cara hilangkan kutu beras

4 Cara Hilangkan Kutu Beras Di Rumah Proven Menjadi

Kutu beras dalam bahasa Inggerisnya dipanggil rice weevil. Geli bila dah bergumpal dengan banyak bubuk beras. Nak tak nak kena juga ikhtiar cara hilangkan kutu beras yang membiak dalam bekas beras di rumah.

Ada bermacam petua menghilangkan kutu beras dalam karung yang dikongsikan netizen dan terbukti menjadi. Berkesan buat serangga kecil itu pergi dari bekas beras.

Ada juga yang sudah saya praktikkan nak bagi hilang kutu beras dalam rumah. Alhamdulillah, berjaya juga menghindarkannya dan sudah berbulan-bulan tidak berhadapan masalah dihantui bubuk beras ini.

Punca Kutu Beras Ada Dalam Beras

Sebagaimana yang dilaporkan oleh mStar, punca kutu beras ada dalam beras walaupun bungkusan beras masih belum dibuka disebabkan beras itu sendiri jadi tempat simpanan telurnya.

Kutu itu akan menebuk beras sehingga menjadi tempat simpanan telur merangkap tempat tinggal. Nanti bila sampai tempoh matang telur itu, ia akan menetas dan keluar dari beras tadi.

Kemudian, serangga itu keluar dan makan pula beras-beras yang lain. Bukan itu saja, kutu tu tadi akan membiakkan pula telurnya dalam beras-beras yang baru. 

Lagi lama beras tak digunakan, makin membiaklah kutu-kutu beras itu. Inilah antara sebab kenapa banyak kutu beras di rumah. Seram kan dengar.

Janganlah panik. Selagi beras belum hancur sepenuhnya dan kutu beras masih 20 peratus berbanding jumlah beras, anda masih boleh merawatnya. 

Lagipun, tak jatuh haram kalau termakan kutu beras ini. Ini dalam konteks seekor dua. Kalau sudah termasak berekor-ekor dia dah jadi kategori ‘tengok pun pengsan’. 

Tapi, takkan nak masak berekor-ekor kutu kan. Kita akan usaha juga cara nak menghilangkan kutu pada beras dari karung simpanan kita tu.

cara hilangkan kutu beras
Kredit foto : Pexels by Cottonbro Studio

4 Cara Hilangkan Kutu Beras Di Rumah Terbukti Menjadi

Penting untuk mengelakkan kutu daripada beras anda. Tujuannya untuk menjaga kualiti beras dan menghalang serangga tak diingini ini memakan beras anda yang berharga itu.  Berikut dikongsikan kaedah berkesan yang boleh anda cuba.

Gunakan 7 Petua Hilangkan Kutu Beras Pencegahan Semulajadi

  1. Daun Salam (Bay Leaf) : Bau daun salam yang kuat buatkannya kutu beras lari. Dalam masa yang sama beri aroma segar dekat beras. Antara petua klasik yang ramai orang pakai dan menjadi. Letakkan beberapa helai daun salam kering dalam bekas beras atau lapiskan beberapa helai dalam timbunan beras. 
  2. Bunga Cengkih : Aroma cengkih yang tajam menjadi penghalau kutu yang berkesan. Boleh langsung letak atas beras atau masukkan beberapa biji cengkih dalam kantung dan letakkan dalam bekas simpanan beras.
  3. Bawang Putih : Pada bawang putih ini ada bau sulfur bawang putih yang dapat menghalang serangga. Letakkan beberapa ulas bawan putih yang belum dikupas dalam bekas beras anda. Anda perlu menggantikannya setiap beberapa minggu untuk mengekalkan keberkesanannya.
  4. Cili Kering : Ini pun antara petua menghalau bubuk beras yang famous dan berkesan. Cuma pastikan waktu nak letak cili kering tu, cili kering masih baru dan tidak berbubuk. Jika tak berhati-hati boleh terjadi anda meletakkan cili kering yang berkulat pula dalam bekas. Caranya, letakkan dalam dua tiga tangkai cili kering atas permukaan beras.
  5. Asam Keping : Atau asam gelugur ini pun berkesan menghalau bubuk beras. Baunya yang masam buatkan kutu beras tak suka dan lari menjauh dari beras.
  6. Daun Limau Purut : Petua ini pun boleh dipraktikkan sebab aroma sitrus itu buatkan kutu lari. Boleh letakkan di atas, tengah atau dekat bahagian bawah simpanan beras.
  7. Daun Semambu (Daun Neem) : Setiap helaian daun neem ini mempunyai bau yang kuat dan pahit yang tak disukai bubuk beras. Letakkan beberapa helai daun neem dalam bekas beras atau taburkan serbuk neem di sekeliling rak pantri anda. 

Tip 

Ini antara petua hilangkan kutu beras yang praktikal. Jika kutu beras dah ada dekat beras, bolehlah letak bahan-bahan semulajadi dalam bekas simpanan itu dan buka penutup beras. Biarkan untuk beberapa ketika. Nanti, kutu itu akan berlari memanjat dinding bekas. Bolehlah anda bersihkan.

repellent halau kutu beras
Kredit foto : shopee

Guna Rice Protector / Rice Pest Repellent

Rice protector ini anda boleh beli di kedai Daiso atau beli secara online. Ini pun antara alternatif untuk mengawal kutu dalam beras. Dalam setiap protector ada kandungannya yang tersendiri.

Ada protector yang mengandungi wasabi, ada juga herba cili habanero.

Setiap jenis rice protector ini mempunyai jangka hayat. Biasanya disertakan infonya. Cara penggunaannya juga perlu anda rujuk pada pembungkusan. 

Boleh rujuk pada gambar contoh yang saya sertakan di atas.

cara hilangkan kutu beras
Kredit foto : Pexels

Amalkan Cara Simpan Beras Dengan Betul

  • Simpan dalam bekas kedap udara : Untuk mengelakkan serangan di masa hadapan, pindahkan beras daripada plastiknya dan simpan beras dalam bekas kedap udara di tempat yang sejuk dan kering. Pastikan bekas kedap udara itu pun dah dibasuh bersih dengan sabun dan dikeringkan sepenuhnya. Barulah anda masukkan beras baru dalam bekas yang kering itu. Sisa-sisa beras itu pun berkemungkinan boleh mengundang kehadiran bubuk.
  • Jauhkan dari lembapan :  Elakkan menyimpan beras anda berdekatan dengan tempat yang ada sumber lembapan. Misalnya singki. 
  • Rak penyimpan yang bersih : Pastikan juga rak dan kabinet pantri anda itu dibersihkan daripada kotoran. Rajin-rajinlah memeriksa bekas simpanan beras anda. Kalau ada bubuk segeralah ambil langkah pencegahan yang dikongsikan di atas.
  • Elakkan mencampur beras lama dengan baru : Sebolehnya habiskan dahulu beras lama, barulah anda memasukkan beras baru dalam bekas simpanan. Ini dapat memelihara kesegaran beras anda.
  • Simpan beras dalam peti sejuk : Ini pun tip yang dipraktikkan sesetengah orang. Dengan meletakkan beras dalam bekas muat 1KG dan simpan dalam peti beku.

Ada saya terbaca, beras putih yang disimpan dengan betul dalam bekas kedap udara dikatakan boleh bertahan sehingga 30 tahun.

cara hilangkan kutu beras
Kredit foto : Pexels by Ron Lach

Langkah Pencegahan Awal Semasa Membeli Beras

  • Periksa sebelum membeli : Sewaktu membeli beras, periksalah dahulu pembungkusannya. Kalau ada lubang, elakkan membeli. Pastikan adakah ada tanda-tanda beras lama atau ada kutu di dalamnya. Sebaiknya elakkan memakan beras luput iaitu lebih tiga bulan dari tarikh dikilangkan. Ini bagi memastikan kualiti makanan ruji terjaga.
  • Sebolehnya kerap tukar stok : Jangan simpan beras terlalu lama di dapur rumah. Gunakan sistem FIFO (First-In-First-Out) untuk memastikan anda sentiasa menggunakan beras lama terlebih dahulu. Rajin-rajinlah memasak ya.
  • Bekukan beras yang baru dibeli : Jika anda bimbang dengan kemungkinan wujudnya kutu dalam beras. Apa kata anda bekukan dahulu beras yang baru dibeli untuk beberapa hari. Kemudian, barulah keluarkan dan simpan dalam bekas beras. Cara ini membolehkan telur atau larva kutu yang berkemungkinan ada dalam beras dimatikan. 

Cara Menghilangkan Kutu Beras Yang Terlalu Banyak

Memanglah tak dinafikan kalau dah terlalu banyak, memang ke tong sampahlah jawabnya beras-beras tu. Tapi masih ada cara membasmi kutu beras di rumah yang kita boleh ikhtiar sebenarnya. 

  1. Rendam beras dalam air. Beras yang rosak akan terapung sekali kutu. Buang yang rosak itu. 
  2. Beras yang elok basuh bersih, toskan.
  3. Boleh juga keringkan di bawah matahari dalam 30 minit. Kalau masih ada kutu beras tertinggal, ia akan keluar. Sebab serangga ini sensitif dengan haba panas. Kemudian simpan beras dalam freezer. 
  4. Beras tadi masih boleh digunakan untuk membuat bubur. Boleh juga dikisar halus menjadi tepung beras, atau dikisar kasar untuk dibuat scrub badan. Kalau mahir, juga jadikan bedak sejuk.

Baca juga : 3 resepi nasi lemak sedap dan mudah ‘ sarapan popular orang Malaysia’

Tanda Beras Rosak Akibat Serangan Bubuk Beras

Kenapa perlu menghalau kutu dalam beras. Nama saintifik kutu beras ini Sitophilus oryzae. Sejenis makhluk perosak yang bukan saja suka serang beras, malah gandum dan jagung. 

Sebagaimana yang saya kongsikan di atas kutu beras hidup bertelur dalam beras. 

Sebab itulah beras yang dimakan bubuk ini mudah menjadi hancur. Apabila dimasak, nasinya cepat basi, lembik malah berlendir. Nasinya juga akan mengeluarkan bau yang masam dan busuk. 

Senang cerita, tak sedaplah nasi tu. Beza dengan nasi baru apabila ditanak.

cara hilangkan kutu beras

Amalkan Doa Masuk Dapur

Setiap kali masuk dapur bacalah selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sambil basuh beras berselawat, sambil simpan beras pun berselawat. Dapatlah juga pahala kan.

Bacalah doa masuk dapur daripada surah al-Kahfi ayat 10.

Surah al-Kahfi ayat 10 rumi : ‘Rabbanaa aatinaa min ladunka rahmatan wahayyi’ lanaa min amrinaa rasyadaa

Yang bermaksud : “Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.”

Read more

Tags:,

Leave a Reply

error: Content is protected !!