Hikayat menara sakti dan kerbau bala ibu mentuaku | Tak selalu saya dapat pulang ke kampung Sira Putih, Lenggong.
Paling tidak sebulan sekali barulah saya berpeluang menjengah keluarga ibu mentuaku.
Ikrar saya pada en suami, sebulan sekali kita wajib pulang ke kampung halamannya. Sebabnya, hampir setiap hari ‘kita’ akan pulang ke rumah mak saya.
Anak-anak saya pun mak saya yang tolong jagakan. Sebab itulah, ikrar sebegitu terlafaz.
Rutin itu menjadi perkara wajib untuk kami berdua. Dari kami berkereta Wira Sedan 1.3 warna ‘Perawan Yellow’ sampailah ke kereta yang kami naiki sekarang, tidak pernah sekali saya gagal pulang ke kampung en suami setiap bulan.
Ke Rumah Ibu Mentuaku
Cuma seingat saya sekali sahaja saya gagal untuk pulang ke rumah ibu mentua. Itupun disebabkan deadline bumper Hari Raya dan ianya telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat kami berdua.
Sungguh terkilan rasa di hati.
Namun, apakan daya Allah juga Maha Menentu Segalanya. Dialah yang mentadbir hati, Dia jualah pemegang hati setiap manusia. Tidak boleh sesiapa pun menidakkan soal kekuasaanNya itu.
Biarlah kerja berat menimbun, belanja pulang tidak berapa nak ada, hatta anak cedera di tangan sekalipun, saya tetap akan pulang melihat mentua di kampung.
Saya percaya kasih ibu mentua sama sahaja dengan kasih ibu sendiri.
Syukur Alhamdulillah, saya masih ada ibu mentua. (Ini catatan lama, ibu mentua saya sudah pun dijemput Ilahi.. Al Fatihah)
Doa darinya memberi kebahagiaan buat kami berdua. Ibu mentua saya kadangkala sihat kadangkala tidak.
Umurnya pun sudah melewati 86 tahun. Tetapi dalam kad pengenalannya ibu masih muda. Orang dulu-dulu, manalah daftarkan anak segera di balai polis.
Baca : Semua nak buat sendiri, habit ini bahaya walaupun bahagia
Sejarah Keluarga Suami
Dia pun kadangkala ingat, kadangkala tidak. Ingatannya tidak lagi sekuat dulu. Tapi cerita-cerita tentang susur galur keturunannya tersimpan kemas di ingatannya.
Setiap kali pulang, itulah dendangannya untuk saya. Barangkali saya ini menantu hantu.
Sukar benar, ceritanya itu mahu melekat di jiwa saya. Walaupun dari dulu dia ceritakan pada saya, mungkin cuma 30 peratus yang benar-benar saya ingati.
Tentang pahlawan ‘Tok Pendek’, ‘Timbulan’, ‘Menara Sakti’, ‘Kerbau Bala’ semua itu ada kaitan dengan susur galur keluarga suami.
Yang saya pasti arwah datuk suami saya dulu seorang guru yang cukup dihormati di kampungnya. Orang memanggilnya ‘Cikgu Mat Ayib’. Arwah nenek suami saya pula handal menenun dan tekad benang emas.
Ibu mentua saya bangga sekali setiap kali menunjukkan hasil kerja tangan orang tuanya dan moyangnya itu.
Memang halus seni buatannya. Ada kesempatan nanti saya rakamkan khazanah yang cukup bernilai itu.
“Ti, nak tengok tak kerja tangan orang dulu-dulu,” itulah kata-kata ibu mentua saya setiap kali saya pulang ke kampung dua tiga menjak ini.
Dia mesti menunjukkan hasil seni itu kepada saya. Walaupun sudah berkali-kali saya melihatnya, saya tidak pernah mengatakan tidak. Tak sampai hati.
Khazanah Berharga Milik Ibu Mentuaku
Saya tengok dan belek dengan hati yang sayu. “Mak simpan elok-elok.” Itulah pesan saya dan suami setiap kali ibu mentua saya bentangkan satu persatu khazanah berharga miliknya itu.
Selepas beberapa hari meluangkan waktu di kampung encik suami, mahu meninggalkan rumah pusaka beserta penghuninya membuatkan saya cukup sayu dan hiba.
Kadangkala saya utarakan juga pada en suami.
“Tak mahukah dia pulang ke kampung halaman. Jaga mak sementara usianya masih ada?” Setiap kali itulah pertanyaan saya tergantung tanpa jawapan. Tidak tahu bagaimana Allah mahu memimpin hati kami berdua.
Kami serah kembali kepadaNya. Setiap sesuatu yang terjadi kami tempuh dengan penuh sabar dan tabah.
Antara sedar mahupun tidak, itulah teladan yang en suami ajarkan sepanjang saya bergelar isterinya.
Baca : Jangan hilang ikhlas jaga ibu sakit tua
Koleksi gambar terkini yang saya ambil waktu pulang ke rumah ibu mentua saya awal bulan Mei ini.
Koleksi Gambar Kenangan
Mirza Balik Kampung
Halaman Rumah Ibu Mentuaku
Kenangan Anak-anak Di Kampung
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 4 Mei 2014
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis