Sempena Merdeka 2023 kali ke-66 ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyempurnakan program edaran sebanyak 3,010 bendera Malaysia Jalur Gemilang.
Sehubungan itu, Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof menyarankan rakyat Malaysia terus menyemarakkan semangat patriotik, menghayati kemerdekaan dan kibarkan Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan.
Pada hari yang sama, MAIS juga mengadakan program Ziarah Merdeka ke tiga lokasi terpilih di sekitar Selangor. Disamping penyerahan bendera Malaysia bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2023 nanti.
Program Edar 3,010 Bendera Jalur Gemilang
Program edaran bendera Malaysia ini berlangsung di ruang lobi bangunan MAIS. Pengerusi MAIS menyempurnakan serahan sejumlah 3,010 bendera Jalur Gemilang kepada Jabatan-jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikat MAIS.
Turut hadir ke majlis serahan bendera Malaysia ini adalah Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS, YAD Dato’ Dr Haji Anhar Haji Opir, Mufti Selangor, Tuan Zainor Rashid Hassin, Ketua Pendakwa Syarie, JPSS, Encik Hasnul Redza Abdul Rahim, Pengurus Besar, TERAS dan Encik Mohd Nuri Abdul Aziz, Pengurus Besar BSHSB.
Daripada 3,010 bendera itu, sebanyak 3,000 bendera pelekat kenderaan dan 10 bendera Jalur Gemilang diedarkan kepada :
Warga kerja JHEIS yang terdiri daripada :
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
- Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS)
- Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
- Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS)
Warga kerja MAIS yang terdiri daripada :
- Lembaga Zakat Selangor (LZS)
- Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
- Kolej Universiti Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
- Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)
- Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS)
- Bakti Suci Holdings Sdn Bhd
Majlis edaran bendera oleh MAIS ini diadakan setiap tahun. Tujuannya untuk menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat terutama warga kerja MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat MAIS dalam memahami erti kemerdekaan negara.
Program Ziarah Merdeka MAIS
Dalam program edaran bendera Malaysia turut diadakan program Ziarah Merdeka ke tiga buah pusat iaitu Pusat Dialisis MAIS, Seksyen 3, Shah Alam, Rumah Puteri Arafiah, Seksyen 7 Shah Alam dan Rumah Perlindungan Muallaf Baitul Salam, Jalan Kebun.
Dalam program lawatan ketiga pusat itu juga, wakil di rumah berkenaan menerima edaran 100 bendera Malaysia bagi tujuan menyemarakkan semangat patriotik di bulan Kemerdekaan ini.
Baca juga : Belajar cara urus harta pusaka menerusi Bulan Faraid Negeri Selangor 2023
Pesanan Pengerusi MAIS Zahirkan Semangat Patriotik
Setiap rakyat perlu tahu cara menunjukkan semangat patriotik dalam diri masing-masing.
Sebagaimana dalam teks ucapannya, Pengerusi MAIS menyampaikan amanat agar semua rakyat menghayati erti Kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.
“Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 66 tahun. Kegemilangan dan semangat ini hendaklah disemarakkan agar semangat cintakan negara dan mengingati kejayaan pejuang kemerdekaan sentiasa disemarakkan. Semangat cintakan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa terpahat di dada kita semua.
“Hayati semangat kemerdekaan dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program kemerdekaan dan bersama mengibarkan Jalur Gemilang. Pastikan semangat kemerdekaan tidak luntur dan sentiasa digilap.”
Antara tip lain yang boleh disarankan untuk membangkitkan semangat merdeka di kalangan jiwa muda adalah :
- Kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan ataupun meja kerja anda.
- Bawa anak-anak menyaksikan perarakan Merdeka 2023 di lokasi berdekatan anda. Tahun ini sambutan Hari Kebangsaan ke-66 turut diadakan di Putrajaya, Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Baca juga : Sedekah Subuh
Info Pusat Perlindungan Mualaf Baitus Salam
Baitus Salam ditubuhkan pertengahan tahun 1980-an sebagai rumah perlindungan mualaf di Seksyen 19 Shah Alam. Dan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kemudian, diserahkan kepada MAIS pada tahun 2005.
Bermula 1 April 2017 pusat pelindungan ini dipindahkan di bawah pengurusan Lembaga Zakat Selangor seiring perpindahan fungsi pengurusan mualaf dari MAIS ke LZS.
Ianya tempat perlindungan sementara bagi asnaf mualaf memperoleh tempat tinggal, keselamatan, kebajikan dan bimbingan asas fardu ain bagi tempoh 6 bulan.
Syarat Pengambilan Baitus Salam
- Warganegara Malaysia/penduduk tetap
- Di bawah had panggilan mualaf
- Bebas kes undang-undang (jenayah/mahkamah)
- Boleh megikuti sesi bimbingan sepenuh masa dalam 6 bulan.
- boleh urus diri (bujang/berkeluarga)
- Sihat tubuh badan dan fizikal. Tiada penyakit kronik/berjangkit, AIDS dan tiada tekanan mental yang serius.
Baca juga : Kempen kesedaran wang tidak patuh syariah, MAIS sasar RM2.5 juta