Tabung Haji online atau dikenali sebagai THiJARI ini merupakan platform yang dilancarkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada Februari 2020 untuk memberi perkhidmatan online kepada pendeposit Tabung Haji. Yang mana, platform ini tersedia di laman web dan aplikasi telefon pintar.
Membuka akaun THiJARI ini ada banyak kelebihannya. Dan tidaklah sesukar mana untuk mendaftarkan akaun ini baik untuk diri sendiri mahupun anak-anak. Cuma untuk anak-anak bawah 18 tahun memerlukan pemegang amanah untuk akaun tabung haji online mereka. Contohnya, mak atau ayahlah. Atau penjaga yang sah.
Di sini akan dikongsikan bagaimana cara membuka akaun THiJARI, mudahnya pendeposit atau penyimpan duit tabung haji, menyemak penyata akaun malah apakah manfaat membuka Tabung Haji online ini.
4 Manfaat Buka Akaun Tabung Haji Online
Dapat Urus Akaun Simpanan Dan Duit Tabung Haji
Menerusi akaun THiJARI anda boleh menyemak baki akaun, sejarah transaksi dan membuat simpanan dalam Tabung Haji menerusi akaun THiJARI.
Pendaftaran Haji Dan Urusan Berkaitan
Anda juga boleh membuat pendaftaran haji secara online, memeriksa status haji dan menjawab tawaran haji menerusi aplikasi THiJARI. Boleh juga semak jadual penerbangan haji pergi dan balik.
Boleh check lokasi Kursus Asas Haji dan tarikh diadakan. Jika mahu muat turun nota kursus asas haji juga tersedia untuk pendeposit THiJARI. Boleh juga membuat rayuan haji. Membuat urusan bayar dam dan korban serta bersedekah.

Mengemaskini Maklumat Peribadi Dengan Mudah
Di akaun ini juga anda boleh mengemaskini data terkini maklumat diri anda. Jika anda pemegang amanah akaun anak-anak, pun boleh semak profile akaun anak-anak di sini.
Buat Penamaan Atau Hibah
Anda juga boleh buat semakan status penamaan atau hubah amanah untuk akaun sendiri mahupun akaun tabung haji anak.

Cara Buka Akaun Tabung Haji THiJARI Online
Untuk membuka akaun Tabung Haji Online anda boleh lakukan mengikut panduan yang disertakan di bawah.
- Log in ke akaun THiJARI di https://www.thijari.com.my/
- Klik Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG
- Isikan segala maklumat yang diperlukan untuk pembukaan akaun TH
- Selesai isi, anda akan menerima kod TAC di telefon pintar yang anda daftarkan. Masukkan kod TAC berkenaan untuk tujuan pengesahan pendaftaran.
Pengalaman Gagal Buka Akaun THiJARI Secara Online & Solusinya
Sebagaimana panduan yang diberikan, saya juga berdepan masalah kegagalan membuat pembukaan akaun THiJARI secara online. Apabila saya menghubungi pihak TH, ada beberapa dokumen yang tidak lengkap.
Jadi, solusinya saya ke pejabat Tabung Haji di Kompleks Anggerik Mall, Shah Alam. Memandangkan saya juga pemegang amanah untuk akaun anak-anak, jadi apabila saya akaun THiJARI sudah didaftarkan, secara automatis boleh dah tengok profile akaun anak-anak di THiJARI sendiri.
Jadi mudahlah nak manage.
Untuk urusan di pejabat TH ketika itu saya cuma membawa IC sendiri dan anak-anak, buku akaun sendiri dan anak-anak.

Cara Semak Penyata Tabung Haji Online (THiJARI)
Sebaik berjaya membuka akaun THiJARI anda perlu mendaftar buat kali pertama. Ini untuk membolehkan anda membuka laman TH ini dengan mudah di kemudian hari.
- Log in masuk ke akaun THiJARI
- Klik Daftar.
- Isi maklumat yang diperlukan iaitu no kad pengenalan dan nombor akaun TH
- Anda akan menerima kod TAC di phone dan masukkan kod untuk log masuk ke akaun.
Menerusi akaun THiJARI juga anda boleh simpan duit tabung haji tanpa caj.