Lenggong Perak ini tempat kelahiran suami. Sekarang sudah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Banyak lokasi geopark yang cantik panoramanya.
Jika dipelihara, dibaikpulih dan dibangunkan dengan betul boleh jadi destinasi sejarah yang unik di mata dunia.
Lampu sudah terpadam, cuma sesekali terdengar deruman motor dan kereta yang melalui lebuhraya berdepan rumah ibu mentua saya. Itulah muzik yang menemani saya setiap kali pulang ke kampung di Sira Putih, Lenggong.
Unggas malah kelkatu seronok menyerang cahaya kecil yang terang di desktop kelabu saya. Saya juga seronok ditemani muzik dan unggas itu.
Sekurang-kurangnya pagi-pagi buta ini saya tidak bersendirian.
Di kampung suami kaya dengan khazanah alam.
Dari hutan belukar yang masih tebal menghijau, gunung-ganang mengelilingi sekeliling kampung, gua-gua tua yang penuh misteri.
Dan pelbagai cerita terhimpun segar di penempatan paling lama di Malaysia ini.
Unesco sendiri sudah mengiktiraf tempat ini sebagai tapak warisan sejarah dunia.
Kali Pertama Menjejak Lenggong, Perak
Sememangnya kali pertama menjejaki Lenggong, hati saya sudah dipagut suka. Bukan sahaja tergila-gilakan suami yang manis senyuman itu, tapi saya juga tergila-gilakan tempat lahir lelaki berjiwa penyayang ini.
Dia tidak dibesarkan di sini. Barangkali juga, dia tidak ada teman-teman di Lenggong.
Walau tiada teman, setiap kali pulang kami masih boleh ‘enjoy’ di pekan cowboy Lenggong dengan begitu senang hati.
Saya suka ke pasar taninya pada setiap pagi. Di situ ramai orang-orang tua yang berniaga. Sesekali akan terpandang mereka bersama teman-teman di kedai kopi.
Cukup santai dan penuh relaks.
Tidak perlu terkejar-kejar mencari rezeki seperti di tempat kerja saya, Shah Alam, Selangor.
Kedai Cina Menjual Markisa
Saya juga suka ke kedai cina menjual air markisa yang cukup enak rasanya. Kata en suami, tauke Cina yang berjualan di situ sudah berniaga sejak zaman dia masih bersekolah rendah lagi.
Dan kedainya juga tidak berubah. Masih antik dan klasik.
Kedai barangan lama di pekan Lenggong juga satu kemestian untuk saya singgahi. Sampaikan tauke Cina di kedai itu pun sudak cam muka saya.
Saya suka membeli pinggan lama bunga merah, cawan kopitiam pun saya cari juga. Satu set sudah saya hadiahkan untuk mak di Meru.
Abah cukup suka minum kopi panas dalam cawan kopitiam itu, lebih umph! katanya.
Saya pernah juga berjalan memasuki sebuah gua di dalam kampung Gelok.
Di sebabkan ramainya orang asing datang membuat kajian, kawasan gua itu sudah dibangunkan serba sedikit.
Panorama Semulajadi Di Lenggong
Ada laluan kayu yang boleh direntasi dan dikhabarkan memanjang sehingga mampu sampai ke pekan Lenggong. Betul atau tidak saya sendiri kurang arif.
Kerana waktu saya melaluinya dahulu ia baru separuh dibina.
Menikmati keindahan panorama semulajadi di Lenggong cukup menenangkan jiwa. Pulang ke kampung halaman juga terapi minda buat diri saya.
Bukan sekadar menikmati alam semulajadi yang menenangkan. Malah, bertemu mak dan ayah mentua yang ada di kampung.
Banyak lagi yang mahu saya kongsikan. Betapa terujanya saya apabila berkongsi cerita tentang Lenggong yang kini semakin saya rindui.
Kerana, saya ketika posting ini dimuatkan dalam blog, saya sudahpun jauh di Kampung Budiman nan permai.
Ini catatan lama bertarikh 9 Oktober 2013. Mak ayah mentua saya, keduanya sudah pun dijemput Ilahi. Semoga Allah menempatkan kedua roh arwah mentua yang saya sayang dikalangan orang beriman di syurga firdausi.
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis