesan agar mak ambil makanan yang berkhasiat. Tak perlu pun berpantang. Boleh saja makan apa-apa.
  • Sebaiknya, ambil lah vitamin C dan vitamin lain-lainnya untuk meningkatkan daya tahan dalam badan mak.

Denyut-denyut Makin Berkurang, Mak Dah Senyum Kembali

Alhamdulillah, ini dah hari kedua mak makan ubat, mak kata dah lega sikit. Dia dah boleh mengaji, bangun solat malam balik.

Lega betul dengar.

Takde dah episod sedih-sedih hati seorang mak yang sakit. Dan susah-susah hati seorang adik bongsu lelaki ku yang masih bujang trang tang-tang.

Alhamdulillah, mak berjodoh dengan ubat yang Dr Nurzawati berikan.

Saya berkongsi cara rawat kayap mak ini bukannya untuk apa pun. Sebab penyakit kayap ini selalu sangat saya dengar, tapi tak pernah alami sendiri.

Bila mak dah alami, saya tahu betapa struggle nya menahan sakit tu. Alhamdulillah saya berjumpa cara yang betul untuk merawat kayap mak.

Semoga pengalaman ini dapat membantu mereka yang mungkin sedang diuji dengan penyakit seumpamanya.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

3 Comments

  1. Maria Firdz March 22, 2022
  2. MrsPip March 23, 2022
  3. Ray March 24, 2022

Leave a Reply

error: Content is protected !!