Resepi ayam ungkep mak saya ini sangat praktikal. Rempah resepi ayam ungkep jawa ini sedap untuk kegunaan masakan lain.
Selalunya rempah ayam ungkep yang dah jadi tu, mak simpan dalam peti sejuk. Jadi, bila teringin nak masak ayam ungkep jawa, boleh lah guna. Tanpa perlu bersusah payah.
Kata mak lagi, rahsia sedap ayam masak ungkep cara mak ini terletak pada sukatan asam jawa dan gula. Jika betul jumlahnya, maka sedaplah masakan tu.
Resepi Ayam Ungkep
Bahan-bahan
- Ayam seekor – potong kepada bahagian kecil dan bersihkan
- 3 biji – bawang merah – ditumbuk/kisar
- 2 ulas – bawang putih – ditumbuk/kisar
- Segenggam biji ketumbar – ditumbuk/kisar
- Garam kasar secukupnya – ditumbuk/kisar
- Serbuk kunyit
- Sedikit lengkuas – ditumbuk
- 2 batang – serai – diketuk
- Asam jawa -anggaran sesudu dua.
- Gula -secukupnya
- Minyak secukunya
Cara Masak Resepi Ayam Ungkep Jawa
- Masukkan ayam dalam periuk, tambah air dalam separas atau lebih sikit dari ayam.
- Tambahkan rempah yang telah ditumbuk dan serai.
- Rebuslah sampai ayam empuk.
- Sementara itu boleh buat air asam Jawa. Caranya asam jawa tadi campurkan dengan gula. Sukatan air tu dalam setengah cawan saja. Jumlah gulanya biar ada rasa manis masam yang sekata ya. Jangan masam sangat.
- Bila air dah mulai nak kering, bolehlah masukkan air asam jawa. (airnya saja). Kalau suka masam boleh masuk lebih. Kalau tak suka masam, janganlah dituang semua air asam jawa tu.
- Gaullah bagi sekata.
- Akhir sekali, tuangkan minyak dalam ungkep ayam tadi. Anggarannya dalam suku cawan. Tapi kadang saya masuk lebih, kalau nak rasa rempah tu lebih gurih (sedap).
- Masa ini boleh kecilkan api. Nampak kuah tu dah pekat, boleh matikan api.
- Siap
Ayam Ungkep Sedap Guna Ayam Kampung
Selalunya mak akan masak ayam ungkep guna ayam kampung. Rasanya lebih sedap, sebab ayam kampung isinya lebih kenyal.
Begitu juga dengan ayam pencen atau ayam tua. Selain sedap dibuat masak rendang ayam pencen, sedap juga dibuat masak ungkep ayam.
Walau isinya liat, semakin dimasak lama. Isi ayam akan menjadi lembut dan rempah ungkep meresap masuk ke dalam. Menjadikan hidangan ayam ungkep sedap dan lazat.
Cara Mendapatkan Rempah Ayam Ungkep Yang Sedap
- Tumbuk biji ketumbar dengan garam kasar sampai betul-betul halus.
- Dah halus tu, masukkan serbuk kunyit. Tumbuk lagi bagi sekata.
- Masukkan bawang merah dan bawang putih dan lengkuas.
- Serai tu ketuk je. Kalau tak nak campur dalam rempah pun boleh.
Ini Yang Berbeza Resepi Ayam Ungkep Resepi Mak Saya
- Resepi ayam masak ungkep Jawa tak pedas langsung. Sebab tak menggunakan cili dalam bahan masakan. Sesuailah bagi anak-anak kecil makan.
- Malah, ayam masak ungkep tanpa santan. Jika ada santan, kata mak dah jadi ayam masak lemak ketumbar.
- Ungkep cara mak juga tak ditumis bahan rempah. Rebus ayam bersama rempah, last sekali baru masuk minyak.
Baca juga : https://wawaazwa.com/2021/09/26/ayam-lemonada-sunquick-dan-lemon/
Kegunaan Rempah Ayam Ungkep
- Rempah masak ungkep Jawa mak saya ini sedap juga digunakan untuk perapan ayam goreng atau ikan atau tempe.
- Biasanya mak saya buat lebih, dan simpan dalam peti sejuk. Bila nak goreng ayam atau ikan, dia cuma perlu gaul-gaulkan saja.
- Untuk ayam, mak akan tambahkan serai bila nak goreng.
- Praktikal kan penyediaan rempah sebegini. Jimatkan masa dan tenaga.
- Mak memang suka menumbuk rempah guna lesung batu. Guna blender tak sedap katanya. Orang lama-lama memang gitu. Sampai kat anak dia ni, ku blend saja sudahnya. Hahaha..
- Masakan ungkep ayam ini, boleh juga ditukar bahan utama ayam dengan tempe. Bezanya bila gunakan tempe, mak tak masukkan lengkuas. Guna saja rempah tu dan teknik memasaknya sama saja.
- Sesekali saya masak juga resepi tempe ungkep yang enak dimakan begitu saja. Udang, daging malah cendawan juga sedap dimasak ungkep.
- Masak ungkep ayam cara mak saya ini walau saya dah cuba buat berkali-kali, susah betul nak dapat rasa macam yang mak saya buat. Air tangan mak, rempahnya matang, dan meresap masuk ke dalam ayam.
- Mak saya Jawa Meru, Klang. Dan saya perasan setiap tempat cara masak ungkepnya berbeza. Macam Jawa di Johor, gaya ungkep ayamnya lain.
- Mungkin air tangan orang tua atau mak-mak kita ini orang kata ‘dah lama makan garam’. Lagi bab masak memasak yang dia champion. Itu yang anak-anak rasa sedap.
Berapa Lama Rebus Ayam Ungkep
- Untuk merebus ayam diperlukan sekitar 30 minit.
- Manakala ayam beku anda perlukan 45 minit untuk merebus ayam.
- Masa merebus ayam tanpa tulang sekitar 12 ke 15 minit.
- Manakala merebus ayam tanpa tulang yang beku adalah antara 18 ke 22 minit.
- Bagi merebus ayam kampung boleh mengambil masa sehingga 1 jam atau lebih jika menggunakan periuk biasa.
Kalau nak cepat : Boleh potong ayam menjadi bahagian yang kecil. Ia akan menjimatkan masa merebus. Kalau ayam beku itu, boleh mencairkan ayam dahulu. Keluarkan dari peti sejuk awal sekurang-kurangnya 1 jam sebelum memasak.
Boleh juga cairkan ayam beku dengan defrost ayam dalam ketuhar mikro gelombang.
Atau boleh juga buat cara, keluarkan dulu ayam beku dari peti beku pada sebelah malam. Dan masukkan dalam peti sejuk. Esok hari bila nak masak, dah boleh terus masak.
Untuk info ayam yang ditukar simpan dalam peti sejuk ini boleh bertahan sehingga 4 hari. Haa.. bolehlah cuba simpan ayam cara atas tu kalau nak masak ungkep ya.
Terbayang rasa ayam ni mcmana bila tgk resepi, rasaasam² manis ke?.. Xpnah makan..
Rasanya masam, manis, masin bersatu dalam tu.. cubalah nanti ya.
Tak pernah masak lagi.. sebenarnya tertanya juga kenapa namanya masak ungkep ya? Bahan utama dia apa?
Ungkep tu bermaksud rebus. Ketumbar, asam jawa tu antara bahan penting dalam masakan ungkep ni Nurul.
Sedapnya, nanti nak try lah
Sila-sila.. ayam ungkep ni antara yang senan v nak masak.