Menerusi Bulan Faraid Negeri Selangor anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), orang ramai berpeluang mempelajari ilmu faraid dan cara urus harta pusaka yang dimiliki.
Bulan kefahaman ilmu faraid ini bermula dari 18 Ogos 2023 sehingga 15 September 2023 (1 Safar hingga 30 Safar 1445H). Bagi memupuk kesedaran di kalangan umat Islam yang cintakan ilmu faraid malah mengurus harta pusaka.
Amat penting untuk memahami faraid harta pusaka ini. Dapatlah nanti pembahagian faraid kepada waris yang berhak diserahkan dengan seadilnya. Sekaligus mengukuhkah silaturahim, mengelakkan berlakunya pertelingkahan di kalangan waris.
Urus Harta Pusaka Melalui Faraid
Sejak tahun 2006 lagi sampailah hari ini, MAIS sudah mengambil inisiatif memberi kefahaman dan mendidik masyarakat menjadi celik ilmu faraid seterusnya merancang cara urus harta pusaka dengan betul.
Menerusi MAIS sendiri, badan ini sudah mengendalikan :
- 2500 dokumen hibah
- 1500 harta pusaka hak Baitulmal sejak tahun 1970 hingga kini.
Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Puan Hajah Norzaihan Mohd Zain masih terdapat sejumlah RM70 bilion harta pusaka yang masih beku di negara ini yang berpunca akibat :
- perbalahan dalam kalangan ahli keluarga dan jumlah waris yang ramai. Sukarkan lagi proses tuntutan.
- Ketidakfahaman umat Islam tentang kaedah dan prosedur mengurus harta pusaka yang betul.
Peranan MAIS Dalam Faraid Urus Harta Pusaka
Atas dasar itulah, penting untuk faham bagaimana cara urus harta pusaka berlandaskan syariah.
Justeru, MAIS menyediakan platform perkhidmatan perancangan dan pewarisan harta seperti wasiat, hibah dan harta pusaka.
Menerusi kalkulator faraid yang disediakan MAIS di laman e-faraid (K-FARAID MAIS) memudahkan waris dengan memberi panduan membuat kira-kira pembahagian harta pusaka ikut landasan syarak malah bersistematik.
Cara urus harta pusaka secara dalam talian e-faraid MAIS ini membolehkan pelayarnya membuat panduan kiraan berdasarkan Senarai Waris, Carta Warisan, Harta Pusaka, Pengiraan dan Pokok Waris.
MAIS itu sendiri dibangunkan sebagai sebuah agensi Islam Negeri Selangor yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam.
Malah, negeri Selangor menjadi peneraju dalam memperkenalkan undang-undang berkaitan harta orang Islam. Misalnya, Enakmen Wakaf Negeri Selangor 1999 yang telah dipinda pada tahun 2015 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999.
Seterusnya diikuti oleh negeri-negeri lain.
Apa Itu Bulan Faraid Negeri Selangor
Sepanjang bulan Safar 1445H, Negeri Selangor mengadakan Bulan Faraid Negeri Selangor (BFNS). Kempen ini sudahpun diadakan sejak tahun 2021 lagi. Setiap tahun membawakan tema berteraskan faraid harta.
- 2021 – Tema Bulan Faraid Negeri Selangor adalah Faraid Dipelihara Waris Bahagia
- 2022 – kempen Bulan Kesedaran Wasiat & Pusaka Negeri Selangor 2022
- 2023 – Bulan Faraid Negeri Selangor memberi kesedaran cintakan ilmu faraid dan pengurusan harta pusaka
Tahun ini, menerusi kempen BFNS pelbagai program diadakan antaranya : hebahan informasi tentang Faraid dan Harta Pusaka, Kursus Faraid, Seminar Harta Pusaka, Forum Perdana Harta Pusaka, Hari Bersama Baitulmal, Tik Tok Live Pusaka, Kuliah Maghrib Khas Pusaka, Slot Celik Ilmu Pewarisan Radio IKIM, Slot Rancang Harta Urus Pusaka Radio Klasik, Siaran secara langsung Selamat Pagi Malaysia RTM dan Assalamualaikum TV Al-Hijrah.
Baca juga : Tarikh cuti sekolah
Seminar Harta Pusaka Penyambung Silaturahim
Bagi meraikan kedatangan BFNS ini, saya berpeluang hadir ke majlis pelancaran Bulan Faraid Negeri Selangor ini. Turut diadakan Seminar Harta Pusaka yang membawakan tajuk ‘Harta Pusaka Penyambung Silaturahim’.
Sejumlah 500 orang peserta menyertai seminar harta pusaka yang dianjurkan kali ini. Bak kata Pengarah Baitulmal MAIS, Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid. Jumlah kehadiran peserta yang semakin bertambah menunjukkan masyarakat semakin cakna dengan pengurusan harta pusaka menerusi faraid ini.
Dua panel dijemput bagi membentangkan ceramah masing-masing. Sesi pembentangan pertama dimulakan oleh pendakwah selebriti, Ustaz Syed Abdul Qadir Bin Syed Hussin Al-Joofre dengan tajuknya Silaturahim Asas Penyelesaian Pusaka.
Al-Quran Dan Penjelasan Urus Harta Pusaka
Bagaimana harta pusaka ini boleh dikaitkan dengan penyambung silaturahim? Di dalam Al-Quran diceritakan sejelasnya tentang harta pusaka. Dalam surah An-Nisa adalah asas kepada silaturahim dan harta pusaka. Perlunya manusia bertakwa kepadaNya dan menjaga silaturahim.
Jangan menyembunyikan waris yang hak disebabkan pertelingkahan harta pusaka. Sebaliknya pentadbir, uruskan harta pusaka dengan segera. Manakala, dalam surah Al-Baqarah menjelaskan bagaimana harta pusaka ini boleh menjadi penyambung silaturahim.
Dalam proses mencari waris faraid, boleh berlaku pertemuan dengan waris si mati yang sebelum ini tidak pernah wujud. Daripada tak kenal jadi kenal. Di situlah terjadinya silaturahim. Begitulah, hak faraid tetap perlu diberikan sebagaimana yang diperintahkan dalam Al-Quran.
“Semasa pembahagian harta pusaka perlunya ada perbincangan. Perbincangan secara baik itulah yang nantinya membentuk hubungan silaturahim yang baik. InsyaAllah.”
Manakala panel kedua, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah, FPI UKM Dr. Mohd Zamro Bin Muda membawakan tajuk Mati Itu Pasti Apa Tindakan Waris.
Pembahagian faraid kepada yang berhak adalah wajib bagi yang muslim. Maka itulah pentingnya ambil tahu dan memahami ilmu faraid bagi membolehkan perancangan harta semasa hidup dilakukan secara betul dan tepat.
Sesuatu yang perlu direnungkan, “tiada orang yang sayangkan seseorang itu kemudian tinggalkan orang yang disayang dalam keadaan susah dan menderita.”
Anda yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti sepanjang Bulan Faraid Negeri Selangor ini boleh mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook, Instagram dan Tik Tok Majlis Agama Islam Selangor.
Bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat dan melaksanakan pengurusan harta di MAIS, boleh layari laman web MAIS www.mais.gov.my.