Selepas PRU15, Kali ini tiba saatnya untuk keluar mengundi di Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 12 Ogos 2023, Sabtu nanti. Suara anda pengaruhi masa depan negara.
Namun, sebelum pergi membuang undi ada beberapa perkara penting yang perlu anda ingat. Agar pengalaman mengundi anda kelak menjadi satu momen yang lebih bermakna dan berpengaruh.
Semak 10 pesanan ini ya.
Kenalah Mengenali Calon-calon Bertanding Di Kawasan Anda
Perkara pertama yang perlu anda ingat, sebelum masuk ke tempat membuang undi. Pastikan anda mengenali calon-calon yang bertanding pada tarikh mengundi 12 Ogos 2023 ini.
Fahamkan latar belakang, pengalaman dan janji manifesto mereka. Lagipun, sepanjang tempoh mereka berkempen anda tentu mendapat brochure percuma yang diedarkan.
Tentunya, membantu anda untuk membuat keputusan yang bijak.
Semak Maklumat Mengundi 2023 Di SPR Online
Pastikan anda tahu di mana tempat undi anda. Semak status pendaftaran anda dan pastikan semua maklumat yang diisi adalah betul. Untuk membuat semakan maklumat undi anda, boleh dilakukan secara online. Lawati laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di Semakan Daftar Pemilih.
Setelah anda masukkan nombor kad pengenalan dan captcha anda boleh membuat semakan lokasi dan membuang undi mengikut masa cadangan.
Lokasi Mengundi
Tengok betul-betul lokasi pusat pengundiannya di mana. Jangan pula sampai tersilap pergi ke tempat lain. Rugi masa nanti dibuatnya.
Catat maklumat saluran dan nombor bilangan anda. Jika semak online di telefon, boleh saya simpan screenshot di telefon bimbit anda.
Masa Membuang Undi
Dalam keputusan semakan spr online turut diberikan masa cadangan untuk anda keluar mengundi. Ikutlah masa yang diberikan agar tidak perlu bersesak semasa di lokasi undi.
Sekiranya anda bekerja dan perlu segera membuat undi boleh semak maklumat pusat undian di buka jam berapa di semak daftar pemilih dan tempat undi PRN anda itu.
Jangan Lupa Bawa Dokumen Pengenalan
Pastikan anda membawa dokumen pengenalan yang sah. Misalnya kad pengenalan atau pasport. Ini adalah penting untuk mengelakkan sebarang masalah semasa di tempat undi.
Amalkan Social Distancing
Haa.. jangan ingat masa pandemik saja ada social distancing. Semasa membuang undi pun perlu lakukan arahan ini dengan sebaiknya.
Kena beringat, virus Covid masih ada di mana-mana.
Patuhi Arahan Petugas di Pusat Undi
Ikutlah arahan yang diberikan petugas dan buatlah undian dengan teliti. Petugas akan membantu anda semasa proses undian sedang berlansung.
Kehadiran petugas undi adalah untuk memastikan urusan di tempat undian berjalan lancar dan adil.
Pertimbangkan Jarak, Masa Dengan Lokasi Undi
Jika jarak anda membuat undi jauh, hendak tak hendak kenalah keluar awal. Kalau perlu balik ke kampung, usahakanlah untuk pulang awal ke kampung.
Anda tidak akan tahu kemungkinan yang boleh berlaku. Mungkin anda memerlukan masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan.
Bawa Air Minum Secukupnya
Ada di sesetengah pusat pengundian yang melibatkan ramai jumlah pengundinya. Jadi mungkin perlu beratur atau menunggu lama di pusat undi. Bawalah minuman supaya dapat melegakan tekak yang dahaga.
Jika tempat undi anda lengang, tak perlulah berbuat demikian. Kena rujuk pengalaman anda membuat undi waktu PRU-15 dahulu.
Ingat! Jangan Kongsi Maklumat Undian Anda
Undi anda adalah rahsia. Jadi, janganlah kongsi gambar undi atau apa-apa maklumat berkaitan undian anda di media sosial.
Ini penting untuk menjaga integriti pilihan raya.
Kalau nak ambil gambar jari yang dah membuang undi itu tak apa. Itu memang trend setiap kali proses mengundi dijalankan di negara kita.
Baca juga : https://nettyahhiyer.com/cara-hilangkan-dakwat-mengundi/
Doa Dan Niatkan Yang Baik-baik
Apa pun sebelum melakukan undian, pasakkanlah dalam hati dengan doa mengundi dan niat yang baik-baik.
Semoga semasa menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia ini nanti akan melahirkan keputusan yang terbaik untuk negara.
Beri Galakan Kepada Keluarga Dan Rakan Keluar Mengundi
Tak dinafikan, selepas apa yang berlaku pada PRU ke-15 sedikit sebanyak perasaan pengundi di negara ini seakan hilang kepercayan kepada pilihan raya.
Namun, demi amanah kepada negara. Buanglah rasa duka itu. Semoga dengan keluarnya anda mengundi dapat menggerakkan yang lainnya untuk berbuat hal yang sama.
Wahai anda yang layak mengundi, keluarlah mengundi. Sejajar dengan pesanan yang dititipkan oleh Ustazah Asma Harun agar keluarlah mengundi. “Hak kita menentukan pemerintah negara Malaysia, nak tuju ke mana.”
6 Negeri Terlibat PRN Ke-15
6 negeri yang terlibat Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 8 Ogos 2023 adalah untuk undi pengundian awal PRN.
Manakala SPR menetapkan pada 12 Ogos 2023 adalah hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN)
Kesimpulan
Mengundi ini adalah hak istimewa dan tanggungjawab yang kita ada sebagai warganegara Malaysia. Sebab tak semua negara dapat peluang sebegini.
Diharap dengan pesanan ini, dapat memberikan anda pengalaman mengundi yang positif dan bermakna. Jangan lepas peluang untuk membuat perubahan. Bersama kita kuat!