cita cita

Memupuk Cita-cita Anak Tanpa Sedar, Hasilnya Amazing

Sebenarnya memupuk cita-cita anak tanpa sedar boleh mak ayah lakukan waktu anak-anak masih kecil lagi. Lebih mudah macam itu.

Setiap orang mesti ada impian dan cita-cita. Dari kecil orang dewasa suka bertanya, ‘Bila besar hendak jadi apa?’ Malah saya sendiri suka desak anak-anak dengan soalan-soalan melemaskan itu.

Masih terlalu awal rasanya mahu fikir besar nanti mahu jadi apa? Dan waktu itu yang terlintas cuma kerjaya guru, doktor, askar. Sekarang cuba tanya anak-anak kita.

Jawapannya tentu berbeza.

Setiap Anak Ada Minat Dan Cita-cita Tersendiri

Mirza sendiri dek terlalu sukakan rancangan comot-comot dan kapten Boleh. Dia memasang impian mahu menjadi saintis.

Dari kecil dia gemar merekacipta kertas menjadi kapal dan sebagainya. 

Zarif pula minat sekali dengan berniaga. Malam tadi, emak maklumkan dia berjaya menjual lebihan sepit-sepit rambut.

Sepit itu nenek beli untuk hadiah tetamu cilik yang datang beraya pada Hari Raya lalu.

Cuma, pesan nenek jual harga 40 sen. Zarif yang lurus dan pemurah itu menjual dengan harga 10 sen saja. Duit jualan juga tak kelihatan.

Sebabnya awal-awal lagi dia sudah habiskan di kedai Cik Ipah. Ya, itulah Zarif pandai cari dan habiskan duit. 

Cerita Qaseh lebih istimewa. Cuma saya masih berkira-kira mahu luluskan atau tidak impian si kecil saya itu. Waktu lepak santai dengan Qaseh, abah soal satu-satu cucu perempuannya.

Bila besar mahu jadi apa? Jadi cikgu ke?”

Jadi model.” Jawab Qaseh terus pose manja depan atuk. Atuk sengih lebar. Menampakkan tiga batang gigi yang masih utuh.

cita cita

Tanam Cita-cita Anak Sejak Kecil

Itulah hakikatnya, impian dan cita-cita dicipta sejak kita masih kecil lagi. Saya dulu suka benar berangan-angan mahu baca berita. Konon mahu jadi pengacara.

Akhirnya saya sendiri dipertemukan dengan salah seorang idola, Nurfarahin Jamsari dalam dunia kewartawanan penyiaran selepas berpuluh tahun menanam impian itu.

Waktu tingkatan lima, emak belikan saya mesin taip.

Masa itu saya mahu menyiapkan tugasan kerja folio yang diwajibkan untuk pelajar tingkatan lima. Saya masih ingat bagaimana saya menangis tidak henti-henti.

Dek kerana kertas kerja yang saya usahakan itu terkoyak dan tidak kemas.

Menangis sungguh-sungguh sampai pasrah dan tidak mahu hantar tugasan. Apabila markah dikeluarkan, kerja folio saya itu mendapat markah yang tinggi kerana memenuhi ekspektasi dan tidak lari dari kehendak soalan.

Mesin taip itu kemudiannya terbiar begitu sahaja.

Sesekali bila saya kebosanan, saya akan mula mengarang puisi. Tulis sahaja apa yang terlintas. Ada juga cerpen satu muka ke dua, saya ketuk-ketuk tetapi tidak sanggup mahu diterbitkan. Lagipun waktu itu saya terlalu dangkal dalam bab-bab penerbitan ini. 

Surat khabar di rumah saya pun sebulan sekali belum tentu ada. Waktu itu, duit untuk beli makanan dan keperluan dapur lebih mendesak lagi.

Saya bukannya lahir-lahir di atas dulang emas. Semuanya perlukan kegigihan dan ketabahan dan survival. Sesekali, emak rajin juga membeli majalah.

Saya masih ingat, adik saya ketika itu, cukup rajin membeli majalah Media Hiburan. Nampaklah juga nama-nama Intan Zabidin, Emma Hussin, tak sangka akhirnya saya satu pejabat dengan kak Intan.

Baca : Aziz Sattar tak sunyi disapa orang sekeliling

Khidmat Mesin Taip Lama Mendorong Cita-cita

Oh, mesin taip itu. Ia terus berguna kepada saya. Sampailah saya belajar di UiTM, saya masih menggunakannya untuk membuat tugasan yang diberikan pensyarah.

Cuma bila terlalu terdesak mahu menghantar tugasan, saya pinjam sahaja mesin taip elektrik teman sebilik.

Dulu saya bukannya pelajar yang pandai matematik.

Tapi subjek Bahasa Melayu dan Inggeris saya bolehlah tahan. (Tak boleh angkat bakul lebih-lebih). Sampai saya terfikir, apalah nak jadi dengan masa depan saya. Asyik gagal matematik sahaja.

Bagi membolehkan saya pandai Matematik, cikgu Rosmawati minta saya mengambil dan menghantar bukunya ke biliknya setiap kali kelasnya mahu bermula.

Berkat membantu guru ketika itu barangkali, saya lulus juga subjek Matematik waktu SPM. Tapi cukup-cukup makan.

Saya sendiri tak menyangka akan berada dalam bidang penulisan ini.

Cuma dulu saya suka berangan-angan pergi ke luar negara, bercinta dengan Mat Salleh. Kononlah!

Syukur Alhamdulillah, Allah benarkan juga saya menjejaki beberapa tempat di luar Malaysia. Berjalan ke sana ke mari. 

Memupuk Cita-cita Anak Sekolah Biarlah Dari Rebungnya

Namun, saya percaya setiap kejadian itu telah Allah tetapkan aturannya. Begitu juga dengan apa yang kita impikan.

Usahakanlah dengan sedaya upaya, semoga Allah mendengar rintihan hati kita ini. Seperti juga ketika ini, walau sudah bergelar wartawan, masih ada lagi cita-cita besar yang mahu saya laksanakan. 

Saya tahu jalannya tidak mudah. Berliku-liku, kadangkala gembira lebih banyak pedihnya. Jangan sesekali mengalah. Semoga saya terus konsisten dan kuat.

Oh mahu cerita panjang lagi. Tapi mata dah mengantuk dan saya sudah melalut-lalut. Esok sajalah saya sambung kisah bagaimana desakan emak membawa saya ke bidang ini.

Disclaimer : Catatan ini bertarikh 11 September 2014


 

Leave a Reply

error: Content is protected !!