Sinar kasih ibu dan ayah yang ditinggalkan | Pulang dari pejabat, sebelum sampai rumah mak ayah. Singgah sebentar menikmati roti canai dan roti potong cicah sup kambing (yang ini en. suami punya) di kedai mamak U10.
Itu restoran kegemaran kami bila pulang dari kerja. Ada juga meja kegemaran kami. Sayangnya malam ini, meja itu sudah diambil orang.
Selesai makan, cepat-cepat pulang ke rumah mak. Bila pintu dibuka, anak-anak elok saja makan semeja dengan atuk dan nenek mereka. Gembira tak terkata.
Selesai berdoa, ada rintik air mata bergenang di pipi. Terkenang tugasan petang tadi. Sepetang di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua al-Ikhlas. Cepat-cepat berlari mendapatkan emak dan kongsi kesedihan. Saya bersyukur kerana masih ada emak dan abah di sisi.
“Emak, sedihnya. Tadi pergi rumah orang-orang tua. Tengok orang-orang tua yang tinggal dekat rumah itu. Tak nak mak jadi macam tu,” kata saya yang masih bersisa air mata.
Cerita Ayah
Emak buat-buat tak layan saya. Tidak mahu sama-sama terjerumus dalam emosi sedih. Langsung, saya yang sudah kenyang itupun kembali hanyut dengan masakan emak yang enak.
Seperti selalu saya sentiasa menikmati masakan emak dengan bersungguh-sungguh.
Kenapa? Sebab saya selalu terkenang. Bagaimana kalau ini lauk terakhir emak yang mungkin dapat saya nikmati.
Dan seperti selalu, saya tidak pernah katakan tidak sedap pada makanan. Kata abah pula. Komen tidak sedap itu sebenarnya di tujukan pada siapa?
“Tukang masak? tukang masak itu siapa yang cipta? Maknanya, saya sedang komplen pada siapa makanan tidak sedap itu.” Abah selalu mengajar saya agar berfikir secara luas dan berpandangan jauh. Walaupun abah tak bersekolah dan tidak tahu membaca. Abah selalu ajar saya tentang prinsip kerohanian yang cukup tinggi.
Ya, saya tahu dari mana datangnya sikap positif saya itu.
Baca : Belajar mensyukuri nikmat menjadi seorang isteri
Nenek Yang Kesepian
Saya dan jurugambar saya, Mohd Jazlan Nangar melangkah perlahan ke rumah itu. Seorang lelaki berbaju kuning dalam lingkungan usia 50 an membuka pintu dan benarkan kami masuk. Ini pertama kali saya sampai ke rumah sebegini.
Bukan tidak pernah membuat liputan di rumah-rumah amal. Biasanya rumah anak yatim, anak-anak kurang upaya antara lokasi yang saya jelajahi. Tapi rumah orang-orang tua ini berbeza sekali emosinya. Perasaan sayu itu tidak datang terus pada masa itu.
Selepas saya pulang ke pejabat, saya berkongsi kisah itu dengan rakan-rakan dan editor, saya jadi hiba sendiri. Malam ini sebaknya terus menyesakkan dada saya. Saya terfikir mengapa perlu sampai jadi begini. Ujian itu juga saya lalui. Pasti suatu hari nanti akan saya lalui.
“Dari mana?” Tegur seorang nenek separuh usia.
“Majalah Mingguan Wanita makcik. Dah lama makcik tinggal sini?,” sapa saya sebak.
“Baru dua bulan. Saya sakit. Harap cepatlah saya sembuh. Tak sabar rasanya mahu pulang.” Ujar nenek tadi penuh pengharapan.
Kasih Ibu Ayah
Dan dari perbualan saya dengan penjaga di rumah ini. Rata-rata yang dihantar ke situ, jarang sekali akan pulang ke rumah. Tidak pula saya bertanya adakah kerana mereka lebih selesa tinggal di situ atau anak-anak yang terlebih selesa membiarkan mereka di situ.
Lalu, ingatan saya jauh menerawang. Suatu hari nanti, emak saya pun akan menjadi tidak berdaya. Begitu juga ayah saya malah ibu mentua saya.
Kisah ini terlalu sayu. Barangkali mereka mempunyai alasan tersendiri sehingga terpaksa meletakkan ibu mereka di rumah itu. Apa pun warga tua ini juga ujian untuk kita. Bagaimana kita meletakkan hati kita apabila berhadapan ujian sehebat ini.
Mohon Allah berikan saya dan suami kekuatan untuk terus berbakti kepada orang tua kami dengan penuh keikhlasan. Mohon Allah berikan saya pilihan yang terbaik untuk mencari jalan penyelesaian.
Baca : Jangan hilang ikhlas jaga ibu sakit tua
Tiba-tiba saya merasakan tulisan malam ini semakin berat, sarat dan sayu. Titik.
Nota hati: Cerita pusat jagaan dan rawatan warga tua al ikhlas ini pernah saya muatkan dalam Bumper Mingguan Wanita Edisi Aidilfitri.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 27 Mei 2014
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis
Telegram : https://t.me/NettyAhHiyerTulis
Hi neety..
How to publish ad in ur blog ya ?
Eyzahastings
PA to Dato Dr Sarimah Ahmad
PRIMADONA WORLDWIDE SDN BHD.
0193517070