Laksa tanpa belacan ini tetap sedap, anak-anak makan berkali-kali. Selalunya saya buat resepi kuah laksa simple, saya letak je belacan.
Kali ini terpaksa mengalah buat kuah laksa tanpa belacan. Sebab en Yem kan gout. Antara kepantangan orang gout ini tak boleh makan belacan. Kalau buh juga, alamatnya tak bangunlan nanti suami ku itu.
Resepi laksa ini saya belajar dari kawan saya Shila, orang Penang. Dan resepi arwah makcik, Wak Limah. Gabungan resepi dia buat laksa ini ada rasa lemak manis semulajadi yang saya suka.
Resepi Laksa Tanpa Belacan
Durasi penyediaan dan memasak : 1 jam
Bahan Masak Laksa
- 1/2 kilo ikan sardin
- 4 ke 5 keping asam keping
Cara Membuat Kuah Laksa
- Rebus sampai ikan sardin dengan asam keping dalam periuk besar. Biarkan ikan tu empuk. (Kenapa guna periuk besar, sebab nanti akan dimasukkan banyak bahan lain-lainnya)
- Kemudian, keluarkan ikan dan perisi ikan.
- Isinya saya kisar. Kalau nak bagi ada tekstur kasar-kasar, boleh lenyek-lenyek je isi ikan tu dengan sudu sampai hancur. Dan masukkan semula dalam periuk berisi asam keping tadi.
- Tulang ikan itu, blend dan tapis airnya. Ulang langkah ini, sampai tulang ikan tu bersih berkaca. Sisa duri tulang ikan tu bolehlah dibuang.
- Sementara itu, siapkan bahan lain untuk dimasukkan dalam kuah laksa ikan.
Bahan Kuah Laksa
- 3 biji bawang besar – potong kecil dan kisar halus
- 1 mangkuk cili kisar – ikutlah nak pedas mana.
- Segenggam daun kesum
- 3 kuntum bunga kantan – belah dua setiapnya
- 1 sudu kecil ajinamoto – bukan main sukatan saya ni kan.. hahaha. Boleh je nak kurangkan.
- Garam
- Daun asam paya* – optional. Saya letak sebab pokok asam paya mak tanam ini membesar dengan jayanya. Sayang tak digunakan.
- Belacan* – kali ini saya tak letak, sebab nak bagi en Yem yang gout boleh makan laksa sama.
Cara Buat Kuah Laksa Tanpa Belacan
- Masukkan kesemua bahan lain tu dalam periuk rebusan ikan.
- Rebus sampai semua bahan itu mendidih.
- Lagi lama merebus laksa, lagi sedap kuah laksa itu jadinya.
- Sebab itu, kalau kita masak laksa, esok hari kita perangatkan. Kuah laksa akan jadi lebih pekat dan lebih sedap. Kick! kata orang.
- Walaupun cara buat kuah laksa ini tak letak belacan, hasilnya tetap berasa lemak masam.
Tips bagi kuah laksa sedap : Kalau nak kuah laksa tanpa belacan yang ada rasa lemak manis, boleh tambah bawang besar lagi. Arwah makcik saya kalau buat laksa, memang guna bawang besar yang merah itu banyak. Nanti ada rasa lemak manis yang menyedapkan kuah laksa.
Cara Hidangan Laksa
Menikmati laksa tanpa belacan yang simple ini pun ada caranya. Mi laksa yang sudah siap direbus tadi, masukkan ke dalam mangkuk. Dalam anggaran satu senduk kecil.
Tuangkan kuah laksa di atasnya.
Untuk lebih sedap boleh campurkan dengan bahan sampingan lain. Antaranya hirisan bawang merah besar, potongan cili padi, sedikit petis, hirisan timun, hirisan nenas dan hirisan salad.
Baca juga : resepi sambal dan resepi sambal lada kelantan tanpa belacan
Cara Merebus Mi Laksa
Mi laksa ini ada banyak jenis. Ada yang jenis laksa kering, ada yang jenis laksa basah atau dipanggil juga laksa jernih. Saya ok saja mana-mana pun. Cuma en Yem ini dia lebih suka laksa beras yang kering itu.
Cara Rebus Laksa Kering
Untuk penyediaan laksa kering, langkah pertama kenalah bagi mi laksa itu lembut dulu. Saya akan rendam dulu dalam setengah jam ke sejam macam itu. Kemudian, barulah mi direbus. Sebaik laksa lembut, bolehlah tutup api.
Sekiranya laksa kering masih keras, kenyalnya masih ada. Tak perlu pindahkan mi ke bekas lain. Biar saja dalam periuk dan tutup dengan penutup periuk. Nanti dia akan jadi lembut betul.
Tapi, kalau saya terkhayal dan tak sengaja ter-rebus mee laksa hingga lembut betul. Saya akan pindahkan bekas lain dan lalukan bawah air sejuk.
Cara melalukan mi laksa bawah air paip ini bertujuan nak mematikan proses mengembangkan mi laksa tu dengan jayanya.
Cara Masak Laksa Basah
Pek Laksa Basah : Kalau jenis laksa jernih yang basah dan dijual dalam bungkusan. Saya rebuskan juga. Cuma cara rebus laksa basah ini sekejap sajalah. Tak boleh lama-lama nanti terlebih lembik pula jadinya. Agak-agak warnanya mee laksa itu dah jernih, cepat-cepat tutup api.
Angkat dan lalukan bawah air paip. Kemudian, tos.
Orang juga panggil laksa basah ini laksa jernih. Sebab warna mi nya yang jernih macam lut sinar tu.
Bila dah siap rebus mi laksa tu, bolehlah buat penyediaan bahan-bahan sampingan laksa. Sedia untuk dimakan bersama kuah laksa tanpa belacan.
Baca juga : Persatuan suri rumah Malaysia
Jenis Laksa Yang Ada Di Malaysia
Laksa ini pun ada macam-macam jenis sebenarnya. Saya kongsikan mana yang saya tahu ya. Ada yang tak pernah makan pun iya.
- Laksa Penang – resepi yang saya kongsi ini asal dari orang Penang yang berikan kepada saya.
- Laksa Terengganu – kuahnya ada dihidang mentah dan dimasak. Kuah yang mentah ini santan campur air panas, masuk isi ikan, lada hitam dan bawang.
- Laksa Johor – mi dia guna spageti. Kuahnya kuah kari, dengan aroma rempah ratus, ikan parang dan santan. Wajib ada ulaman macam kacang panjang.
- Laksa Sarawak – kuahnya pekat, ada sambal belacan. Sambal udang kering dicampur serai, bawang putih, lengkuas, asam jawa dan santan.
- Laksa Kedah – menurut Wikipedia, ia merupakan sejenis makanan berkuah yang terkenal di Kedah. Ia juga dikenali sebagai Laksa Utara atau Laksa Teluk Kechai.
Kenapa Buat Resepi Laksa Penang Tanpa Belacan Ini
Ikutkan resepi asal dari Shila ini ada je belacan. Jadi dengan menggunakan bahan yang sama, cuma ditiadakan saja belacan.
Rasa kuah laksa mai dari Penang ni tetap juga sedap.
Untuk orang gout ini pemakanannya memang nak kena jaga. Selain laksa, saya juga sediakan resepi ayam goreng kunyit berempah untuk en Yem bilamana gout dia datang.
Bila betul-betul kena serang gout tu, nak mencari penawar gout tu memang susah.
laksa ni perbezaannya pada kuah shj. sejak kecil belajar makan laksa kelate. bila remaja makan laksa penang. dah kerja kenal laksa sarawak, johor n kedah.
Saya belum pernah lagi makan laksa kelantan, sarawak dengan johor tu.. nampaknya nak kena cari barulah meriah hidup.. hahaha
resepi ni sesaui utk mama juga ni sebab tak boleh makan belacan tq for sharing
memang saya pun penggemar laksa, kebiasaan memang sukakan belacan juga dalam masakan
laksa memang fav ni, semua jenis laksa boleh makan. tapi yang paling sedap laksa buat sendiri sebab menepati cita rasa sendiri.