Cara buat tempoyak I Tempoyak durian ini saya mula makan waktu sekolah rendah. Mak buat sendiri di rumah dari isi durian yang kitaorang tak nak makan.
Pernah juga terfikir macam mana nak buat tempoyak ini.
Bila diingat balik, mak masukkan isi durian tempoyak dalam botol kaca (bekas taucu), tutup dengan kertas ikat getah. Dan mak tebuk beberapa lubang pada kertas itu.
Kata mak, kalau tak buat macam itu nanti isi durian yang sedang terfermentasi tu boleh meletup. Lepas tu mak simpan gobok a.k.a almari makanan.
Orang dulu-dulu ada almari makanan tau. Sekarang ini memang susahlah nak jumpa.
Tapi, bila sampai kat saya cara buat tempoyak tu saya ubah ikut suka hati saya. Hahaha.. yang penting, tetap menjadi dan tekniknya jauh lebih mudah.
Alhamdulillah, tak pernah lagi meletup tutup bekas tu.
Cara Buat Tempoyak Mudah Style Saya
Asingkan Isi Durian Daripada Bijinya
Bahan bahan membuat tempoyak durian cuma perlukan isi durian dan garam. Selalunya durian yang sedap tu kita makanlah.
Durian yang tak berapa menjadi atau tawar boleh jadikan tempoyak.
Sayangkan dari dibuang begitu je.
Isi durian ini saya asingkan lebih mudah kalau guna dua sudu. Kalau nak guna tangan, kena pakai plastik lah ya. Kalau tidak habis melekat nanti dekat tangan.
Buat satu-satu sampai selesai.
Masukkan Dalam Balang Plastik
Saya guna balang plastik yang bertutup merah tu.
Cara membuat tempoyak durian ikut tip kawan saya kongsikan, dia tak masukkan garam. Rasanya lebih asli. Cuma saya tak pernah lagi buat durian tempoyak tanpa meletakkan garam. Mungkin akan datang boleh cuba.
Baca : Cara buat sup krim cendawan simple tersedap
Buat Durian Tempoyak Asli Resepi Kawan FB
Boleh juga cuba cara nak buat tempoyak asli tanpa letak garam. Haa.. ikut panduan kawan saya di bawah ini.
Bagi Tempoyak Tahan Lama, Masuk Dalam Balang, Simpan Peti Ais
Okay, bila dah selesai padatkan isi durian dan masukkan sedikit garam, saya tutup balang. Lepas itu, saya masukkan terus dalam peti sejuk.
Selepas beberapa hari, isi durian saya itu macam ada ruang-ruang udara. Saya buka dan tekan semula. Masa ini sebenarnya dah menjadi dah.
Dan tempoyak durian saya buat ini tidak masak. Boleh makan gitu saja. Sedap dijadikan bahan tambahan dalam masakan.
Mudah saja kan cara buat tempoyak manis asli isi durian yang tahan lama ni. Tempoyak yang baru akan menghasilkan rasa tempoyak manis yang sedap.
Prosesnya macam buat kimchi halal Korea juga. Bahan tertapai atau terfermentasi.
Berapa Lama Tempoyak Boleh Tahan
Tempoyak tahan berapa lama? Sepanjang saya buat sendiri tempoyak di rumah, tempoyak durian yang saya hasilkan boleh bertahan berbulan-bulan.
- Begini cara simpan tempoyak agar tahan lama : saya letak saja dalam peti sejuk bahagian bawah.
- Waktu mengambilnya : Janganlah guna sudu yang ada sisa makanan lain dan masukkan dalam bekas tempoyak homemade kita tu. Tak tahan lamalah dia nanti.
- Kalau ada yang tanya berapa lama boleh simpan tempoyak. Dari pengalaman saya sendiri, saya pernah simpan tempoyak lebih 6 bulan dan masih elok lagi.
Asalkan tidak keluar kulat putih pada tempoyak. Ianya dikira masih selamat untuk dimakan. Jika dah keluar kulat putih, buang sajalah ya.
Saya belum pernah lagi alami tempoyak berkulat. Masa nak ambil tempoyak dari bekas itu, gunalah sudu baru yang bersih dan kering.
Mudahkan cara cara buat tempoyak durian style saya ini.
Saya pernah beli tempoyak durian (sebab tak jumpa durian nak buat tempoyak). Sayangnya rasa dia masam betul. Sepanjang saya buat tempoyak ini, tak pernah lagi jadi masam sebegitu. Walau saya simpan berbulan dalam peti ais.
Baca sini : Cara cepat cairkan santan kotak beku, yang berbulan simpan freezer
Resepi Tempoyak Durian Ikan Kembung
Dulu-dulu, saya manalah tahu adanya lauk tempoyak ikan patin. Bila dah berkahwin dengan en Yem barulah dapat merasa.
Kalau nak balik ke kampung en Yem, di Felda Purun singgah dekat gerai tempoyak ikan patin yang famous, Go Bang Maju di Temerloh.
Memang sedap betullah rasa dia.
Sejak Go Bang Maju berpindah lokasi, belum pernah lagi kami jejak. Cuma kalau teringin nak makan patin tempoyak itu, kami menginap sehari dua di Temerloh.
Singgah pasar pagi pekan sehari temerloh. Cari barang rare, daun maman dan ikan patin untuk dibawa balik dan dimasak patin tempoyak.
Nanti saya masak ikan patin tempoyak ni di rumah. Selagi ada stok, itulah lauk kegemarannya.
Cuma kali ini saya nak kongsi resepi yang emak pernah masak untuk saya waktu saya kecil dulu.
Bahan-bahan Tempoyak Durian Ikan Kembung
- 4 tangkai Cili besar
- 2 ke 3 sudu besar Tempoyak durian
- Sehelai dua Daun kunyit – dihiris
- 5 ekor Ikan kembung
Cara Memasak Tempoyak Durian
- Tumbuk atau chopper cili besar.
- Masukkan cili dah kisar tadi dalam periuk, masukkan juga tempoyak, ikan dan daun kunyit.
- Tambahkan air sedikit.
- Letak garam dan perasa. Rebus sampai semua masak.
- Siap.
Baca juga : cara buat jem mulberi paling senang, siap jus
Cara Makan Tempoyak Durian Jadikan Sambal
Selain masak tempoyak durian dengan ikan, saya juga gemar buat sambal tempoyak. Sambal tempoyak saya ini simple saja.
Walaupun ringkas resepinya, tapi sangat lah membuka selera bila dijadikan pencicah ulam atau pun salad.
Satu lagi cara makan tempoyak yang paling saya suka bila dijadikan pais. Sedap sungguh sebab masakannya tak gunakan minyak dan haruman daun pisang itulah yang buatkannya sedap.
Nak-nak bila digabung bersama ikan patin. Boleh cuba Resepi Ikan Patin Pais Tempoyak yang sedap dari blogger terkenal Bonde Zaidalifah ini ya.
Sambal Tempoyak Ringkas
Begini cara membuat sambal tempoyak paling mudah lagi sedap.
- Tumbuk cili hijau bersama garam (guna garam kasar lagi best) dalam lesung batu.
- Jumlah garam sesuaikan dengan jumlah tempoyak itu nanti ya.
- Ambillah tempoyak, masukkan dalam lesung batu tadi. Gaul sekata.
- Siap! boleh hidang. Walla!
- Haa.. nak rasa kelainan boleh juga cuba tempoyak ikan bilis. Begini cara buat sambal tempoyak ikan bilis.
Resepi Tempoyak Budu Durian
Satu lagi cara makan tempoyak yang mudah buat, adalah resepi tempoyak budu.
Caranya : Sesudu dua tempoyak, cili padi (letak sebiji-sebiji) dan tambahkan budu di atasnya. Siap.
Satu lagi cara nak menikmati makan durian ini, durian sedap makan dengan pulut tanak bersama santan pekat.
Baru-baru ini saya cuba buat sambal tempoyak daun kayu Negeri Sembilan. Kebetulan daun ubi, daun kaduk, daun kunyit malah serai ambil dari kebun dekat rumah mak.
Memang sedap hasilnya.
Cuma untuk buat berniaga belum boleh lepas lagilah. Buat makan sendiri saja.
Cara Simpan Durian Tahan Lama
Petua simpan durian tahan lama ini saya dapat daripada makcik suami di Perak. Isi durian yang sudah dikopek, masukkan dalam bekas makanan.
Guna bekas plastik transparent yang jual di pasaraya tu pun ok. Bekas isi durian itu tadi masukkan dalam peti beku. Durian akan tahan berbulan lamanya jika disimpan dengan cara ini.
Bila nak makan atau nak masak jadikan kuah durian pulut tanak ke bolehlah dikeluarkan dari peti beku.
Abe kie x makan durian. Tp gulai ikan patin masak tempoyak tu makan je…
Feveret atul tempoyak ni, buat sambal tempoyak, gulai tempoyak, tumpoyak tumis petai
hehe tak pernah makan tempoyak
Sedap ni, lepas ni nak try buat lah. Terima kasih atas perkongsian.
Sila-sila.. sama-sama.