resepi daging goreng kunyit

3 Resepi Daging Goreng Kunyit Simple

Resepi daging goreng kunyit ini sedap dimakan dengan nasi panas. Nak-nak daging goreng kunyit lembut berjus dan tak liat sebaik dimasak.

Ada bermacam jenis resepi daging goreng kunyit simple yang mudah masak. Antara yang pernah saya cuba resepi daging ketumbar dato rizalman, guna serbuk ketumbar saja.

Kali ini saya kongsikan tiga resepi daging goreng yang senang untuk anda cuba.

3 Resepi Daging Goreng Kunyit Simple Sedap Lagi Lembut

Antara daging masak kunyit yang pernah saya buat adalah daging goreng kunyit Rizalman, daging goreng kunyit Kelantan (ini saya cuba waktu masih di Mingguan Wanita lagi) dan daging goreng berlada gunakan daging salai saja.

Kesemua resepi ini sedap dan jadi kegemaran anak-anak. Kiranya dagingnya empuk, tidak pedas dan budak-budak pun boleh makan. Macam makan daging goreng kat kedai pun iya.

daging goreng kunyit rizalman

Daging Goreng Kunyit Rizalman

Durasi memasak : 45 minit

Bahan-bahan

  • 1 mangkuk daging – hiris nipis lawan urat, cuci dan tos air daging.
  • Serbuk kunyit – secukupnya
  • Garam – secukupnya
  • Kicap manis Cap Kipas Udang – 1 ke 2 sudu
  • Sos Worcestershire Lea & Perrins – 1 sudu kecil (secukupnya)
  • 2 biji bawang Holland – potong dadu saiz besar (rujuk gambar)
  • 1 genggam biji ketumbar
  • Minyak

Cara Masak Daging Goreng Kunyit

  1. Lumurkan daging dengan garam dan serbuk kunyit. Masukkan biji ketumbar dan 1 biji bawang Holland yang dah dipotong. Gaul sebati.
  2. Masukkan minyak yang banyak dalam kuali. Bila dah betul-betul panas, masukkan daging dah siap perap tadi.
  3. Goreng daging dalam kuali. (sekiranya anda menggunakan daging jenis batang pinang tak perlulah menggorengnya lama. Macam daging saya ini jenis daging yang memang liat dan keras. Jadi proses memasaknya panjang sikit. Saya perlu masukkan air dalam minyak gorengan tadi, dan biar air melembutkan daging. Boleh ulang proses yang sama jika daging masih liat. Biarkan goreng daging dalam minyak hingga betul-betul airnya kering).
  4. Masukkan sedikit kicap manis dan sos Worcestershire. Gaul sekata.
  5. Masukkan pula 1 biji bawang holland yang berbaki tadi.
  6. Gaul sekata bagi bawang layu dan air daging betul-betul tiada boleh matikan api.

Tip

  1. Gunakan daging jenis steak untuk dapatkan hasil gorengan daging lembu yang lembut dan berjuicy.
  2. Paling penting, tak perlu masak lama sebab daging sudah sedia empuk.
daging goreng kunyit kelantan

Resepi Daging Goreng Kunyit Kelantan

Durasi memasak : 45 minit

Bahan-bahan

  • 1 mangkuk daging
  • Serbuk kunyit – secukupnya
  • 1 biji bawang holland – potong wedges
  • Cili merah besar – hiris
  • 3 batang kacang buncis/kacang panjang – potong kecil
  • Kicap manis
  • Sos tiram
  • Minyak

Cara Masak Daging Goreng Kunyit Kelantan

  1. Rebus daging dalam kuali. Apabila air menggelegak, boleh masukkan serbuk kunyit. Biarkan daging empuk.
  2. Sebaik air rebusan hampir kering, boleh masukkan bawang holland, cili dan kacang. Kacau sekata.
  3. Masukkan pula kicap manis dan sos tiram secukupnya. Gaul sekata.
  4. Akhir sekali masukkan minyak dan bagi daging digoreng seketika.
  5. Siap.

Tip

  1. Jika anda mahu daging goreng kunyit basah boleh masukkan bahan sampingan dan kicap ketika air daging masih sedikit bersisa di kuali. Dan masukkan minyak.
  2. Cara begini akan menghasilkan daging kunyit yang berjus sedikit berkuah.
daging goreng berlada

Resepi Daging Goreng Berlada

Durasi memasak : 30 minit

Bahan-bahan

  • 1 pek daging salai Uncle Dib’s
  • 3 biji bawang merah kecil – tumbuk
  • 2 ulas bawang putih – tumbuk
  • 2 biji cili merah besar – tumbuk
  • 5 biji cili padi – tumbuk
  • 1 asam keping – tumbuk
  • Daun limau purut
  • Garam, perasa

cara masak daging Goreng Berlada

  1. Tumbuk asam keping, bawang merah, bawang putih, cili merah dan cili padi hingga hancur. Tak perlu terlalu lumat ya.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan tumbuk tadi.
  3. Masukkan daun limau purut. Buang tangkai tengah daun limau purut untuk hilangkan rasa pahit.
  4. Bila dah naik bau, masukkan daging dan gaul sekata.
  5. Boleh perasakan dengan garam dan perasa (optional)
  6. Siap.

Tip

  1. Daging salai Uncle Dib’s ini lembut dagingnya. Jadi, tak perlu nak masak lama. Dalam 5 minit gorengan daging dah masak. Malah, bau salai daging itu yang membuatkan daging goreng berlada ini jadi harum dan sedap untuk dinikmati.
  2. Tumis bahan masakan sehingga garing dan tak perlu menambahkan air untuk mendapatkan rasa smoky daging salai.

Kesemua resepi daging goreng kunyit simple di atas mudah saja nak buat sebenarnya. Kerana, bahan-bahan masakannya tak rumit untuk diperoleh dan disediakan.

Anda juga boleh mencuba resepi daging bakar jadi lembut guna rempah paling simple yang pernah saya kongsikan ini.

Cara Melembutkan Daging

Satu masalah yang anda hadapi semasa menggoreng daging tentulah untuk mendapatkan daging goreng yang lembut lagi berjus.

Ada beberapa perkara yang perlu anda faham bagaimana cara untuk mendapatkan daging kunyit yang lembut. Saya kongsikan beberapa cara melembutkan daging goreng.

  • Daging itu sendiri hendaklah dari bahagian daging lembut yang lembut. Misalnya daging batang pinang atau daging harimau menangis.
  • Cara potongan daging hendaklah berlawanan dengan urat. Hirisan begini akan membuatkan daging lebih lembut dan mempercepatkan kerja-kerja menggoreng mahupun memasak.
  • Jangan potong daging terlalu tebal (untuk jenis daging jenis liat).
  • Boleh juga guna petua masukkan sudu besi dalam kuali atau periuk semasa merebus daging untuk melembutkannya. Letak sudu besi ini pun antara petua empukkan daging dengan cepat.
  • Jangan goreng daging terlalu lama kerana ia akan menghasilkan tekstur daging yang kering dan terlebih liat.
  • Goreng daging di dalam minyak masak. Goreng sehingga air daging menjadi kering. Guna dalam dua sudu minyak masak. Dan kacau sekali sekala. Bila air dah kering baru kacau dengan kerap. Ini pun antara petua melembutkan daging guna minyak masak.

Daging yang lembut juga sangat sedap jika dicampurkan dalam masakan berasaskan mee atau nasi. Misalnya mee goreng basah, bihun mahupun nasi goreng daging.

Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis

Tags:

10 Comments

  1. Myzan March 1, 2023
    • nettyahhiyer March 3, 2023
  2. Fuzy Rahamah Hamid March 2, 2023
  3. ombakbergigi March 4, 2023
  4. Azlan Jamaludin March 5, 2023
  5. MShahrulnizam March 5, 2023
  6. MShahrulnizam March 5, 2023
  7. Nita March 6, 2023
  8. azni March 8, 2023

Leave a Reply

error: Content is protected !!