wang tidak patuh syariah

Kempen Kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah, MAIS Sasar RM2.5 Juta

Tahun ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan kempen kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah di Selangor bermula 15 November hingga 13 Disember 2023.

Menurut Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz Mohd Yusof, menerusi kempen kesedaran ini pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan wang tidak patuh syariah daripada orang ramai. 

Kempen yang dinamakan Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai menguruskan harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Maksud Wang Tidak Patuh Syariah

Bagi anda yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan wang tidak patuh syariah ini. Dengan bahasa mudahnya, duit haram atau harta yang diperoleh daripada sumber yang haram. 

Contoh wang tidak patuh syariah adalah transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah, saham tidak patuh syariah, perniagaan tidak patuh syariah, duit judi, malah perlindungan insurans konvensional.

Duit haram ini kalau digunakan akan mengundang dosa dan menjadikan rezeki yang anda peroleh tidak mendapat keberkatan daripada Allah. 

Pandangan Imam al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ikhtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

wang tidak patuh syariah
Instumen pelaburan patuh syariah sebagaimana yang dibentangkan oleh panel penceramah Dr Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman, Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution Sdn Bhd

Kutipan Wang Tidak Patuh Syariah Selangor

Bagi tahun 2022, MAIS telah menerima kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM1.8 juta daripada kira-kira 2,000 orang. 

Berbanding tahun 2021, hanya sebanyak RM1.5 juta. Manakala, tahun 2023 menerusi kempen kesedaran yang dianjurkan MAIS menyasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan wang tak patuh syariah daripada orang ramai. 

Namun, sebagaimana yang dikongsikan oleh Pengerusi MAIS jumlah sasaran ini hakikatnya masih tersangat kecil nilainya.

Pada hari yang sama, turut diadakan Seminar Harta Halal Harta Berkat di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dua orang panel jemputan memberikan ceramah masing-masing. Iaitu Dr Zaharuddin bin Abdul Rahman dan Dr Abdul Rahman bin Abd Shukor.

Bila mana berpeluang mendengar pencerahan tentang Wang Tak Patuh Syariah ini, semakin jelaslah mengenainya. Malah, diri sendiri jadi lebih berhati-hati dengan setiap rezeki yang diperoleh.

Kita juga jadi lebih faham akan cara bayar wang tidak patuh syariah ini perlu disalurkan ke mana.

Baca juga : Belajar cara urus harta pusaka menerusi Bulan Faraid Negeri Selangor

wang tidak patuh syariah

Bagaimana Cara Mensucikan Wang Tidak Patuh Syariah Dalam Islam

Sehubungan dengan penjelasan di atas, MAIS mengajak orang ramai untuk membersihkan harta yang diperoleh dengan cara yang dituntun oleh Islam.

Agar kehidupan yang anda lalui dipenuhi dengan keberkatan. Seharusnya, masyarakat sedar betapa pentingnya untuk memastikan setiap aktiviti dan perniagaan yang diceburi bertepatan dengan hukum syarak.

Baca juga : MAIS edar 3,10 jalur gemilang, semarak semangat patriotik

wang tidak patuh syariah

Bayar Wang Tidak Patuh Syariah Online

Anda yang berada di Selangor, boleh membuat bayaran wang tidak patuh syariah online di MAIS. Ini kerana MAIS adalah sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam.

MAIS memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.

wang tidak patuh syariah

Bayar Wang Tak Patuh Syariah Di Kaunter Baitulmal

Anda juga sebenarnya boleh melupuskan harta wang tidak patuh syariah sebagaimana contoh duit haram yang dikongsikan di atas baik secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal, ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah Selangor.

Hasil terimaan daripada wang tak patuh syariah ini kemudiannya akan digunakan untuk maslahah umum seperti bantuan pendidikan, perubatan dan pembinaan infrastruktur. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook Majlis Agama Islam Selangor.

Atau layari laman web MAIS iaitu www.mais.gov.my

Tags:

Leave a Reply

error: Content is protected !!