Kenduri rumah orang Jawa ini istimewa sebenarnya. Hidangan berkat tentunya akan jadi cenderahati untuk dibawa pulang. Dulu, dalam berkat wajib ada serunding kelapa dan kacang tolo tumis.
Sekarang ini, jarang nak jumpa lauk berkat kenduri sebegini. Mungkin penyediaannya yang rumit buat ia semakin dilupakan.
Ini memori flashback waktu saya ke kenduri rumah sepupu suatu ketika dulu.
Tengahari tadi saya menghantar emak ke kenduri kahwin anak kakak sepupu saya, Kak Ip. Cantik pengantin hari ini sedondon bersongket biru laut.
Saya pun tak lama di situ, selepas makan dan lepak seketika di situ, bersalam dengan sepupu dan wak-wak yang lain, saya pun pulang.
Dalam pada hendak beredar itulah rombongan pengantin sampai. Berhentilah kami seketika melihat pengantin berarak dengan diiringi paluan kompang dan gendang.
Beza Kondangan Dengan Rewang
Kalau cuma datang dan makan kenduri itu, namanya ‘Kondangan’. Tapi andai membantu tuan rumah dalam majlis kenduri, dipanggil ‘rewang’.
Satu yang saya suka ke majlis kahwin orang Jawa ini, ada sesetengah tuan rumah akan menyediakan lauk kenduri kahwin ‘ikan bilis masak taucu’.
Tak semua tempat akan sediakan juadah sebegini. Tapi kalau kenduri sebelah Wak Salleh ini, lauk sebegitu menjadi juadah wajib.
Yang paling bestnya, itulah lauk kegemaran saya. Sebenarnya, apa saja yang berasaskan taucu menjadi kegemaran saya.
Kenapa? Sebab lauk ini mengembalikan ingatan waktu zaman kanak-kanak saya dahulu.
Lauk Taucu Mengimbau Kenangan
Kan saya pernah cerita keluarga saya bukannya orang senang. Jadi sebotol taucu itu ibarat makanan jimat wang yang boleh membangkitkan selera dan mengenyangkan kami sekeluarga.
Murah pun murah, sedap pula bila ditambah dalam masakan. Dulu mak saya suka masak taucu dengan telur.
Lama betul tak rasa lauk kenduri dulu-dulu yang satu itu. Teringinnya! Mak pula dah jarang masak taucu sekarang.
Kembali ke alam nyata. Sampai sahaja di rumah, mak minta anak-anak hantarkan ‘hadiah kiriman’ pada Wak Yah.
Tradisi orang Jawa, andai orang yang dijemput tidak dapat datang dan memberikan sampul ‘kiriman’ maka tuan rumah di majlis kenduri itu akan membekalkan hadiah.
Jumlahnya sama seperti tetamu yang membawakan sampul ‘kiriman’nya itu.
Dalam 2.30 petang, saya ke rumah Wak Jaah pula. Anak perempuannya, Wati adakan majlis Cukur Jambul bayinya yang bongsu.
Sebenarnya dah lama betul saya tak ikut majlis seumpama itu. Hari ini, ambil keputusan ikut mak ke majlis tahlil itu.
Kata Wak Jaah, “Tadi orang lelaki dah bertahlil, jadi orang perempuan berselawat sajalah hari ini.”
Kenduri Rumah Orang Jawa & Berkat Untuk Dibawa Pulang
Maka, kumpulan wanita tadipun membaca berzanji. Di pertengahannya, kami bangun berselawat dan cukur jambul dua orang bayi pun dimulakan di kalangan ahli yang lebih berusia dalam kumpulan marhaban itu.
Selesai acara, tuan rumah menjemput kami menikmati juadah yang disediakan di bawah khemah. Kalau dahulu, orang Jawa akan sediakan nasi ambeng untuk mereka bahagi-bahagikan kepada tetamu.
Nasi ambeng yang dibahagikan ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam ‘takir’ (daun pisang yang dilipat menjadi seakan sampan). Bekalan itulah mereka namakan ‘berkat’.
Berkat sekarang mereka sudah sediakan siap-siap dalam plastik merah. Dalamnya wajib ada nasi, lauk pauk yang disediakan oleh tuan rumah.
Sekurang-kurangnya dua jenis; daging, ayam, sayur-sayuran goreng. Tradisi ‘berkat’ ini kata abah konsepnya begini.
Istimewanya Kenduri Rumah Orang Jawa
Orang dahulu kalau ada majlis kenduri kkahwin zaman dulu di kejiranannya, mereka akan meninggalkan rumah dan bertumpu di rumah yang membuat kenduri.
Katakan majlis berlangsung dua hari. Dua harilah mereka akan ada di rumah itu bermula dari jam 8 pagi sampailah ke petang atau majlis berakhir.
Usaha membantu tuan rumah itu adakalanya membuatkan mereka (orang yang rewang inilah) tidak sempat memasak di rumah.
Sebab itulah tuan rumah memberikan berkat kenduri kahwin supaya dapat dinikmati bersama ahli keluarga mereka yang membantu dan sebagai hadiah tanda terima kasih dari tuan rumah.
Sayangnya, saya ini tak pernah sekalipun menepati sampai seawal jam 8 pagi. Biasanya, jam 10 barulah terhegeh-hegeh muncul di kalangan orang rewang. (Tak sesuai betul saya inikan? Bab yang satu ini jangan tiru saya ya. Parah!)
Kacang Tolo Tumis Suhun
Selesai majlis kenduri di rumah Wak Jaah saya pulang ke rumah. Tapi saya cukup teruja bila buka berkat yang saya terima.
Sebabnya ada lauk yang dah lama saya tak jumpa. Kacang soya kacang tolo (black eye peas) ditumis bersama suhun. Ini pun makanan nostalgia buat saya.
Ia mengingatkan kembali zaman kanak-kanak dan kenangan kenduri kahwin zaman dulu.
Waktu saya lasak bermain rondez dan terjun parit (aktiviti gila-gila ini kena rahsiakan dari emak).
Dan paling seronok sekali ada bungkusan serunding kelapa yang enak. Serunding kelapa ini biasanya dimakan ketika menikmati nasi ambeng. Kalau buat sendiri di rumah, mak suka masak bersama daging.
Dulu mak pernah masak serunding campur daging landak. Enaknya jangan cerita. Manis sungguh rasa dagingnya. Dan saya juga pernah rasa daging rusa masak ungkep.
Info EKSTRA! Apa Itu Berzanji
- Menurut Wikipedia Berzanji atau Barzanji ialah suatu doa-doa, puji-pujian dan penceritaan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan dengan suatu irama atau nada yang biasa dibacakan ketika majlis aqiqah, khatan, perkahwinan dan Maulidur Rasul.
Isi berzanji menceritakan tentang kehidupan Nabi Muhammad, yang disebutkan secara berturutan mengenai salasilah keturunannya, zaman kanak-kanak, remaja, pemuda sehingga diangkat menjadi rasul.
Di dalamnya juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad, serta pelbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 27 April 2014
Read More
- ‘Rajin suamiku di dapur’ Ini pun tips bahagia dengan pasangan
- Rutin kental mak, rupanya melatih anak sifat kepimpinan
- headphone bluetooth murah bawah RM50, mudah anakku ber’google meet’
- Duit gaji berilah mak ayah, InsyaAllah rezeki mencurah
Takir abang yah. Kak mazni dah bagitau td.. Kita update betulkan sat lagi.. Sabaq na..
bekas berkat dipanggil Takar ke Takir
Haha.. bab jatuh parit tu memang kelakar. Ada ikan dalam motor abang sabari. Glamour kejap satu kampung dengan gelaran terjun tiruk. Tapi balik rumah masa tu teruk kena marah mak sebab tinggalkan Taty sorang2 dekat kawasan kemalangan. tragedi sungguh!
Oh terima kasih untuk infonya.. dah rujuk di wikipedia.. betullah tu. Hehe.. nampaknya jawa saya masih belum 'dalam' lagi..
admin masih ingat lg x masuk parit dgn moto dan Taty…? yg tu mmg kelakar kiki
rasanya kacang tu bukan kacang soya tapi black eye bean.. atau black eye pea tapi orang jawa bilang namanya kacang tolo..
Arwah mama org jawa..tapi ammi tak pernah makan kacang tolo tu versi jawa.
Arwah mama masak ikut selera arwah ayah (india)… jadikan dia kari letak tulang ikan masin. sedapnya.
Baru baca Ammi tulis ini pun dah dapat rasa sedapnya..