Cara buat sambal penyet tahan lama ini penting juga dipelajari. Boleh jadikan stok sambal penyet yang boleh disimpan dalam peti sejuk.
Jika teringin, boleh ceduk terus dari bekas sambal. Siapa tahu, stok sambal ayam penyet yang disimpan dengan baik itu boleh dijadikan sambal tahan lama untuk dijual.
Saya temui cara paling praktikal simpan sambal tahan lama dari channel Wonderfoot NET ini. Memandangkan sambal penyet ini asalnya dari Indonesia, saya cubalah cari infonya dari negara seberang juga.
Cara Buat Sambal Penyet Tahan Lama
Sambal ayam penyet ini antara makanan kegemaran rakyat Malaysia sebenarnya. Tak percaya tengoklah berapa banyak kedai makan ayam penyet ada di negara ini.
Sebab itu, ramai mak-mak mencuba cara buat sambal ayam penyet Indonesia di rumah mereka sendiri.
Buat sekali banyak lagi senang, lebihan sambal penyet ini kemudiannya boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan masukkan dalam peti ais. Haa.. boleh tengok cara masak sambal tahan lama yang betul di sini.
Bahan-bahan diperlukan
- Bahan untuk masak sambal penyet : saya ada kongsikan resepi sambal ayam penyet Wong solo, sambal tomato cili padi, sambal pedas berapi. Boleh semak diblog ini untuk resepi dan cara pembuatan.
- Bekas kaca kedap udara
Goreng Dahulu Bahan Masak Sambal Penyet Sehingga Matang
Cara pertama untuk memastikan sambal penyet tahan lama adalah dengan menggoreng dahulu cili, bawang merah, bawang putih dengan minyak secukupnya.
Goreng sehingga bahan masakan ini matang.
Di Malaysia, kita biasa guna minyak sawit. Tak salah pun, boleh saja guna.. minyak sawit Malaysia kan bebas kolesterol.
Penyetkan Dengan Lesung Batu Ayam Penyet
Bahan masakan yang sudah masak sepenuhnya tadi, angkat dan lenyekkan di dalam lesung batu sambal penyet ini. Sama ada cobek Indonesia atau lesung batu Malaysia.
Boleh saja guna kedua-duanya.
Tak perlu kisar dalam blender. Yang penting, nak elakkan penggunaan air semasa proses menghaluskan sambal ayam penyet ini. Kata nak bagi tahan lama kan.
Inilah antara cara masak sambal tahan lama.
Masak Sekali Lagi Dalam Minyak Yang Banyak
Setelah sambal dilenyek halus, anda perlu memasaknya sekali lagi dalam minyak yang banyak. Ada sebab kenapa perlu digoreng semula.
Tujuan menggoreng sambal lenyek tadi adalah untuk menghilangkan bau mentah sambal anda tadi.
Semasa menggoreng inilah boleh masukkan garam, gula dan daun limau purut. Boleh juga buang batang tengah daun limau purut untuk menghilangkan rasa pahitnya.
Masak selama 30 minit.
Setelah sambal matang bolehlah diangkat. Katanya, langkah ini sangat penting. Sambal yang dimasak dalam minyak yang matang akan melanjutkan tempoh penyimpanannya yang panjang.
Minyak yang banyak juga menjadi agen kepada pengawetan makanan.
Bekas Kaca Perlu Disteril Dahulu
Sebelum menyimpan sambal penyet dalam botol kaca, anda perlu mensteril bekas kaca kedap udara ini terlebih dahulu. Caranya steril bekas berkaca adalah dengan merebus bekas kaca dan penutupnya dalam air panas selama 15 minit.
Kemudian, sejukkan bekas makanan kaca itu dalam suhu normal. Cara ini dapat mencegah bakteria yang boleh merosakkan ketahanan sambal.
Cara Simpan Sambal Tahan Lama Guna Teknik Hot Filling
Seterusnya perlu memasukkan sambal dalam bekas kaca menggunakan teknik hot filling. Hot Filling adalah kaedah memasukkan sambal dalam bekas ketika keadaannya masih panas-panas lagi.
Sebaik selesai memasukkan sambal dalam bekas kaca kedap udara itu, tutup botol dengan kemas. Kemudian, rebus bekas sambal tadi selama 10 minit.
Sebaliknya, jika anda mahu simpan sambal penyet dalam bekas plastik. Pastikan sambal yang anda masukkan itu sudah pun berada dalam keadaan sejuk.
Sebab sambal yang pedas dan panas boleh memberi interaksi kimia pada bekas plastik tadi. Malah, boleh menyebabkan bekas plastik mengecut, menggelembung.
Sebaik selesai masukkan sambal penyet sejuk tadi dalam bekas. Salut keliling penutupnya dengan salotape. Dan bolehlah masukkan bekas sambal itu dalam air yang mendidih sahaja (jangan direbus ya).
Jika tiada bekas kaca atau plastik, anda boleh juga simpan sambal penyet dalam plastik tebal dan ikat dengan kemas. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.
Gunakan Peralatan Dapur Yang Bersih
Semasa memasak sambal ayam penyet atau apa-apa sambal sekalipun, pastikan anda menggunakan peralatan dapur yang bersih.
Jika semasa menggoreng, minyak mengeluarkan buih itu tandanya minyak tadi telahpun dicemari bakteria. Anda perlu menggantikan dengan minyak baru yang baik.
Begitu juga dengan peralatan; kuali, sudip, pisau malah papan pemotong hendaklah dalam keadaan bersih dicuci dan bebas daripada bahan-bahan masakan sebelumnya.
Jemur Dahulu Cili Dan Tomato Sebelum Menggoreng
Ada juga yang memberi saranan agar cili segar dan tomato dijemur terlebih dahulu sebelum memulakan proses menggoreng kali pertama.
Jika membuat sambal penyet tanpa tomato, anda cuma perlu menjemur cili sahaja.
Dengan cara ini akan dapat mengurangkan kadar air pada bahan masakan itu. Ini pun antara cara yang membuatkan resepi sambal ayam penyet tahan lama.
Guna Sudu Baru Setiap Kali Menceduk Sambal Dari Bekas
Haa.. nak beri kesedaran ini bukan senang tau. Hahaha..
Sebab apa tak boleh bercampur sudu semasa ambil sambal dari bekasnya. Sebab kan dekat sudu ini mudah sangat nak lekat bakteria.
Kalau campur dengan sudu ambil lauk, nanti bakteria masuk dalam bekas sambal yang kita simpan baik dalam peti ais. Lama-lama, cepatlah naik kulat sambal penyet kita simpan itu. Kalau betul cara simpan boleh berminggu-minggu tahan sambal kita itu.
Jangan lupa follow cara buat sambal tahan lama untuk jualan ini. Bolehlah buat meniaga nanti.
Harga Sambal Penyet Di Pasaran
Mudah sajakan, cara nak simpan sambal ini.
Maknanya dah bolehlah buat stok sambal penyet. Kalau nak beli dekat luar pun harga sambal penyet ini boleh cecah RM14 dan lebih untuk sebotol.
Macam sambal Nyet Khairul Aming tu lagi, RM19 harganya. Tapi susah betul nak dapatkan stok. (eh! terluah perasaan pulak.)
Kalau mencari sambal ayam penyet sedap di Ipoh boleh terjah kedai nasi ayam penyet yang disenaraikan ini.
Cara Kurangkan Pedas Sambal
Kekadang tu tak sengajakan termasak sambal pedas giler, berapi-api sampai anak-anak pun tak lepas nak makan. Boleh cuba cara ini untuk kurangkan pedas.
- Tambahkan gula dalam masakan. Gula ini boleh mengurangkan pijar pedas sambal. Saya setiap kali masak sambal, memang gula masuk dulu dan biarkan ia sebati dengan sambal. Nak buh madu pun boleh juga.
- Campurkan asam jawa, asam keping, cuka atau perahan lemon. Makanan masam ini pun boleh kurangkan pedas masakan. Cuma berpadalah ya. Kang termasam pulak.
- Gunakan kentang untuk meresap pedas sambal.
- Bawang besar pun boleh kurangkan rasa pedas sambal. Hiriskan bawang besar, masukkan dalam sambal terlebih pedas itu.
- Tomato pun dapat kurangkan pedas cili. Masuk je terus sebiji dalam sambal terpedas itu.
- Paling penting sebenarnya adalah pilih cili kering atau cili segar yang betul. Kerana ada cili yang memang jenis pedas betul.
Kalau termakan sambal yang pedas, anda juga boleh mengurangkannya dengan meminum susu. Makan atau minum Yogurt pun membantu juga.
Baca juga :
- Rendang ayam simple, resepi campak-campak jadi
- Sedapnya sambal ayam hijau simple, favourite keluarga
- Ayam sambal tomato ala ayam penyet senang dimasak
- Sambal telur puyuh Zarif ikut resepi Azie Kitchen
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis